Friday, February 20, 2009

Pakar Penghias Joran

(Post: Bahasa Melayu)
"Jika ditambah dengan aksesori, hiasan pada batang joran, ia lagi menyerlah, nampak lebih ekslusif walaupun harganya lebih murah. Memasang aksesori sebenarnya tidak menjejaskan keupayaan batang joran kerana ia cuma dibuat pada kulit batang joran."

Bagi kaki pancing, Tarmizam Abd Karim, 36, kepuasan dalam aktiviti memancing boleh dicapai dalam pelbagai bentuk.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Pok Mud’s di kalangan kaki pancing ini mencari kelainan dengan cara mencantikkan joran pancing dengan pelbagai corak yang dibuat sendiri di rumahnya.

Setiap batang pancing akan dicorakkan dengan pelbagai bentuk seperti bertemakan berlian, burung, ikan, batik, konsep tikar mengkuang serta pelbagai jenis corak lain bahkan nama pemilik joran itu juga boleh ditulis diatasnya.

Walaupun joran itu tidaklah semahal jenama popular, tetapi ia tetap cantik dan menarik kerana tulang belakang joran itu kelihatan lebih menyerlah jika disulami dengan corak dan warna yang sesuai.

Ia bukan sekadar menyedapkan mata memandang, tetapi sebenarnya turut memberi kesan dalam meningkatkan ketahanan batang joran kerana kebiasaannya cincin baru berkualiti akan dipasang, manakala lilitan benang dan gam pada joran membuatkan ia lebih tebal serta lasak.

Tarmizam juga lebih gemar membeli set peralatan secara berasingan dan mengubahsuainya mengikut keperluan kerana ia lebih murah serta mampu disediakan mengikut kehendak sendiri berbanding jika membeli set pancing yang sudah siap.

Menyingkap hasil kerja ini, Tarmizam menjelaskan, ia sebenarnya satu kerja seni kerana membabitkan ukiran dan corak mengikut pilihan pelanggan. Ada yang suka meletakkan nama, ada pula yang gemarkan warna yang nampak garang, masing-masing mempunyai pilihan sendiri.

Kemahiran yang dimiliki ini turut dikongsi bersama rakan pancing lain dan beliau memang menerima tempahan, cuma ketika ini agak terhad disebabkan kesibukan bekerja dan menguruskan keluarga.

Kerja mencantikkan joran memang rumit dan sebatang joran kebiasaannya boleh disiapkan dalam tempoh tiga hari jika tumpuan sepenuh masa diberikan. Prosesnya memang sukar dan memerlukan kesabaran yang tinggi.

"Setiap maklumat pelanggan akan direkodkan bagi memudahkan kerja saya. Jika mereka datang untuk kali kedua, saya sudah tahu apa jenis peralatan yang diperlukan," katanya yang memulakan minat seni joran itu mulai 1990.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, February 19, 2009

Pengusaha Budu Resepi Tradisi

(Post: Bahasa Melayu)
"Budu keluaran syarikatnya yang dikenali sebagai Pati Bilis Sejati dan Selera Kampung Cap Petai itu mendapat sambutan menggalakkan dengan kadar pengeluarannya mencecah sehingga 24,000 botol sebulan."

Budu sememangnya terkenal sebagai antara satu makanan tradisi masyarakat di Pantai Timur khususnya di Kelantan sejak zaman berzaman dan bagi Hamidah Mohd Amin, 40, budu jugalah yang mengubah nasib mereka sekeluarga.

Pengusaha budu berasal dari Kampung Hujung Repek, Bachok, Kelantan, ini sudah berkecimpung dalam industri pembuatan budu sejak lebih 18 tahun lalu menggunakan resipi tradisi warisan bapanya Mohd Amin Jenal, 70, dan namanya sudah cukup sinonim dengan masyarakat di negeri itu.

"Sebelum membuka kilang budu, saya dan suami, Mohd Asri Mokhtar, 42, menjalankan perusahaan memproses kicap, tetapi tidak bertahan lama sebelum beralih kepada perusahaan budu."

"Berbekalkan modal awal sebanyak RM12,000, saya hanya menjalankan perusahaan ini bersama keluarga, sebelum mengembangkan perniagaan secara komersial," katanya.

Jelasnya, bukan mudah untuk menghasilkan makanan unik ini, apatah lagi cabaran untuk mengekalkan mutu rasanya kerana jika tersilap ramuan ia boleh merosakkan keasliannya.

Hamidah memasak budu menggunakan cara tradisional iaitu dapur kayu bagi mengekalkan rasa budu berkualiti tinggi, kaedah sama yang digunakan sejak dulu.

"Rahsia untuk menghasilkan budu yang berkualiti tinggi adalah terletak pada tempoh ia diperam, cara memasak dan ramuan digunakan. Ramuan perlu menepati timbangan ditetapkan kerana ia akan menentukan rasa dan kualitinya," katanya.

Hamidah berkata, syarikatnya mengeluarkan dua jenis budu yang berbeza, iaitu budu rasa asli tidak dicampur dengan perasa serta pewarna serta budu biasa. Bezanya budu asli warnanya agak kehitaman.

Kini, ibu kepada empat anak ini mampu tersenyum bangga apabila budu keluarannya turut menembusi pasaran Thailand.

"Budu ini dijual dengan harga antara RM1 hingga RM1.70 sebotol. Saya bersyukur dengan perusahaan ini, saya mampu menampung kehidupan keluarga dan memenuhi impian untuk memiliki kereta dan rumah idaman."

"Lebih membanggakan, perusahaan ini sebenarnya memberi peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar kampung ini. Sehingga kini kami mempunyai 20 pekerja, semuanya penduduk kampung ini," katanya.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Bot Laju Body Guard F1 Boat

(Post: Bahasa Melayu)
"Tujuan saya menghasilkan bot F1 ini adalah bagi membuktikan rakyat Malaysia juga mampu menghasilkan rekaan bertaraf dunia walaupun ia cuma menjadi alat kawalan jauh."

Deruman enjin bot kawalan jauh 'Body Guard F1 Boat' milik Abdul Latiff Osman, 58, mungkin tidak segagah atau selaju F1 Powerboat yang asal, namun kejayaannya menghasilkan replika bot berkuasa tinggi itu harus dikagumi kerana ia diakui hampir 80 peratus menyamai bot berkuasa tinggi sebenar.

