Wednesday, March 17, 2010

Juara Pertandingan Fesyen Aksesori Batik

(Post: Bahasa Melayu)
" Dua dua tahun lalu, Rico Rinaldi Tono, 23, hanyalah graduan Diploma Fesyen dan Rekaan Perdagangan, Universiti Limkokwing, Cyberjaya, Selangor, yang berusaha mencari tapak memperkenalkan nama dalam industri fesyen tanah air. "

Namun pereka muda berdarah campuran Melayu-Indonesia itu mengakui ia bukan satu impian yang mudah. Memandangkan majoriti penggemar fesyen Malaysia lebih gemar mendapatkan khidmat pereka yang memiliki portfolio hebat dan terbaik.

Kriteria hebat yang dimaksudkannya itu bukan sahaja dinilai dari segi koleksi yang digayakan oleh golongan selebriti atau individu ternama. Sebaliknya, kandungan portfolio itu perlu disusuli dengan kejayaan menjuarai sesebuah pertandingan fesyen.

Menyedari hakikat tersebut Tutor Acara Fesyen di Universiti Limkokwing itu mula mengumpul idea dan konsep untuk mencipta signatur fesyen tersendiri.

Kajian demi kajian dilakukan akhirnya seluar Maharani India yang menyerupai potongan seluar Ali Baba dan teknik lipatan bertindih menjadi pilihan. Rekaan seluar berkenaan dirasakan unik apabila dipraktikkan pada setiap busana rekaannya.

"Lipatan bertindih merupakan teknik yang istimewa. Ia tampak cantik pada rekaan seluar, kaftan, jumpsuit, gaun mahupun blaus," jelas anak ketiga daripada empat orang adik-beradik itu.

Tambah pereka fesyen yang gemar menyimpul senyuman itu selesai proses menyiapkan beberapa helai busana semangat untuk berjuang dalam pertandingan mula timbul.

Perasaan malu dan gugup diketepikan kerana baginya hanya menerusi pertandingan barangkali dapat mengubah nasibnya.

"Banyak pertandingan yang sudah saya sertai. Walaupun tidak berjaya membawa pulang hadiah utama tetapi saya bersyukur kerana pengalaman dan pendedahan yang diperoleh cukup mematangkan," ujarnya yang mula berjinak-jinak menghasilkan kaftan moden yang digayakan bersama lilitan turban rona terang.

Berkat kesungguhan dan kreativitinya, Rico berjaya memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Fesyen Aksesori Batik.

"Bertitik tolak daripada kemenangan itu secara tidak langsung mendorong saya mencuba nasib dalam pertandingan Piala Seri Endon 2009 pula."

"Lebih menggembirakan pertandingan tersebut turut menobatkan saya menjuarai kategori fesyen," luah Rico mengenai pertandingan anjuran Yayasan Budi Penyayang Malaysia dan membawa hadiah wang tunai RM30,000, piala dan sijil penyertaan.

Apakah pendapat anda mengenai batik?

Ia merupakan fabrik warisan negara yang perlu dipulihara dan melakukan transformasi dari semasa ke semasa tanpa perlu mengubah signatur asalnya. Fabrik batik ini tampak menarik dan sesuai untuk rekaan kasual, moden dan formal.

Bergelar pereka fesyen memerlukan anda memikirkan soal rekaan dan konsep. Bagaimanakah ilham-ilham itu timbul?

Ilham timbul daripada faktor sekeliling dan buku-buku sejarah yang dibaca. Biasanya buku sejarah dan warisan pelbagai negara banyak membantu menyuntik elemen baru pada rekaan. Namun begitu sentuhan budaya Asia, moden dan teknik lipatan masih menjadi pilihan.

Boleh ceritakan mengenai fesyen dan penampilan peribadi anda?

Saya gemar fesyen ringkas tetapi unik. Selain menyarungkan seluar harem atau seluar yang memiliki unsur lipatan, seluar jean potongan tirus salah satu item fesyen kegemaran. Saya tidak pernah malu berpakaian sedemikian.

Pernah juga para pelajar saya di universiti memandang pelik tetapi lama-kelamaan mereka sudah boleh menerimanya dan memahami mengenai stail dan trend.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, March 15, 2010

Mengoptimakan Penggunaan eBay

(Post: Bahasa Melayu)
" Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan perlu memanfaatkan Internet khususnya eBay sebagai platform mengembangkan perniagaan kerana Internet kini mempunyai 15.8 juta pengguna dan berkembang sehingga 67 peratus dari akhir 2008 hingga Disember 2009. "

Ketua Pegawai Operasi eBay China, Asia Tenggara dan Jepun, Oliver Hua, berkata perubahan dunia digital memerlukan PKS mempunyai laman web bagi kemudahan jual beli elektronik (e-dagang) yang dibantu platform dipercayai untuk menggalakkan jualan.

