Tuesday, March 31, 2009

Bubu The Clown

(Post: Bahasa Melayu)
"Memang itu punca rezeki saya tetapi paling penting ialah mencapai kepuasan dalam setiap program yang saya hadiri."

Di dalam dunia badut tempatan, pasti nama Bubu cukup dikenali kerana kerap menjadi tetamu undangan majlis perasmian, parti, sambutan hari jadi atau aktiviti sekolah sekitar Lembah Klang, tetapi kadang kala langkahnya juga menjangkaui sempadan hingga ke Pahang.

Tidak ramai yang sanggup menjadikan kerjaya sebagai badut sebagai pekerjaan tetap sepenuh masa, tetapi badut Bubu atau nama sebenarnya Hassan Mamat, 34, tetap bersyukur kerana melalui cara itu beliau dapat menampung keluarga dan membesarkan anak-anak.

Bukannya tidak mahu mencuba pekerjaan lain, tetapi Bubu percaya itulah rezekinya kerana beliau sememangnya cukup berpengalaman dalam pahit maung mencari rezeki.

"Ia cukup mudah, jika kanak-kanak terhibur, mengambil bahagian dalam aktiviti yang saya buat, ia sudah memadai. Itu bermakna saya berjaya."

"Lebih tersentuh apabila penganjur atau tuan rumah mengucapkan syabas kerana ia sebenarnya satu penghargaan, pengiktirafan terhadap kemahiran diri. Sebab itu saya sentiasa berusaha belajar benda baru, tambah ilmu untuk pelbagaikan persembahan," katanya.

Kini, beliau berbangga dengan kerjanya sebagai badut sepenuh masa sejak 2003 kerana sudah mempunyai ramai pelanggan tetap.

Bubu juga sering menerima undangan di majlis perasmian, aktiviti di pusat beli belah, pesta atau majlis sambutan hari jadi yang dihadiri ramai kanak-kanak dan majlis perkahwinan.

Selain kemahiran menggubah belon, beliau turut berusaha mempelbagaikan persembahan termasuk pertunjukan silap mata membabitkan penyertaan kanak-kanak dan menjalankan aktiviti parti.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

T-Shirt BrotherhoodArts

(Post: Bahasa Melayu)
"BrotherhoodArts bermula sebagai pengedar secara kecil-kecilan di rumah selepas melihat pasaran Indonesia yang banyak menggambarkan keindahan Islam melalui paparan ikon Islam pada baju-T."

Bijak mengolah idea berteras dua prinsip berkenaan menjadi titik mula kepada Anfaal Saari, 30, dan suami, Ammar Mohd Zain, 30, untuk menceburi bidang kreatif seterusnya mengedarkan baju-T bermotif abstrak khusus bagi remaja Islam.

"Semuanya bermula hanya dengan satu niat iaitu mengubah pandangan semua pihak terhadap Islam. Lantas idea itu kami zahirkan menggunakan medium pencetakan baju-T kerana ia mudah difahami dan boleh diperagakan apabila dipakai."

"Medium itu juga satu cabang kreatif yang selari dengan kemahiran dimiliki suami dan sepadan dengan keinginan kami untuk berinteraksi serta menyebarkan dakwah kepada kelompok sasaran melalui dunia penuh warna," katanya.

Menggunakan label BrotherhoodArts, jenama yang diketengahkan beridentitikan Islam itu mula dipasarkan di Internet sejak 2004 berkonsepkan small office/home office (SoHo).

Sehingga kini, BrotherhoodArts menawarkan 12 rekaan baju-T untuk remaja lelaki dan 13 rekaan lain untuk remaja perempuan.

Kelainan baju-T BrotherhoodArts adalah setiap rekaan motif ditawarkan di dalam satu warna saja manakala saiz bermula dari M hingga XXXL untuk perempuan dan M hingga XXL untuk lelaki.

Selain mengedarkan baju-T, BrotherhoodArts turut memasarkan kad doa dan penanda buku untuk dipasarkan pada bulan Ramadan.