Jika sebuah F1 Powerboat mampu memecut dengan kelajuan melebihi 250 kilometer sejam (km/j), bot F1 milik Latiff dengan skala 1:6 pula boleh mencapai kelajuan sehingga 120 km/j bergantung kepada jenis enjin selain faktor cuaca.

Mengagumkan, tetapi bagi menghasilkan bot itu, Latiff terpaksa mengambil masa hampir 31 tahun dengan pelbagai peringkat ujian dan kegagalan terpaksa ditempuhinya semata-mata bagi menghasilkan bot berkuasa tinggi kawalan jauh ini.

Lebih membanggakan apabila seorang usahawan permainan kawalan jauh dari Mississippi, Amerika Syarikat, Derrick Collet, diberi hak mengeluar dan memasarkan Body Guard F1 Boat dengan ia dijangka memasuki pasaran negara berkenaan selewat-lewatnya sebelum sambutan Hari Natal ini.

Latiff yang berasal dari Kampung Tupong, Petra Jaya, berkata bot miliknya itu tidak hadir dengan mudah kerana keyakinan menghasilkannya hanya timbul selepas melihat rekaan awal bot F1 mampu menewaskan bot import yang digunakan peminat sekitar Kuching, Kuala Lumpur, Brunei dan Singapura.

Katanya, proses mendapatkan rekaan sudut aerodinamik serta hidrodinamik bot yang tepat adalah tugas paling sukar kerana beliau terpaksa memikirkan reka bentuk yang mampu 'memotong' rintangan angin dan air serentak.

Paling membanggakan pada Kejohanan Dunia F1 Powerbot 2004, beliau diberi penghormatan melakukan demonstrasi bot F1 miliknya di depan ribuan penonton tempatan dan asing malah jurutera salah satu pasukan F1 Powerboat turut tidak menyangka botnya masih stabil walaupun berada dalam kelajuan tinggi.

Latiff berkata, kelebihan Body Guard terletak pada kekuatan rekaan dan kemampuannya menampung enjin gergaji elektrik serta mesin rumput yang lebih berat berbanding enjin bot import yang lebih ringan.

Andai sebuah badan bot kawalan jauh berharga antara RM1,000 hingga boleh mencecah RM5,000 bagi model import, Latiff hanya menjualnya dengan harga serendah RM700 bergantung pada bahan yang digunakan.

"Harga mahal belum tentu menjamin kemenangan bot kerana saya cuma menggunakan kayu dan sedikit karbon fibre bagi bahagian bawah bot ini dengan kosnya cuma RM700."

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Shariman Skin Food

(Post: Bahasa Melayu)
"Keinginan memulakan perniagaan berasaskan kosmetik dan penjagaan kulit membuatkan personaliti ini tidak kisah bergiat dalam bidang yang tentunya dimonopoli wanita."

Tiada istilah janggal, segan atau malu bagi Shahriman ketika membuat keputusan menjadi francaisi produk penjagaan diri dari Korea, Skin Food.

Apa yang lebih difikirkan ialah minat mendalam untuk menceburi bidang perniagaan, apatah lagi memikirkan potensi besar produk ini.

Sebelum membuka francais Skin Food, anak muda ini sudah membuka studio rakaman sendiri bersama adik lelakinya sebaik tamat pengajian dalam bidang kejuruteraan audio. Studio itu masih beroperasi hingga hari ini.

"Waktu itu tidak terlintas pun rasa bimbang jika diperli kerana memilih bidang yang sinonim dengan wanita. Ini kerana saya lebih melihatnya sebagai perniagaan yang cukup berpotensi."

"Ditambah dorongan keluarga, saya teruskan hasrat membuka outlet Skin Food. Saya pilih pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya sebagai lokasi kedai dan mula mengikuti sesi pengenalan produk," katanya sambil menambah kandungan organik menjadi kelebihan produk Skin Food.

Selepas menceburi bidang perniagaan, Shahriman mula faham kosmetik bagi wanita bukan sekadar ingin kelihatan cantik, sebaliknya mereka juga menitikberatkan soal kandungan supaya kesannya terpancar, terutama dalam aspek kesihatan kulit.

Ditanya penerimaan awal pelanggan terutama wanita apabila menyedari pemilik premis adalah lelaki, Shahriman berkongsi kisah yang akhirnya mengubah gaya dan pendekatan anak muda ini.

"Lazimnya, saya perhatikan dulu sama ada pelanggan wanita ini mudah didekati atau tidak. Jika tidak, saya akan minta staf saya melayan mereka tapi kalau mereka nampak okay, saya sendiri akan dekati mereka," katanya.

"Tidak ada masalah bagi golongan lelaki untuk bekerja dalam bidang kecantikan kerana orang ramai kini berfikiran terbuka. Apa salahnya perniagaan ini dipilih jika menjana keuntungan tinggi," katanya.

Sumber: Berita Harian Online
Foto:
web SkinFood

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, February 18, 2009

Sulaman Ummi Kreatif Jaya

(Post: Bahasa Melayu)
"Usaha yang saya lakukan ini sebenarnya adalah sebagai menyahut seruan kerajaan yang mahu supaya wanita Melayu menceburi bidang perniagaan, sekali gus menjadi usahawan berjaya serta berdaya saing."

Puan Diana Abdul Hamid, dari Taman Bukit Rambai, Melaka, pemegang Diploma Pengajian Bank, Universiti Teknologi Mara (UiTM) memilih menghasilkan produk jahitan sulaman kreatif dengan menggunakan jenama Ummi Kreatif Jaya.

Produk yang dihasilkannya berasaskan seni tampal, cantum, sulam dan 'quilting' iaitu sejenis jahitan menggunakan bahan daripada benang tangsi.

Lebih menarik, beliau menggunakan imej flora dan fauna serta berkonsepkan batik tempatan.

Menyingkap sejarah pembabitannya, ibu kepada empat anak itu berkata, minatnya dalam bidang jahitan berputik selepas tertarik dengan kerja tangan arwah neneknya, Tajsiah Sadin, yang menghasilkan selimut serta sarung bantal menggunakan kain perca.

Ia terus berkembang mekar selepas melihat ibunya, Norlia Md Ali, tidak menang tangan menerima tempahan menjahit baju kurung daripada sanak-saudara mereka serta penduduk sekitar Kampung Chincin, Jasin. Tidak ketinggalan dorongan suaminya, Ramlee Ibrahim.