"E-dagang menjadi pilihan terbaik untuk PKS terutama pengusaha yang berada di luar bandar untuk memasarkan produk mereka di peringkat antarabangsa hanya melalui satu klik di hujung jari," kata Hua.

Beliau berpendapat, aktiviti e-dagang berkembang dengan baik di Malaysia apabila ia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 29 peratus pada tahun lalu walaupun negara ini masih di peringkat awal dalam industri terbabit.

"Menerusi data yang kami peroleh, banyak negara Barat melakukan pembelian secara online ke atas produk yang dipasarkan Asia dan hal ini perlu dipandang positif pengusaha PKS," katanya.

Tambahnya, urus niaga dengan bantuan Paypal menyediakan proses yang pantas dalam urusan perniagaan terutama membabitkan transaksi kewangan.

eBay boleh dianggap pasaraya online terbesar dunia manakala Paypal pula menyediakan perkhidmatan yang membenarkan ahlinya menghantar dan menerima pembayaran secara online tanpa mendedahkan maklumat kewangan.

Dalam perkembangan berkaitan, Hua memaklumkan syarikatnya menawarkan insentif kepada PKS yang mahu memulakan perniagaan menerusi eBay menerusi bayaran memasukkan produk dimansuhkan sehingga 100 senarai.

"Malah, kami menawarkan program yang memberi kefahaman kepada pengusaha PKS termasuk khidmat nasihat diusahakan Pakar Pendidikan eBay di negara ini," katanya.

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, March 14, 2010

Choc Box Arah Chocolate

(Post: Bahasa Melayu)
" Tidak pernah terlintas di fikiran Siti Zahrah Mat Zin, 35, bahawa dengan mempromosikan coklat buatan tangannya di blog, perniagaan secara sampingannya itu mampu bergerak lebih maju dan mempunyai tempahan berganda. "

Tambahan pula, idea membuat blognya sendiri itu bukan datang daripada dirinya sendiri, sebaliknya atas cadangan kakaknya yang mahu melihat perniagaan coklat dari rumah itu bertambah maju.

Dia sendiri tidak pernah begitu bersungguh-sungguh menjalankan perniagaan itu. Namun, dia mula terasa keseronokannya apabila banyak tempahan diterima secara dalam talian, termasuk mereka yang berminat untuk mengikuti kelas pembuatan coklat di rumahnya.

Hari demi hari, kesungguhan menjalankan perniagaan itu datang dengan sendirinya malah dia yang selesa dengan panggilan Arah sentiasa memikirkan corak atau kaedah baru supaya hasil coklatnya menjadi lebih menarik, kreatif dan bertambah lazat.

"Saya belajar membuat coklat sejak awal tahun lepas tetapi hanya pada Disember lalu saya membuat keputusan memulakan perniagaan ini, itu pun selepas mendapat nasihat dan galakan daripada kakak saya."

"Dia juga mencadangkan supaya saya mewujudkan sebuah blog berkenaan perniagaan ini agar lebih ramai orang tahu sekali gus memajukan perniagaan ini," jelas setiausaha syarikat produksi ini.

Bercerita lanjut, sebelum memulakan blog, Zahrah menjalankan promosi secara konvensional, iaitu dengan membawa hasil coklatnya ke pejabat, atau menjadikannya sebagai buah tangan ketika bertandang ke rumah teman-teman.

"Dari situ, mereka mula mengetahui tentang perniagaan ini dan tempahan pun mula diterima."

"Selain itu, suami juga turut membantu dengan membawa coklat ini ke pejabat. Dari situ juga, saya mula membuat hasil coklat yang pelbagai bagi memenuhi cita rasa dan supaya nampak lebih menyelerakan," katanya.

Zahrah bertuah kerana mempunyai seorang suami yang ringan tulang dalam menyiapkan tempahan dan memberi idea-idea reka bentuk coklat yang baru.

Suaminya, Rozaimi Alias, 36, juga memberikan galakan sepenuhnya lantas membuatkan kerja-kerja membuat coklat lebih menyeronokkan.

"Kalau buat seorang diri memanglah bosan apatah lagi sekiranya banyak tempahan. Lagipun, saya berkerjaya dan hanya mempunyai masa terluang pada hujung minggu."

"Jadi, suamilah yang banyak membantu menyiapkan tempahan terutama tugasan yang memerlukan pewarnaan coklat dan penentuan corak coklat," katanya.

Sementara itu, Zahrah sentiasa memantau maklum balas di blognya selain melayani tempahan melalui panggilan telefon.