BrotherhoodArts turut menghasilkan lencana butang (button badge) dengan paparan grafik berunsurkan Islam dan sarung lengan bersulam untuk Muslimah, sesuai dipakai bersama pakaian kasual dan ketika bersukan.

"Bagi mempelbagaikan produk, kami turut merancang untuk mengeluarkan pakaian kanak-kanak berimej grafik juga berunsurkan Islam serta membuka Butik BrotherhoodArts satu hari nanti."

CONTACT INFO:
Telefon: 019-2777202 (Ammar) atau 019-2227201 (Anfaal)

Email: brotherhood_arts@yahoo.com

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tokei Kerepek Ubi Kayu

(Post: Bahasa Melayu)
"Kejayaan usahawan ini bukannya datang bergolek. Ia hasil kerja keras, didorong rasa tanggungjawab untuk memberikan kehidupan yang lebih terjamin buat isteri dan lima orang anaknya yang sedang membesar ketika itu."

Pesara tentera, Haji Jamaluddin Singah, 60, dari Kampung Bukit Bangkong, Sg Pelek di sini, kira-kira 100km dari Kuala Lumpur bergelar usahawan dengan pendapatan lumayan kerana ubi kayu.

Beliau mampu meraih pendapatan kasar sehingga RM69,000 sebulan, hasil perniagaan kerepek ubi kayu dan makanan ringan lain yang diusahakan sejak 1987.

Perusahaan Sepang RJ milik Jamaluddin tidak bermula dengan modal yang besar atau pun pinjaman bank. Semuanya dibuat secara berdikit-dikit dan perniagaan yang diusahakan secara industri kampung ini semakin meningkat.

Jamaluddin boleh berbangga kerana produk kerepek ubi kayunya turut dipromosikan dengan bantuan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Malaysia (FAMA) ke Singapura, Brunei, Bahrain, China dan Taiwan.

Dengan modal awal sekitar RM50, beliau membeli kuali dan sagat ubi untuk memulakan perniagaannya secara kecil-kecilan. Dapur memasak pula terdiri daripada "tungku" dan kayu api.

Bermula dengan sebuah tungku menjadi 10 tungku dan dari tungku kayu api kepada dapur gas.

Ketekunan dan kegigihan beliau mengusahakan perniagaan kerepek ubi kayu ini kemudiannya mendapat perhatian pejabat pertanian. Dari sebuah kuali menggoreng automatik (yang diberikan jabatan pertanian), beliau telah menambah dua lagi kuali menggoreng bagi memenuhi keperluan pengeluaran.

Usaha-usaha pemasaran dilakukannya sendiri. Tanpa perasaan segan dan malu, beliau menemui pengusaha kedai di lebuhraya, stesen minyak serta pasaraya mini untuk memasarkan kerepek ubinya.

"Saya kemudiannya berjinak-jinak dengan FAMA. Merata saya ikut ekspo mereka untuk promosi kerepek ubi kayu yang saya hasilkan ini," kata Jamaluddin.

Bagi menjamin bekalan ubi kayu yang mencukupi, Jamaluddin mengambil langkah menanam pokok ubinya sendiri. Beliau mengusahakan ladang ubi kayu seluas 40 hektar di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Sungai Belankan yang terletak kira-kira 4 km dari rumahnya. Pokok ubi yang ditanam adalah dari jenis yang menghasilkan ubi berwarna kuning yang sememangnya sesuai dijadikan kerepek.

Sehingga kini, Perusahaan Sepang RJ menghasilkan 16 jenis makanan ringan. Untuk kerepek ubi, di samping ubi masin, terdapat perasa lain seperti ubi pedas kering, ubi perasa lada hitam, ubi perasa BBQ dan ubi perasa kari.

Makanan ringan lain termasuk kerepek pisang, rempeyek, keropok bawang, keropok kacang dal, jejari ikan bilis, kuih tiram, kuih bahulu dan kuih bijan.