Bermula saat itu, iaitu lebih tujuh tahun lalu, beliau melakukan kerja tangan berkenaan di rumah, sebelum mengembangkannya termasuk menjadikan jirannya sebagai ahli kumpulan. Mulai detik itu iaitu pada Disember 2003, wujudlah Ummi Kreatif Jaya.

Dalam usaha memastikan usaha itu terus berkembang, Diana mengikuti kelas jahitan anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan syarikat Epal, selain menghadiri kursus asas perniagaan serta perakaunan anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara).

"Selepas berjaya menimba banyak ilmu, saya tidak menoleh ke belakang lagi dan terus bekerja bersungguh-sungguh menghasilkan produk jahitan kreatif halus. Pada peringkat awal memang saya menggunakan tangan, namun selepas mendapat suntikan kewangan, saya berjaya membeli sebuah mesin jahit berkomputer berharga RM1,800 dan mesin jahit tepi bernilai RM2,000.

"Bagaimanapun saya masih mengekalkan jahitan kreatif seni tampal, cantum, sulam dan 'quilting' berkonsepkan bunga-bungaan, flora dan fauna serta berimejkan batik tempatan yang dibeli dari Terengganu dan Sarawak," katanya.

Pada awal pembabitannya, beliau hanya menumpukan penghasilan seni jahitan kreatif pada sarung bantal, kusyen, kopiah, selimut, permaidani dan cadar yang sesuai bagi keperluan hiasan dan kegunaan sesebuah keluarga.

Namun, katanya, selepas enam tahun membabitkan diri, kini beliau berupaya melangkah lebih jauh dengan penghasilan ciptaan sendiri yang lebih kreatif menerusi beg sejadah, telekung dan tudung.

Beliau berkata ramai pelanggan yang berbangga dengan ciptaan beg sejadahnya kerana berimejkan kain batik tempatan di samping inginkan kain telekung dicipta anak tempatan berbanding diimport dari negara jiran seperti Indonesia.

Beg sejadah yang diciptanya itu mempunyai kemudahan sejadah pada bahagian dalam, manakala luarnya hamparan kain batik dihiasi dengan jahitan tampal, sulam, cantum atau quilting berwajahkan bunga-bungaan yang berseni, indah dan menawan.

Apabila dilipat ia boleh diisi dengan kain telekung dan dilengkapi pula dengan dua tangkai sebagai kemudahan pemiliknya membimbit atau menyangkutnya di bahu untuk di bawa ke mana-mana terutama ke surau atau masjid.

Harga bagi sebuah beg sejadah dijual antara RM40 hingga RM90, telekong sulaman (ekskusif) adalah RM100 hingga RM140 sementara telekung renda RM50 hingga RM100.

"Semua harga yang ditetapkan adalah bergantung kepada saiz serta jahitan kreatif yang dicipta. Selain beg sejadah dan telekung, pelanggan boleh menambah set kelengkapan dengan membeli tasbih mutiara dan kristal iaitu produk baru dihasilkannya."

"Batu mutiara dan kristal terbabit bukan saja boleh digunakan sebagai tasbih 33 atau 99 untuk berwirid, malah sebagai hiasan wanita seperti rantai dan gelang tangan."

Alhamdulillah produk yang saya cipta dan ilhamkan serta didaftarkan melalui Ummi Kreatif Jaya ini semakin mendapat sambutan baik.

CONTACT INFO:
Telefon: 019-6267665

Email: diana_abdulhamid@yahoo.com

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Restoran Ikan Sungai

(Post: Bahasa Melayu)
"Obsesnya kepada ikan sungai membuatkan Jasmay membuka restoran ikan sungai yang pertama di Malaysia yang memperkenalkan masakan ikan sungai segar seperti patin, baung, temoleh tapah dan jelawat."

Terletak di Desa Melawati, Kuala Lumpur, Restoran Ikan Sungai menyediakan suasana makan-makan seperti di kampung.

"Hiasan dalaman restoran ini sengaja mewujudkan suasana seperti makan di kampung," kata Pengarah Urusan Besta Corporation Sdn. Bhd., Jasmay Shah.

"Ramai sebenarnya peminat ikan sungai. Kini mereka tidak perlu pergi jauh ke kawasan pedalaman untuk menikmati ikan sungai segar."

"Sebenarnya ikan sungai liar lebih lazat dan segar berbanding ikan yang dibela dalam sangkar," ujarnya yang berasal dari Temerloh, Pahang.

Restoran ini menyediakan kepelbagaian makanan untuk pagi, tengah hari dan malam.

"Harga ikan mengikut harga semasa. Memang mahal sikit tetapi tidak salah berbelanja lebih untuk makanan yang lazat. Semua masakan disediakan oleh chef berpengalaman terutamanya masakan kampung," katanya.

Menu lain yang disediakan termasuk nasi lemak berlauk, rendang ayam, mi rebus dan laksa Pahang.

Sambal belacan, air asam dan sambal tempoyak bakal membuatkan deria rasa kepedasan peringkat tertinggi apabila dipadankan dengan gabungan ikan sungai sama ada dibakar, digoreng atau masakan gulai.

Alam tradisi dan kekampungan bergabung dengan ulam pegaga, petai, pucuk ubi, pucuk mengkudu membangkitkan selera. Tidak dilupakan pencuci mulut seperti tapai pulut dan bubur kacang.

Kenangan menikmati makanan kampung bermula di sini. Bau masakan dari dapur yang terletak kurang 50 meter dari meja makan begitu menjolok deria rasa.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Lintah Agro Farm

(Post: Bahasa Melayu)
"Mengenai cabaran yang dihadapi, katanya, mereka sekeluarga pernah dikecam oleh masyarakat sekitar kerana menternak lintah yang dianggap hodoh dan menggelikan. Namun, setiap kecaman itu disambut dengan tekad untuk membuktikan bahawa ternakan lintah ini boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan."

Mendekati salah sebuah daripada 12 buah kolam yang terdapat di Kampung Lubuk Kelubi, Hulu Langat, Selangor, tiada yang istimewa. Kolam yang dijengah kelihatan sama seperti kolam ternakan lain.

Dengan menggunakan sebatang kayu, pemilik kolam ternakan ini, Nurulhuda Mohd. Yusof, 29, mengocak-gocak air di kolam tersebut.