"Kadang-kadang pelanggan datang sendiri untuk ambil tempahan dan kadang-kadang saya sendiri akan hantar kepada pelanggan sekiranya lokasi berhampiran dengan rumah atau pejabat."

"Selain itu, saya menggunakan perkhidmatan pos sekiranya pelanggan tinggal jauh. Itupun atas dasar persetujuan bersama. Kos penghantaran pos akan ditanggung oleh pelanggan," katanya.

Tambah Zahrah, dia turut menganjurkan kelas bagi mereka yang berminat dengan yuran sebanyak RM180 untuk satu sesi penuh di rumahnya sendiri.

"Saya akan menyediakan semua kelengkapan dan hasilnya mereka boleh bawa balik ke rumah masing-masing."

"Selain itu, saya juga akan menyediakan nota-nota mengenai kaedah masakan, senarai kedai-kedai bakeri yang menjual bahan-bahan dan acuan coklat masakan dan sebagainya," jelas ibu kepada tiga orang anak itu.

Pilih sahaja sama ada Lollichoc, Praline, Choc Oreo atau Choc Box, Zahrah akan menyediakan kesemuanya mengikut pilihan warna, perisa tambahan dan inti daripada pilihan kekacang.

"Kanak-kanak amat menggemari Lollichoc kerana bentuknya yang comel dan harganya juga tidak mahal kerana saya menjual dengan harga lebih murah untuk kanak-kanak iaitu sekitar 90 sen sebatang."

"Bagi pilihan corak Praline yang pelbagai, antaranya bentuk buah-buahan dan bunga, saya jual mengikut jumlah tempahan dan jenis coklat yang digunakan sama ada coklat putih, coklat gelap dan coklat susu atau coklat conventure yang lebih mahal," katanya.

Menurut Zahrah, dia juga menerima tempahan untuk majlis perkahwinan dan pelanggan selalunya menempah Choc Box iaitu kotak coklat yang berisi pilihan coklat Praline yang pelbagai mengikut kehendak pelanggan.

"Choc Box mahal sedikit iaitu sekitar RM55 untuk satu kotak (516 gram) kerana ia diperbuat daripada coklat sepenuhnya dan cara membuatnya lebih rumit kerana mengambil masa lebih panjang dan perlu lebih berhati-hati."

"Choc Oreo pula lebih murah iaitu sekitar RM1.40 setiap satu tetapi dengan pembelian banyak, harga akan menjadi lebih murah. Pelanggan juga boleh memilih tema warna yang dikehendaki," katanya.

CONTACT INFO:
Telefon: 013-3692824

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, March 2, 2010

Auto Wudu Washer

(Post: Bahasa Melayu)
" Ramai yang maklum betapa perlunya penyediaan tempat mengambil wuduk yang selesa, lebih-lebih lagi jika kekerapan ia digunakan digandakan lagi dengan bilangan orang yang menggunakannya. "

Mungkin apa yang difikirkan paling sempurna bagi seseorang pengguna adalah aspek keberkesanan fungsi. Lebih penting, ketika berwuduk, perkara yang perlu dijaga selain adab adalah soal kesucian kawasan atau tempatnya serta cara mengelakkan pembaziran air kerana itu menyumbang kepada kekhusyukan dalam beribadah.

Apabila memikirkan perkara-perkara tersebut, ilham boleh datang kepada sesiapa pun melalui pemerhatian. Sama seperti yang dialami seorang ahli perniagaan, Anthony Gomez, dalam satu kejadian pada tahun 2006.

Pengalaman hendak menggunakan tandas di dalam sebuah feri dalam perjalanan dari Pelabuhan Aqaba, Jordan ke Pelabuhan Taba, Mesir telah membuka Anthony untuk mencipta satu inovasi terkini bagi membantu umat Islam mengambil wuduk.

Ketua Pegawai Eksekutif AACE Technologies Sdn. Bhd., (AACE Technologies) itu berasa terkejut apabila melihat keadaan tandas sempit yang dipenuhi kira-kira 40 jemaah haji. Mereka dilihat sedang mengambil wuduk dengan menggunakan besen.

Anthony seperti terpanggil untuk melakukan sesuatu demi membantu sekali gus mengatasi masalah keselesaan para jemaah di dalam feri itu.

Dia yang berpengalaman luas dalam bidang kejuruteraan penerbangan mula memikirkan tentang suatu ciptaan berteknologi tinggi namun mudah, ergonomik dan praktikal.

“Saya telah mengambil masa kira-kira dua tahun dalam penyelidikan dan pembangunan untuk membangunkan mesin automatik Auto Wudu Washer. Ia adalah mesin wuduk pertama di dunia yang dihasilkan syarikat tempatan.