Sumber: BERNAMA

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, March 30, 2009

Pengukir Sarung Keris

(Post: Bahasa Melayu)
"Walaupun tidak mempunyai guru dalam seni membuat sarung parang daripada kayu, Sampul mengakui dia bekerja mengikut gerak hati dan terus mencuba sehingga ke tahap sekarang iaitu mampu untuk menerima tempahan."

Mohd Sampul Din, 66. Namanya saja sudah cukup unik dan menarik, apatah lagi warga emas ini mempunyai keistimewaan dan kelebihan tersendiri yang boleh dikongsi bersama.

Nama itu sebenarnya sinonim dengan kemahiran yang dimiliki Sampul atau lebih dikenali dengan panggilan Atuk di kalangan penduduk Kampung Medan, Petaling Jaya, Selangor.

Ia memang sesuai dengan kemahirannya membuat sarung parang, pisau dan keris yang siap lengkap dengan ukiran seni Melayu dengan pelbagai corak dan tema serta bergantung kepada permintaan pelanggan.

Itulah kelebihannya yang tidak diwarisi tetapi dipelajari sendiri, hasil minat dan mencuba kehendak hati hingga berjaya menghasilkan ukiran seni yang boleh dibanggakan.

Mengenai idea corak ukiran, bekas pekerja kilang ini menjelaskan ia bergantung kepada permintaan pelanggan tetapi kebiasaannya mereka lebih sukakan kepada corak yang sedia ada atau dibuat oleh Sampul.

Kebanyakan kayu yang digunakan ialah jenis Surian, Rengas, Ciku, Cempedak, Meranti Bunga dan Menireh.

"Kayu Surian paling mahal dan cantik manakala kayu Menireh memberikan pelanggan lebih banyak pilihan kerana warnanya bercampur aduk tetapi menarik. Jika disembur pewarna khas, coraknya akan lebih jelas," katanya.

Setiap tempahan biasanya akan mengambil masa kira-kira seminggu untuk disiapkan disebabkan kesibukan Sampul membantu hal keluarga. Jika dibuat berterusan, ia boleh disiapkan dalam masa dua hingga tiga hari.

Walaupun ada pelanggan yang hanya berminat dengan sarung tanpa corak, beliau tetap teliti dengan kerjanya bagi memastikan corak kayu asli kekal dan warnanya menyerlah selepas digosok dan diwarnakan.

INFO:
Tema corak ukiran hulu dan sarung: Harimau, Naga, Batik, Tumbuhan Harga

Harga tempahan: Antara RM200 hingga RM400 sepasang

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Kek Cawan Dimplecake

(Post: Bahasa Melayu)
"Kek yang saya sediakan ini mampu bertahan seminggu jika dalam keadaan terdedah dan lebih lama dari tempoh itu, andai disimpan di dalam peti sejuk."

Bagi Siti Hawa Mohd Ariff yang sudah dua tahun menerima tempahan kek cawan berkata setiap kek dihasilkan menyajikan ciri moden namun praktikal.

"Kek cawan tidak sekadar menampilkan rupa yang cantik tetapi sedap dimakan."

Keistimewaan ditawarkan Siti Hawa ialah setiap kek cawannya tidak akan mengutarakan hiasan serta warna yang sama.

Malahan, perisa adunan gula halus (aising) boleh dipilih daripada buah-buahan seperti pisang, strawberry dan banyak lagi di samping coklat, mentega dan sebagainya.

Penyediaan kek dari rumah bagaimanapun kata Siti Hawa menuntut daya kreativiti tinggi dan disusuli usaha berlipat ganda.

Ini penting dalam memastikan juadah kek disediakan menonjolkan kepelbagaian rasa, rupa tersendiri dan paling utama, menyelerakan.

Meskipun, serbuk penahan diakui membantu memanjangkan hayat kek, Siti Hawa tidak berminat menggunakannya dalam adunan kek. Sebaliknya, kesegaran kek dipastikan dengan cara menyiap adunan kemudian membakarnya sehari sebelum majlis berlangsung.

INFO:
Bilangan tempahan minimum: 50 biji kek sebesar ukuran siling 50 sen

Tempahan kek secara online iaitu melalui blog Dimplecake

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::