"Salah satu sifat lintah, ia akan menyembunyikan diri daripada cuaca panas dengan mencari ruang-ruang sejuk untuk berteduh. Tetapi, apabila air diusik, haiwan ini akan keluar."

"Mungkin kerana ia merasakan ada 'mangsa' atau makanan di tempat yang diusik itu," kata Nurulhuda yang ditemui di ladang lintah milik keluarganya, Lintah Agro Farm baru-baru ini.

"Sebut sahaja lintah, pasti ramai yang akan berasa geli dan ketakutan. Namun, bagi saya, haiwan yang dianggap hodoh oleh segelintir orang itu mempunyai manfaat yang besar kepada kehidupan. Sebab itulah, kami sekeluarga menternaknya."

Ilham untuk menternak lintah muncul selepas menyertai kursus yang dikendalikan oleh sebuah syarikat yang terlibat dalam bidang bioteknologi pertanian dan penternakan.

"Kami merasakan ternakan lintah adalah yang paling sesuai."

"Ini kerana dengan keluasan tanah kira-kira satu ekar suku, kami boleh membina 12 buah kolam sebesar 7.9 meter x 18 meter dan menternak lintah secara semula jadi dengan penjagaan yang ringkas. Haiwan ini mudah diberi makan dan tahan lasak terhadap penyakit," katanya.

"Apabila lintah mencecah tahap matang, ia akan dituai dan hasilnya dibekalkan kepada penternak baru, mereka yang membuka perniagaan rawatan alternatif seperti bekam dan peniaga yang membuat minyak lintah."

"Selain itu, Lintah Agro Farm juga membekalkan lintah kepada individu persendirian yang mahukan haiwan ini untuk diri mereka," kata Nurulhuda.

Katanya lagi, "Pada masa ini, permintaan terhadap lintah amat tinggi dan ada permintaan yang melibatkan penghantaran sebanyak satu hingga tiga tan lintah dalam sebulan."

Nurulhuda berkata, harga lintah bergantung pada saiz dan jumlah yang dibekalkan.

"Biasanya, ia dijual pada harga RM1.50 atau RM2.00 seekor," ujarnya.

Menariknya tentang lintah, kata Nurulhuda, sebanyak 200 ekor lintah boleh menghasilkan kira-kira 10,000 anak lintah dan Lintah Agro meletakkan 1,000 ekor induk lintah dalam setiap kolam.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Class A Clubmaker

(Post: Bahasa Melayu)
"Setiap individu mempunyai keupayaan berbeza, jadi peralatan juga berbeza. Mesti tahu kemampuan dan kelemahan diri."

Dunia golf ibarat jiwanya, bukan sebagai pemain tetapi sebagai orang belakang tabir yang menentukan sama ada set golf yang digunakan seseorang pemain itu sesuai atau tidak dengan cara permainan mereka.

Aswan Baki, 40, ada semua jawapan itu dan dia memang dikenali di kalangan pemain golf sebagai pembuat serta pengubahsuai kayu golf (club maker).

Sesuai dengan kelayakannya sebagai 'Class A Clubmaker' yang mendapat latihan di Amerika Syarikat dan diiktiraf Professional Clubmaker Society (PCS), beliau adalah individu paling layak menjadi rujukan kepada pemain golf termasuk pemain profesional.

Bertempat di Lapang Sasar Golf Guthrie, Seksyen U8, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor, Aswan mencurahkan ilmu mengenai peralatan golf dan sedia berkongsi maklumat dalam membantu menyelaraskan set golf pemain.

Beliau kini diiktiraf antara 100 club maker terbaik dunia. Berdasarkan senarai yang dikeluarkan laman web rasmi pengeluar peralatan golf, KZGolf , Aswan adalah wakil tunggal di Malaysia yang mempunyai kelayakan kelas A.

Walaupun bukan seorang pemain hebat, beliau membantu pemain golf tampil hebat, lebih yakin kepada kemampuan diri dengan kemahirannya membaiki, membentuk dan melaras kembali kayu golf bersesuaian dengan pemainnya.

Beliau boleh membantu pemain menentukan ketinggian dan jarak bola yang dipukul serta ketepatannya. Ini termasuk menyeimbangkan berat kayu golf agar sesuai dengan pukulan pemain serta mengawal keanjalan batang kayu golf sama ada keras atau lembut.

"Ramai pemain golf di Malaysia tidak mempunyai ilmu mengenai peralatan yang mereka gunakan. Tidak keterlaluan jika saya katakan, 70 peratus pemain golf di negara ini hanya membeli set peralatan berdasarkan jenama, harga atau lebih tepat mementingkan prestij."

"Set golf tidak perlu ditukar sekiranya pemain berasa tidak selesa dengannya. Ia mungkin tidak sesuai kerana tahap hayunan dan kayu golf tidak sepadan. Di sinilah peranan club maker melaras dan menyesuaikannya kembali kayu golf dengan pemain."

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, February 17, 2009

Menternak Ikan Air Tawar

(Post: Bahasa Melayu)
"Mengakui tidak sukar mengusahakan ternakan tersebut, hasratnya cuma satu. Beliau mahu menjadikan kolam ternakannya itu sebagai antara lokasi eko-pelancongan yang terkenal di negeri ini suatu hari nanti."

Kepuasan bekerja bukan terletak pada wang ringgit. Itulah konsep dan pandangan hidup seorang Abdul Wahid Abdul Wahab, 46, yang bekerja sebagai pegawai pelantar cari gali petroleum di sebuah syarikat multinasional.

Baginya, pengalaman bekerja lebih dua dekad di laut termasuk dengan sebuah syarikat petrokimia Jepun sentiasa mengajarnya menjadi berani menempuh cabaran dan saingan.

Demi mencari kepuasan bekerja, Abdul Wahid memulakan langkah mengusahakan kolam ternakan ikan air tawar. Kolam tersebut dibina di atas tanah seluas empat ekar milik keluarganya di Kampung Sungai Batu, Chetok dekat Pasir Mas.

"Sebenarnya, saya anak kampung yang sudah sebati dengan selut dan lumpur, jadi saya tetap kembali ke asal," ujarnya berbekalkan modal RM100,000.

Setelah bercuti tanpa gaji selama enam bulan mengusahakan ternakan ikan air tawar ini, bapa kepada dua anak ini nekad berhenti daripada kerjayanya pada tahun 2009.

Beliau menerima bantuan berupa peralatan dan khidmat nasihat daripada Jabatan Perikanan.