"Hampir semua bahan yang digunakan untuk membangunkan produk ini adalah bahan tempatan. Kos bagi penyelidikan dan pembangunan bagi Auto Wudu Washer pula mencecah AS$1 juta (RM3.4 juta) dan keseluruhan pelaburan untuk projek membabitkan kira-kira AS$2.5 juta (RM8.5 juta)," katanya.

Beliau menambah, terdapat dua model dalam proses pengeluaran AACE Technologies iaitu model 707 dan model 708 dijangka akan memasuki pasaran pada bulan Julai ini.

Perbezaan mengenai dua model ini ialah model 707 disasarkan untuk kegunaan di pejabat dan rumah.

Ia mempunyai ketinggian 190 sentimeter (sm) dan lebar 110 sm manakala model 708 dibina khusus bagi kegunaan seperti masjid, lapangan terbang, hotel serta pusat membeli-belah dengan ketinggian 150 sm serta lebar 86 sm.

Ujar Anthony, antara keistimewaan mesin ciptaannya adalah ia tidak menggunakan air yang begitu banyak dan hanya memerlukan 1.3 liter untuk seseorang menyempurnakan wuduk.

Katanya, ia tentu sekali dapat menjimatkan penggunaan air kerana berbanding menggunakan paip biasa, seseorang tanpa disedari akan 'membazirkan' lapan liter air.

"Sebagai contoh, mesin ini hanya memerlukan 10 juta liter air untuk kegunaan wuduk harian bagi dua juta umat Islam ketika musim haji di Mekah."

"Sebab itu AACE Technologies menyasarkan pasaran di negara Asia Barat untuk menjual mesin wuduk ini kerana kebanyakan daripada negara tersebut berdepan kekurangan bekalan air," ujarnya lagi.

Selain daripada menjimatkan air, mesin Auto Wudu Washer turut mengetengahkan teknologi khas bagi memastikan ia bersih dan selamat digunakan.

Penasihat AACE Technologies, Dr. Taufiq Thiagi, berkata: "Dalam pembangunan mesin wuduk automatik ini, kita telah membuat kajian agar pengguna terhindar daripada mendapat jangkitan kuman atau kulat air pada kaki mereka."

"Teknologi nano yang diterapkan dalam pembangunan mesin wuduk ini amat membantu. Nano perak yang terdapat pada mesin ini biasanya digunakan untuk mengecat dinding hospital kerana ia membunuh kuman."

Ujar beliau lagi, mesin wuduk tersebut juga didatangkan dengan sistem pengering untuk membolehkan pengguna berada dalam keadaan kering apabila menggunakan Auto Wudu Washer.

Katanya, itu menggalakkan persekitaran tempat mengambil wuduk sentiasa dalam keadaan kering. Idea ini dipraktikkan kerana kuman boleh merebak dengan pantas di persekitaran yang basah dan lembap.

"Secara tidak langsung, kelembapan yang dapat dielakkan itu dapat mengurangkan kerosakan pada permaidani dan mengatasi masalah bau hapak di masjid atau surau," ujarnya.

Kualiti amat ditekankan dalam pembangunan mesin automatik wuduk ini apabila sistem pengesan pemencar (diffuse sensor) turut digunakan agar ia lebih tahan lama.

"Misalnya, jangka hayat mesin basuh dapat dipanjangkan apabila mekanisme yang sama digunakan untuk mengelakkan kerosakan akibat terkena air, hentakan dan sebagainya."

Dalam pada itu, Dr. Taufiq menjelaskan, mesin wuduk yang diperbuat daripada keluli tahan karat itu berfungsi dengan dua bahagian punca air.

Di bahagian atas mesin ini terletak tiga titik pancuran air untuk keperluan membasuh muka, tangan dan kepala manakala satu lagi pancuran terletak di bahagian bawah mesin.

"Terdapat lampu pemancar cahaya diod (LED) yang akan membimbing pengguna ketika menggunakan punca air di bahagian atas atau bawah."

"Selain daripada itu, mesin ini turut menggunakan program komputer untuk memberitahu turutan melakukan wuduk," ujarnya.

Memandangkan teknologi ini direka bagi membantu penjimatan air, program komputer yang terdapat pada mesin wuduk ini membolehkan pengguna untuk mengubah kadar dan sukatan air digunakan mengikut kesesuaian masa serta lokasi ia dipasang kelak.

Dr. Taufiq menambah, mesin tersebut mudah dipasang dan amat sesuai digunakan di kediaman, masjid, surau, pejabat serta kapal terbang penumpang.

Katanya lagi, setakat ini AACE Technologies telah menerima tempahan dari Kuwait dan banyak lagi negara Asia Barat yang melahirkan minat untuk mendapatkan mesin automatik ini.

Mesin Auto Wudu Washer ini dijangka akan dijual pada harga RM8,000 hingga RM14,000 bergantung kepada bahan dan perjanjian pengedar nanti.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Koperasi Usahawan Internet Selangor

(Post: Bahasa Melayu)
" Khairul Nizam Mukhtar, 33, juga dikenali sebagai Nizzura, menuntut di 11 sekolah kerana mengikut bapanya, Datuk Mukhtar Ismail, yang sering berpindah-randah demi tuntutan tugas sebagai polis dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Polis Johor. "

Anak keempat daripada tujuh beradik itu boleh dikatakan seorang yang nakal tetapi bijak kerana sentiasa mendapat nombor teratas dalam kelas.

Walaupun dididik dengan disiplin sejak kecil, Nizam dan adik beradiknya masih diberi ruang kebebasan oleh ibu bapa, asalkan tidak melampaui batas.

"Saya boleh bergaul dengan sesiapa saja dan boleh keluar malam tetapi tidak dibenarkan tidur di rumah kawan. Pernah sekali, ketika menuntut di MRSM Pangkalan Chepa, ketika saya memanjat pagar sekolah, bapa yang berkereta terlihat perbuatan saya tetapi mendiamkan saja," katanya.

Pengerusi Eksekutif Koperasi Usahawan Pendidikan Internet Selangor Berhad ini berkata, sejak bersekolah dia bercita-cita menjadi juruterbang tetapi cita-cita itu terpaksa dikuburkan kerana keputusan subjek Fizik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang baik.

Selepas SPM dia menyambung pelajaran ke peringkat A Level di Kolej Mara Banting sebagai persediaan melanjutkan pengajian ke United Kingdom (UK).

Namun disebabkan kegawatan ekonomi, hasrat itu terpaksa dilupakan dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) menghantarnya menyambung pengajian ke Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Nizam antara kumpulan pertama yang belajar di universiti itu. Walaupun kecewa tidak dapat menyambung pengajian ke UK, Nizam tetap meneruskan kursus perakaunan sehingga peringkat ijazah.

Tamat pengajian dan memasuki alam pekerjaan, Nizam tidak bekerja dalam bidang perakaunan, sebaliknya ingin berniaga walaupun tiada pengalaman.

Untuk dua tahun pertama, anak muda ini merasai sepak terajang dalam dunia perniagaan. Antara perniagaan diceburi ialah pembinaan, memasang kamera litar tersembunyi dan menghasilkan filem dalam bentuk cakera padat video berjudul 'Cinta Betting'.

Projek terbesar dijalankan Nizam ialah pembinaan di Jalan Petaling, tetapi mengalami kerugian apabila kontraktor utama tidak menjelaskan bayaran hingga syarikatnya kerugian RM170,000.

Selepas kegagalan itu Nizam yang fobia tidak melakukan sebarang pekerjaan. Selama tiga tahun, kehidupannya ditanggung isteri, Azura Abdul Aziz.

"Disebabkan tidak bekerja, kawan semakin menjauh, saudara mara pun tak layan. Lebih-lebih lagi, apabila anak Datuk gagal, orang akan kutuk. Selama menganggur, saya cuma duduk di rumah bermain permainan komputer dan menjaga anak sulung."

"Puas saya mencari kerja tetapi tidak dapat kerana keputusan perakaunan saya cuma cukup untuk mendapat ijazah."

"Saya pernah buka gerai makan iaitu dengan mengambil alih perniagaan pengusaha bukan Bumiputera, tetapi tidak sampai tiga bulan gerai itu terpaksa ditutup. Rupa-rupanya tempat itu akan ditutup oleh pemilik sebenar. Akhirnya saya gagal dan rugi lagi," katanya.

Pada 2006, isterinya yang bertugas sebagai pensyarah di kolej swasta mendapat tawaran kerja selama dua tahun sebagai guru bahasa Inggeris di sekolah antarabangsa di Jakarta, Indonesia.

"Apabila isteri bertanya sama ada saya mahu pergi ke Indonesia, saya bersetuju. Mana tahu, masa depan saya cerah di sana. Di Indonesia, saya berniaga kecil-kecilan iaitu menguruskan penghantaran amah untuk saudara-mara."

"Tugas itu sukar dan membabitkan banyak pihak. Saya perlu keluar masuk kampung, bertemu ketua kampung, ibu bapa bakal amah, bakal amal itu sendiri manakala gangster kampung pula perlu disuap."