"Setiap bulan saya belayar dan telah menjejakkan kaki hampir ke seluruh pelosok dunia untuk tugasan yang mencabar ini. Meskipun gajinya lumayan tetapi lama-kelamaan ia bertukar rasa jemu," ujarnya.

Kata beliau, kedua-dua bidang ini memberinya kepuasan berbeza. "Kerja cari gali minyak memberi saya gaji puluhan ribu setiap bulan, tetapi menternak ikan air tawar bergantung kepada ketekunan dan kerajinan," jelasnya.

Abdul Wahid yang berasal dari kampung Penambang, Kota Bharu kini menetap di Kampung Sungai Batu, Chetok. Beliau mahu menumpukan kepada perusahaan menternak dan menjual benih ikan air tawar kepada peniaga dan pengusaha ikan.

Tambah Abdul Wahid, antara jenis-jenis ikan yang banyak diternak dan dijual benihnya ialah ikan patin, ikan keli Afrika, ikan puyu dan ikan hiasan.

Beliau bercadang untuk menjadikan kawasan kolamnya itu sebagai lokasi pelancongan. "Saya bercadang mahu menyediakan kemudahan penginapan desa kepada pengunjung.

"Saya akan daftarkan kawasan ini sebagai salah satu pusat pelancongan dengan aktiviti memancing sambil menikmati keindahan alam sekitar," katanya yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tambahnya, dia mahu buktikan kepada remaja kampung hari ini bahawa mereka mampu mengubah nasib sendiri dengan syarat mempunyai semangat dan iltizam tinggi.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Real Adventure Gear

(Post: Bahasa Melayu)
"Lebih mudah bekerja sendiri kerana saya akan memegang amanah saya sendiri. Jika berusaha kuat, kami akan dapat lebih, jadi semuanya bergantung kepada diri sendiri. Sama juga konsep ketika mendaki, kena berdikari dan membuat keputusan sendiri."

Sekali imbas, selayaknya Ahmad Nazrin Abu Bakar, 33, bergelar peguam syarie atau bekerja dalam sektor perundangan kerana latar belakang pendidikan dimiliki menjurus ke arah itu.

Namun, realitinya jauh berbeza kerana apa yang dilakukan sekarang lebih kepada minatnya terhadap aktiviti sukan lasak terutama mendaki gunung dan berkhemah. Jadi, tidak hairanlah anak jati Kuala Lumpur ini mempunyai premis sendiri membekalkan peralatan aktiviti lasak.

Perniagaan yang dijalankan bersama rakan baiknya ketika menuntut di UIA, Faizal J k Mohd Radzali, 33, berjaya membuktikan pilihan yang dibuat memang tepat memandangkan sambutan terhadap sukan itu ketika ini sangat memberangsangkan.

Kini, Real Adventure Gear Sdn Bhd berdiri megah di Kompleks Pertama, Kuala Lumpur atas titik peluh sendiri dengan membekalkan peralatan seperti pelbagai beg, peralatan serta pakaian terutama jenama Eiger yang terkenal di pasaran Indonesia serta produk Bodypack dan Nordwand.

Pencapaian yang dikecapi Nazrin pada hari ini bukannya suatu yang datang secara mudah dan beliau bukannya mewarisi kemewahan keluarga tetapi berusaha sendiri.

Semua pengalaman, kesusahan hidup diaplikasikan bapa kepada empat anak ini ke dalam dunia perniagaan dan hidupan harian dengan menganggap segala cabaran, masalah sebagai satu rencah untuk beliau membaiki diri mencapai kejayaan.

"Tiada apa nak dimalukan, memang saya ada kelulusan akademik yang baik, tetapi itu bukan jaminan. Seronok berada di bawah bersama masyarakat kerana ia membantu saya belajar mengenai kehidupan," katanya.

Bahkan, sepanjang pengajian di UIA, ada saja kerja dilakukan sepanjang musim cuti untuk menambah pendapatan. Banyak kerja yang dilakukannya termasuk di stesen minyak, mengecat rumah, buruh binaan, pembantu di pusat membeli-belah, berniaga di pasar malam dan pasar tani.

"Saya dah lali kena marah, kena arah, bertindak ikut arahan bos. Semua saya dah rasa, cukuplah. Saya dah puas bekerja ketika zaman menjadi pelajar universiti. Itu sebenarnya pengalaman cukup berguna untuk saya."

"Sekarang saya buat apa yang saya suka, mengikut minat dan ia sebenarnya lebih menarik tambahan pula bidang ini berkait rapat dengan sedikit pengalaman sedia ada. Syukur, bidang ini menjanjikan masa depan yang cerah kerana tidak ramai anak Melayu yang membekalkan keperluan mendaki," katanya.

Sebagai permulaan sebelum memiliki premis sendiri, beliau dan rakannya banyak menyertai jualan di karnival untuk memperkenalkan produk mereka. Hari ini, Real Adventure adalah antara pembekal utama barangan Eiger.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, February 16, 2009

The Cup Cake Kingdom

(Post: Bahasa Melayu)
"Kepelbagaian saiz, warna dan rekaan menjadikan kek cawan bukan sekadar dicari di akhir majlis bahkan dikomersialkan menjadi sebahagian gaya dan hiasan meja."

Kek cawan atau dikenali seluruh dunia sebagai cup cake bukan pemanis mulut baru tetapi diilhamkan di negara Barat sejak awal abad ke-19. Ketika itu, kek cawan digelar cup cake di Amerika Syarikat serta Australia manakala masyarakat London mengenalinya sebagai kek pari-pari.

Ilham membuat kek cawan muncul bagi memenuhi keperluan masyarakat waktu itu yang mahukan santapan pemanis mulut dinikmati dengan sekali suap.

Selain itu, atur cara majlis terutama tari-menari yang membabitkan banyak pergerakan turut mendesak penyediaan hidangan ringkas, mudah serta mengenyangkan perut tanpa perlu berkongsi.

Pengusaha The Cup Cake Kingdom, Adha Muhamad atau mesra dipanggil Vee mengiyakan kenyataan ini malah memberitahu, kek cawan popular kerana penganjur parti tidak perlu bersusah payah menyediakan piring dan sudu untuk menikmatinya.

"Lebih menyenangkan, cawan kertas boleh dibuang selepas digunakan. Tak perlu bersusah payah mencucinya sebagai mana menggunakan piring," katanya.