"Kebanyakan agen tidak yakin dengan Malaysia. Pening berurusan dengan manusia iaitu daripada amah, ibu bapa mereka, ketua kampung, imigresen Indonesia dan majikan. Walaupun lumayan, tetapi apabila amah lari, memang tidak berbaloi," katanya.

Menurutnya, ketika menjalankan perniagaan itu, dia terdedah dengan dunia perniagaan Internet.

"Saya menghantar e-mel spam menawarkan khidmat menyediakan amah. Walaupun itu bukan cara yang betul, saya mendapat banyak pengetahuan mengenai perniagaan Internet," katanya.

Pada 2007, berlaku banjir besar di Jakarta yang menyebabkan dia sekeluarga tidak boleh keluar dari rumah selama seminggu.

"Waktu itu Jakarta lumpuh dengan banjir paras pinggang. Kenderaan tidak boleh melalui jalan raya manakala kami tiada wang kerana mesin juruwang automatik tidak berfungsi."

"Selain saya sekeluarga, ada empat amah di rumah. Harga air minuman untuk satu gelen naik 50,000 rupiah (RM20) berbanding 9,000 rupiah (RM4) sebelum banjir."

"Kami terpaksa mencatu air minum dan bekalan susu anak kehabisan. Ketika itu anak kedua baru lahir. Selain itu, kebetulan bahan mentah untuk memasak juga kehabisan dan tidak sempat membeli kerana banjir."

"Peristiwa itu menyebabkan isteri tidak mahu menyambung kontrak pekerjaannya. Kami sekeluarga membuat keputusan kembali ke Malaysia," katanya.

Pulang ke tanah air, Nizam gelabah kerana tiada pekerjaan, sedangkan dia sekeluarga menjalani kehidupan selesa di negara orang.

Pada Ogos 2007, dia terjumpa iklan mengenai seminar perniagaan Internet dikendalikan warga Singapura, Ewen Chia, iaitu orang nombor satu di dunia dalam perniagaan Internet.

"Saya berminat menyertai seminar itu, tetapi tiada wang. Hendak minta dengan isteri, wang ada cukup-cukup saja untuk menyara keluarga. Hendak pinjam dengan keluarga atau kawan, agak sukar."

"Akhirnya, seorang rakan sedia membantu membayar yuran penyertaan berharga RM3,000 menggunakan kad kreditnya," katanya.

Akhir Ogos, Nizam mendapat wang pertama hasil perniagaan menerusi Internet berjumlah AS$54 dari Kanada. Berikutan itu, minatnya dalam perniagaan Internet bertambah kerana menyedari ia boleh mendapatkan keuntungan. Selepas mendapat AS$1,000, dia menanam tekad untuk menimba lebih banyak ilmu daripada Ewen."

Jalan terbuka luas apabila Nizam menerima e-mel daripada Ewen yang memerlukan pekerja untuk syarikatnya.

"Saya membuat permohonan dan diterima bekerja dengan idola saya. Pada Januari 2008, saya bekerja dengan Ewen dan mencungkil rahsia kejayaannya dalam dunia perniagaan Internet. Dia suka sesuatu yang ringkas dan itu yang menjadi rahsia kejayaannya."

"Selama ini orang fikir, jika ingin menjalankan perniagaan Internet, perlukan laman web yang canggih. Sebenarnya, ia boleh dilakukan dengan mudah dan ringkas," katanya.

Ketika 'menuntut ilmu' dengan Ewen, Nizam menetap di Johor Bahru dan berjimat cermat mengeluarkan belanja kerana barangan di Singapura mahal disebabkan tukaran matawangnya yang tinggi.

"Setiap hari dari jam 6.30 pagi hingga 12 tengah malam, saya berulang alik dari Johor Bahru ke Singapura. Antara tugas saya ialah mengendalikan seminar," katanya.

Apabila puas mempelajari ilmu perniagaan daripada ikon usahawan Internet itu, dia bercadang berhenti kerja dan menjalankan perniagaan sendiri.

"Walaupun gaji diterima agak lumayan iaitu RM10,000 sebulan, saya nekad berhenti pada Disember 2007. Orang yang paling marah ialah bapa saya."

"Saya rahsiakan tindakan saya berhenti kerja sehingga Februari 2008, tetapi dia musykil kerana saya sering ada di Kuala Lumpur dan saya terpaksa memberitahunya saya sudah berhenti kerja dan kini menjalankan perniagaan Internet dari rumah," katanya.

Tidak sampai sebulan menjalankan perniagaan, Nizam membuktikan dia mampu berdiri sendiri apabila berjaya memperoleh RM10,000. Semangatnya untuk serius dalam perniagaan itu semakin membara.