Sebelum menjadi fenomena di negara ini, kek cawan kata Vee terlebih dulu digilai di Singapura.

Cara penyediaan kek cawan berbeza mengikut acara dan keperluan. Menurut Vee, bagi hantaran perkahwinan, rekaan dan motif bunga hiasan kek dipastikan lebih sarat dan eksklusif berbanding disediakan untuk majlis hari jadi.

"Bunga mawar dan kekwa pilihan popular untuk kek cawan hantaran perkahwinan. Selain dikatakan lambang cinta, dua bunga ini memiliki kelopak indah yang berupaya memeriahkan rupa hantaran," katanya yang mengusahakan tempahan kek cawan bersama dua rakan kongsi, Azizul Idris dan Muzamer Mohamed.

Vee berkata, kek cawan mereka mampu bertahan sehingga seminggu jika disimpan di dalam peti sejuk. Manakala, yang memuatkan ramuan gula keras (fondant), tahan lebih lama.

"Bagaimanapun, selain dibuat khusus untuk hantaran, saya tidak menggalakkan gula keras digunakan kerana rasanya terlalu manis dan mual diambil dalam kuantiti banyak," katanya.

CONTACT INFO:
Telefon: 013-3082211 (Adha Muhamad)

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Rumpun Damai Nursery

(Post: Bahasa Melayu)
"Menyingkap rahsia kejayaannya itu, Md Rejab berkata, pada mulanya beliau tidak nampak bagaimana tapak semaian boleh memberikan pendapatan tambahan kepada keluarganya."

Kira-kira 37 tahun lalu beliau tidak pernah terfikir bahawa bidang semaian tanaman yang diceburi boleh mengubah hidupnya sekeluarga sehingga mampu meraih pendapatan mencecah jutaan ringgit.

Itulah yang berlaku kepada Md Rejab Hasanudin, 66, seorang bekas pengawal keselamatan sekolah di Kampung Melayu, Sungai Buloh yang kini mengusahakan syarikat landskap, Rumpun Damai Nursery.

Md Rejab yang lebih dikenali sebagai Pak Jab adalah antara perintis landskap di kampung berkenaan sehingga menjadikan kawasan sekitar Sungai Buloh dan Kota Damansara dikenali sebagai bandar nurseri, tempat kunjungan peminat seni hias laman.

"Saya hanya 'jaga' atau 'guard' di sekolah rendah ketika mula-mula menceburi bidang semaian. Saya berguru dengan Isa Bulat, orang pertama yang membuka nurseri di Sungai Buloh."

"Pada awalnya, saya hanya bekerja dengan Isa secara sambilan pada siang hari untuk menambah pendapatan manakala pada malam saya bertugas menjadi jaga di sekolah," katanya yang kini mempunyai tiga tapak semaian, dua di Sungai Buloh dan satu di Sungai Petani, Kedah.

"Mula-mula dulu, saya tanya Isa, mengapa dia menanam pokok yang tidak mendatangkan hasil seperti buah-buahan. Saya tidak nampak pokok yang berbunga dan berdaun ini boleh memberi duit."

"Selepas diterangkan Isa bahawa pokok bunga turut membuka rezeki kerana dibeli pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk landskap bandar baru dan kilang perusahaan, baru saya faham. Selepas itu, saya mengambil kursus semaian Jabatan Perhutanan yang dibuka kepada kakitangan kerajaan pada masa itu," katanya.

Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang dikutip selama sembilan tahun bekerja sambilan di Nurseri Sungai Buloh milik Mohd Isa, Md Rejab akhirnya mengambil keputusan membuka tapak semaian sendiri pada 1980.

Bermula dari situ, beliau terus mengembangkan perniagaannya dan kini menjadi kontraktor landskap untuk projek besar milik kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), swasta dan orang perseorangan.

Antara projek besar yang diusahakan syarikatnya ialah landskap untuk projek di bawah Arkib Negara dan Institut Perundangan dan Kehakiman Malaysia di Bangi.

Terkini, syarikatnya yang mempunyai 10 pekerja tetap itu melakukan kerja landskap untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Projek Mengindahkan Sungai Gombak dengan kontrak jutaan ringgit bagi tempoh tiga tahun.

Selain menjadi kontraktor landskap, syarikatnya juga menjadi pembekal pokok untuk landskap di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi cawangan syarikatnya di Kedah.

Menceritakan pengalamannya, beliau berkata, pada peringkat awal, agak sukar untuk menjual hasil tapak semaian tetapi dengan bantuan Isa, beliau banyak mendapat kontrak kerajaan dan swasta.

"Pernah satu ketika, projek landskap yang dilaksanakan musnah akibat banjir. Saya menanggung rugi kerana selain pokok musnah, saya terpaksa menanam pokok baru yang kosnya ditanggung saya sendiri."

"Dalam projek besar, kita biasanya ada perjanjian dan risiko akibat bencana alam adalah ditanggung pihak syarikat, maka mahu atau tidak, kerja mesti diteruskan. Oleh itu, walaupun pendapatan sedikit, saya lebih berminat melaksanakan projek jangka pendek dan kecil-kecilan."

"Pendapatan yang sikit ini sebenarnya yang membawa kepada keuntungan lebih besar dan segera," katanya.

Selain menjual semaian dan membuat projek landskap untuk orang perseorangan, syarikatnya mula dikenali dan kini menawarkan pelbagai perkhidmatan lain termasuk menjual aksesori taman, membuat kolam, wakaf dan pegola.

Menganggap perniagaan yang diusahakan sebagai ibadah selain tempat mencari rezeki, beliau mengakui tidak pernah menjadikan syarikat lain yang ada di Kampung Melayu itu sebagai saingan tetapi rakan kongsi untuk bekerjasama dan mencari pendapatan bersama.

"Di kampung ini ada 18 kontraktor landskap dan nurseri tetapi kami semua bekerjasama bukannya bersaing. Jika syarikat saya terlalu banyak kontrak dan merasakan tidak mampu melaksanakannya, saya akan minta bantuan rakan lain, begitu juga sebaliknya."

Kini, selain menjadi kontraktor landskap, Pak Jab juga menjadi rujukan mereka yang ingin membuka tapak semaian serta menceburi bidang landskap. Malah, nurseri miliknya juga menjadi tempat pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) membuat latihan praktikal industri.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Ustaz Mekanik

(Post: Bahasa Melayu)
"Agak pelik, ustaz menjadi mekanik kereta, tetapi itulah realitinya kepada anak muda, Mohd Karim Abd Rahman, 32, yang kini mempunyai tiga bengkel membaik pulih kenderaan dikenali sebagai Aeroline Motors Sdn Bhd di Shah Alam dan Klang, Selangor serta di Parit Buntar, Perak."

Mungkin takdir, mungkin juga kebetulan. Seorang siswazah berkelulusan Sarjana Muda Syariah Universiti Malaya (UM) pernah memohon melanjutkan pengajian sebagai ustaz menerusi Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) tetapi ditolak sepanjang tiga tahun berturut-turut.

Kegagalan itu mungkin menyebabkan kerjayanya berbeza daripada kelayakan dimiliki selepas bergelar pengusaha dan pemilik bengkel kenderaan.

Walaupun dunia berbeza, tetapi impiannya mendidik tetap diteruskan melalui pendekatan lain iaitu menerapkan nilai murni melalui pengisian pelbagai program rohaniah kepada anak buahnya.

Hujahnya mudah, jika pekerja mempunyai keimanan, pegangan agama kukuh serta mendapat sokongan padu majikan, sudah tentu ia akan menyumbang kepada hasil kerja berkualiti dan murni.

"Kami berikan pekerja ilmu, kemahiran berterusan supaya mereka belajar sesuatu. Takkan selamanya mereka mahu menjadi mekanik, sekurang-kurangnya saya mahu menjadikan mereka tauke bengkel."

Baginya, berkongsi ilmu mengusahakan bengkel kenderaan sudah memadai untuk menyebarkan ilmu selepas hasratnya menjadi seorang ustaz terbantut. Kini, pendekatan kerja diamalkan berdasarkan konsep 3S iaitu Solat, Syukur dan Sedekah.

Mengulas lanjut konsep kerja 3S itu, Karim menegaskan, setiap individu patut bersyukur dengan rezeki dan kemahiran dimiliki tetapi perlu sentiasa berusaha memajukan diri. Paling penting, sentiasa menunaikan zakat kerana ia sebenarnya hak milik individu lain yang berhak.

"Saya juga membesar dalam keluarga susah dan menjadi anak yatim ketika berusia lima tahun. Perasaan itu menginsafkan diri untuk maju dan inilah masanya membalas jasa keluarga dan bangsa."

Selepas lima tahun terbabit dalam perniagaan ini, beliau mensasarkan meningkatkan jualan kepada RM400,000 sebulan dan bercadang membuka tiga lagi cawangan baru di Butterworth, Pulau Pinang dan Nilai, Negeri Sembilan serta Sepang, Selangor.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Kraftangan Dari Bahan Buangan

(Post: Bahasa Melayu)
"Berkat kegigihan dan sentiasa memanfaatkan bahan buangan, Saodah sekeluarga memperoleh pendapatan agak lumayan apabila hasil kraf tangan tersebut mendapat sambutan baik daripada orang ramai termasuk dari Singapura."

Seorang suri rumah, Saodah Sujak, 60, dari Kampung Parit Tengah, Sri Gading, Batu Pahat, Johor, menjadi contoh kepada wanita tempatan apabila mengusahakan industri kraf tangan secara kecil-kecilan daripada bahan buangan termasuk akhbar lama di rumahnya sejak 10 tahun lalu.

Menurut Saodah, selain akhbar lama, beliau turut menghasilkan kraf tangan daripada bahan plastik, kelapa, polestrin dan daun getah.

Katanya, antara yang dihasilkan adalah pokok dan daun bunga, pasu, bakul telur dan pelbagai cenderamata.

"Kesemua barang ini dibuat berdasarkan tempahan pelanggan dan boleh disiapkan antara dua hingga enam bulan," katanya.

"Harganya bergantung kepada sesuatu barang iaitu antara 60 sen hingga RM300 setiap satu."

Menurutnya, bagi bakul telur yang dibuat daripada akhbar lama untuk majlis perkahwinan, beliau mampu menyiapkan sebanyak 1,000 buah dalam masa dua bulan dengan harga 60 sen sebuah.

Saodah memberitahu, pengetahuan asas mengenai kraf tangan itu diperoleh daripada Kemas dan Risda yang kemudian dikembangkan mengikut daya kreativiti diri dan anaknya.

"Kedua-dua agensi ini banyak memberi sokongan termasuk membawa hasil kraf tangan kami ke beberapa pameran peringkat negeri dan kebangsaan," katanya.

Menurutnya, dia bersedia mengembang atau membesarkan industrinya itu pada masa akan datang jika mendapat bantuan dan sokongan daripada beberapa agensi kerajaan.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, February 15, 2009

Homestay Kampung Lonek

(Post: Bahasa Melayu)
"Apa yang menarik, pakej percutian merangkumi aktiviti kemasyarakatan penduduk dan keunikan juadah tempatan seperti masak lemak cili api dan asam pedas menanti pengunjung yang menginap di perkampungan ini."

Homestay Kampung Lonek mula beroperasi sejak 2005, terletak di Kampung Lonek, Jempol, Negeri Sembilan.

Bertemakan 'Sehari di Kampung Tradisi', kemudahan homestay ini menampilkan pelbagai aktiviti berteraskan tradisi masyarakat setempat.

Setiausaha Homestay Kampung Lonek, Nor Asiah Haron berkata, kegiatan Mengemping Padi menjadi ikon Homestay Kampung Lonek sesuai dengan kegiatan utama penduduknya mengerjakan sawah padi.

"Pesta Mengemping Padi adalah keunikan Homestay Kampung Lonek. Ini membezakan kami dengan homestay lain."

"Selain itu, kesenian Bongai dengan lagu tradisi masyarakat Negeri Sembilan juga menjadi daya tarikan pelancong."

Program Homestay Kampung Lonek pastinya membawa kebaikan kepada masyarakat luar mahupun setempat.

Melalui program ini, para pelancong dapat menikmati suasana kehidupan di kampung dan pada masa yang sama juga dapat membantu menjana ekonomi penduduk kampung.