"Saya tak boleh buat kerja di rumah kerana setiap kali buka komputer riba, anak berkerumun. Oleh itu saya mengambil keputusan menyewa pejabat dan membuka Pusat Latihan Nizzura untuk berkongsi pengetahuan dengan orang lain."

"Kemudian saya dapat idea menubuhkan koperasi kerana belum ada koperasi untuk usahawan Internet," katanya.

INFO:
Nama: Khairul Nizam Mukhtar
Umur: 33 tahun
Asal: Bukit Rambai, Melaka
Jawatan: Pengerusi Eksekutif Koperasi Usahawan Internet Selangor Berhad
Isteri: Azura Abdul Aziz
Anak: Khairyn Iryna Sofea (7), Khairyl Danial Mukhriz (4) dan Khairyl Aidil Danish (3)

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, March 1, 2010

Mesin Pembuat Beras Gentian

(Post: Bahasa Melayu)
" Malaysia sememangnya diketahui kaya hasil berasnya yang bertumpu di utara tanah air biar pun hakikatnya ia terbukti tidak cukup bagi menampung keperluan rakyat tempatan. Namun kini, sekurang-kurangnya ada pilihan lain iaitu beras optik atau gentian yang dihasilkan anak tempatan. "

Lebih istimewa lagi, beras 'tiruan' hasil campuran bahan mentah seperti isi ikan, ayam, jagung, sayur-sayuran dan ubi kentang itu turut meraih minat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang mahu menjadikannya bekalan bagi menampung keperluan penduduk dunia yang berdepan masalah kekurangan makanan.

Minat badan dunia itu sudah pasti memberi kepuasan tersendiri bagi pencipta beras dan mesin pengeluarnya, Wan Abu Bakar Wan Omar, 32, yang berasal dari Kelantan. Siapa sangka bapa dua anak ini mampu tampil dengan idea menghasilkan beras dikenali BVita Asas itu apatah lagi latar belakangnya bukanlah graduan bidang kejuruteraan mahu pun sains.

Namun berkat kegigihannya berbekalkan idea logik, semangat, titik peluh serta sokongan pihak berkaitan yang sudi membantu, mampu merealisasikan impian yang terpendam sejak sekian lamanya.

Menariknya, rasa BVita Asas yang dihasilkan menggunakan mesin ciptaan Wan Abu Bakar sendiri menerusi syarikatnya, WAB Warnasari Mekar Ent (M) Sdn Bhd (WAB Warnasari), tiada bezanya dengan beras biasa, malah lebih lembut.

Dengan ciri fizikalnya persis beras biasa, beras optik ini juga siap dimasak seawal lima minit. Ia juga boleh dinikmati dengan ditambah air panas - sekali gus menjadikannya sesuai bagi kegunaan anggota tentera dan polis yang bertugas selain pihak hospital.

Selain penghasilannya menepati syariat Islam, beras gentian ini juga menyihatkan. Pada masa sama, ia juga mampu menambah hasil pendapatan petani dan peladang menerusi pembelian bahan mentah yang diperlukan.

Bagaimanakah beliau boleh mendapat idea menghasilkan makanan ini?

"Semua ini timbul pada 1998 ketika rantau Asia dilanda krisis ekonomi meruncing. Saya tiba-tiba terfikir apa akan terjadi sekiranya dunia tidak lagi mampu mengeluarkan beras terutama jika tanah sawah terbatas."

"Dari situ saya cuba menghasilkan beras gentian daripada campuran isi ikan, ayam, sayur-sayuran dan sebagainya. Menggunakan mesin yang saya cipta, ia berjaya," katanya yang berkelulusan Sijil Pengajian Perniagaan selain pengalaman sebagai tukang masak dan berkemahiran dalam bidang teknikal, pemasaran dan teknologi maklumat.

Ironinya, beras BVita Asas yang diinginkan UNHCR itu adalah produk sama yang pernah dipersembahkan Wan Abu Bakar kepada seorang pegawai tinggi kerajaan bergelar profesor.

Ketika PBB memintanya menghasilkan lebih banyak beras seumpama itu, pegawai berkenaan menempelaknya dengan alasan bagaimana seseorang yang tiada asas pertanian boleh menghasilkan beras gentian sedangkan dia yang bergelar profesor tidak mampu berbuat demikian.

Ini tidak mematah semangatnya yang sanggup berkelana ke China selepas seorang usahawan negara itu tertarik dengan ideanya menghasilkan mesin pengeluaran bagi menghasilkan produk mengikut keperluan.

Kilang pertama hasil buah fikirannya didirikan di Shandong, China dan selepas lebih 10 tahun, barulah kilang pertama dapat dibina di Pangkalan Chepa, Kelantan.