CONTACT INFO:
Hubungi Nor Asiah Haron
Telefon: 012-6915482

Email: homestay_lonek@yahoo.com.my

Sumber: Berita Harian Online , Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sajian Puyuh Bentara

(Post: Bahasa Melayu)
"Salah satu keistimewaan kita ialah hampir kesemua menu makanan dilengkapi dengan puyuh. Burung puyuh dijadikan masakan utama, malah boleh dikatakan kita tidak mencampur daging lain seperti lembu atau ayam di dalam hidangan. Daging puyuh yang disediakan pula diperoleh secara segar dari ladang sendiri."

Kesegaran aroma nasi puyuh panas mungkin menjadi faktor Restoran Puyuh Bentara terus dapat bertahan lama.

Walaupun telah beroperasi sejak empat tahun lalu, ia terus diburu pelanggan tetap kerana 'trademark' hidangan pelbagai masakan puyuh dan nasi panasnya.

Pengusahanya, Zakaria Haron, 52, memberitahu, restoran mereka agak sinonim di kalangan masyarakat sekitar Kedah selatan dan Pulau Pinang.

Menurut Zakaria, antara menu popular yang disajikannya ialah nasi puyuh, sup herba puyuh, nasi goreng puyuh, kari puyuh dan mi puyuh.

"Namun, sajian yang paling popular di kalangan pelanggan ialah puyuh goreng ala-ala restoran makanan segera," katanya.

Menceritakan penglibatannya dalam bidang tersebut, bekas Sarjan Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu berkata, beliau memulakan ternakan berkenaan secara sambilan di kawasan belakang rumahnya seluas 0.75 hektar di Kampung Batu 8 1/2 sejak tahun 1994.

"Setelah bersara pada 1996, dengan menggunakan sebahagian wang ganjaran berjumlah hampir RM30,000, saya membesarkan lagi reban ternakan dan menambah jumlah ternakan," katanya.

Kata Zakaria, kini ternakan berkenaan diswastakan kepada kenalannya manakala beliau sendiri mengambil alih tugas membekalkan daging puyuh segar dan mengusahakan Restoran Puyuh Bentara.

"Ia kini dibantu oleh isteri Siti Zauyah Darus dan anak-anak serta sanak-saudara saya," jelasnya.

Berkenaan dengan waktu operasi restoran tersebut, katanya, "Saya memilih berniaga pada waktu malam kerana ia merupakan masa sesuai bagi pelanggan yang berumah tangga membawa ahli keluarga mereka makan di sini."

Katanya, para pelanggannya terdiri daripada pelbagai kaum dan setiap hari kira-kira 300 hingga 500 ekor puyuh berjaya dijual.

"Di samping urus restoran, saya membekal antara 1,000 hingga 2,000 ekor puyuh kepada pengusaha restoran nasi kandar sekitar Kedah dan Pulau Pinang setiap hari."

"Selain itu, saya juga menyediakan perkhidmatan katering makanan berasaskan puyuh hampir setiap minggu," katanya.

INFO:
Restoran Puyuh Bentara
Lokasi: Batu 8 1/2, Jalan Padang Serai-Lunas, Kedah

Waktu operasi: 5 petang hingga 11 malam

Telefon: 019-5629340 (Zakaria) atau 017-5588462 (Siti Zauyah)

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Indah Kasturi Textile

(Post: Bahasa Melayu)
"Saya mahu perniagaan ini terus mekar mengharum sepanjang tahun sejajar dengan nama kedai ini, Indah Kasturi Textile. Indah membawa maksud semua yang ditawarkan di sini adalah yang terbaik dan bermutu tinggi. Kedua-dua ciri ini merupakan aspek utama dalam mengungkap istilah indah. Manakala kasturi pula merujuk buah limau yang harum baunya dan kebiasaannya bau harum kasturi disukai ramai."

Pemiliknya, Samsuri Jaafar, 35, berkata, IKT bukan hanya menawarkan kain potong dan kain kayu yang terbaru, sebaliknya turut memenuhkan kedainya dengan aneka tudung daripada fabrik bawal Nombor 1.

Kedai ini diusahakan bersama isteri tersayang, Roslina Mohd Noor, 29, dengan tingkat atas menempatkan kain kayu, telekung, anak tudung, selendang dan baju kurung siap untuk kanak-kanak manakala tingkat bawah dipenuhi dengan tudung, kain potong, kain pasang dan baju kurung siap wanita serta kerongsang.

"Bekalan kesemua tudung-tudung ini diperoleh dari Kota Baharu, Kelantan. Bukan sahaja fabrik yang digunakan bermutu tinggi iaitu bawal Nombor 1, malah batu yang digunakan juga berkualiti dengan kesemuanya dijahit agar tidak mudah tertanggal," katanya.

Antara jenis tudung yang ditawarkan di IKT ialah Manjalara, Bella, Qaisara, Mata Lalat, Air Mata dan Viva.

"Seperti tudung, kain potong yang ditawarkan di sini juga adalah yang terkini. Ini merupakan sebahagian daripada strategi perniagaan kerana terdapat tujuh kedai kain di Raub," ujarnya.

Persaingan juga menyebabkan Samsuri menggerakkan beberapa strategi termasuk menjual pada harga yang lebih murah.

"Saya lebih rela mendapat sedikit untung, asalkan kedai saya tidak putus-putus dikunjungi pelanggan," katanya.

Memiliki lima orang pekerja tetap, IKT yang dibuka setiap hari kini berusaha meluaskan rangkaian jualannya dengan menawarkan kepada orang ramai yang berminat menjualnya dari rumah ke rumah di sekitar Raub, Bentong dan Lipis.

"Mereka yang berminat boleh mendapatkan bekalan tudung dan kain dari IKT. Soal harga dan komisen boleh dirunding dengan menemui saya di sini."

Beliau juga membuka gerai di pasar malam pada petang Jumaat dan pagi Sabtu di Lipis manakala pada Sabtu malam minggu pula, gerainya boleh ditemui di pasar malam Benta.

Menyentuh tentang harapan dan matlamat yang ingin dicapai, Samsuri berharap IKT akan terus berkembang maju melalui pembukaan cawangan di beberapa bandar sekitar Pahang.

"Setiap usahawan mempunyai impian dan itulah harapan saya dan isteri dalam memajukan perniagaan ini," ujarnya penuh bermakna.

INFO:
Indah Kasturi Textile terletak di selekoh jalan utama di pekan Raub yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Kuala Lipis dan Jerantut di Pahang serta Kota Bharu di Kelantan.

Waktu operasi: Dibuka setiap hari mulai pukul 9.00 pagi hingga 7.00 malam

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::