Kini, beliau memberi tumpuan kepada penghasilan mesin dan beras gentian yang sudah mendapat minat pihak yang mahu memasarkannya ke Jepun kerana ciri-cirinya yang menyamai beras bagi menghasilkan sushi.

Lebih membanggakannya, PBB turut menunjukkan minat terhadap beras Bvita Asas berkenaan. Malangnya, permintaan PBB yang mahukannya menyediakan bekalan sehingga dua tan sehari atau bersamaan 10,000 beg yang setiap satunya seberat 50 kilogram, tidak mampu ditunaikan.

"Apa daya saya yang cuma ada satu mesin yang boleh mengeluarkan cuma 250 kilogram beras sejam. Bagi memenuhi keperluan UNHCR, saya memerlukan sekurang-kurangnya 12 mesin yang kos untuk menghasilkannya berjumlah kira-kira RM3 juta."

"Saya tidak mempunyai modal sebanyak itu untuk menghasilkan mesin berkenaan dan usaha mendapatkan pinjaman juga boleh saya katakan amat sukar kerana kelayakan saya mencipta mesin itu dipertikaikan."

"Memang berat hati saya menolak permintaan itu kerana ia datangnya dari badan dunia, satu pengiktirafan yang cukup besar tetapi apa boleh buat kerana saya memang tidak mampu menyediakannya," katanya.

Beliau pernah dilabel gila. Bukan sekali malah dua kali menjadi bahan ketawa pegawai yang kononnya lebih berkelayakan. Namun itu tidak mematah semangatnya yang terus menebalkan muka menjaja produknya.

Bagi Wan Abu Bakar Wan Omar, beliau bukannya mahukan nama apatah lagi gelaran. Sekadar pengiktirafan kepada mesin untuk industri makanan yang diciptanya. Sayangnya itu pun belum mampu diperoleh kerana tidak mempunyai kelayakan dalam bidang kejuruteraan - dosa yang terlalu kecil dibandingkan dengan apa yang sudah berjaya diketengahkan sehingga mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Keadaan itu menyebabkan Wan Abu Bakar sukar membuat pendaftaran mendapatkan hak cipta kerana ia tidak diiktiraf agensi berkaitan. Jauh di sudut hati, Wan Abu Bakar terkilan dengan kerenah birokrasi di negara ini yang didakwanya menyukarkan usahanya mendaftarkan ciptaannya.

"Saya pernah membawa ciptaan saya kepada beberapa agensi tetapi kelulusan tidak boleh diberi dengan alasan saya tidak mempunyai kelayakan kejuruteraan," katanya.

Keluhan Wan Abu Bakar tidak boleh dipandang sipi kerana bukan mudah anak Melayu menembusi pasaran antarabangsa. Cuma agak menghairankan jika PBB sendiri sudah mengiktiraf, mengapa pula beliau menjadi anak tiri di negara sendiri.

Namun semua itu bukan satu halangan besar kepada anak muda yang berminat dalam bidang penciptaan sejak masih bergelar kanak-kanak. Dilahirkan sebagai anak kepada seorang pengamal perubatan tradisional yang kerap menggunakan mesin pengisar untuk menghasilkan ubat-ubatan, Wan Abu Bakar sering menjadi sasaran kemarahan kerana bertindak memandai-mandai mengubah suai mesin ayahnya.

"Dari situ saya dapat idea untuk menghasilkan mesin untuk industri makanan. Namun saya tidak sangka ciptaan saya sama sekali tidak mendapat pengiktirafan kerana saya bukan jurutera bertauliah. Sekadar seorang lelaki yang berminat dalam ciptaan mesin."

"Saya berterima kasih kepada rakan perniagaan saya di China yang membuka peluang kepada saya menjual kepakaran. Saya mengambil masa lama mendirikan kilang di sini kerana tiada modal. Saya tidak ambil sedikit pun keuntungan daripada syarikat di China sebaliknya membuat perjanjian mereka memberi tumpuan kepada pasaran Amerika Syarikat dan Eropah manakala saya akan menguasai seluruh Asia."

"Saya amat bersyukur kerana pelbagai mesin ciptaan saya yang menghasilkan produk makanan ikan, ternakan dan haiwan peliharaan serta makanan ringan sudah menembusi pasaran India, Emiriah Arab Bersatu, Iran, Thailand, Singapura dan Arab Saudi," katanya yang memulakan kerjayanya dengan membuka bengkel di rumah.

Walaupun tidak mendapat pengiktirafan, Wan Abu Bakar sudah boleh berbangga berikutan ciptaannya mendapat tempat di kalangan pengusaha industri kecil dan sederhana kerana mesinnya yang lebih jimat elektrik, pelbagai guna, lebih mudah dikendalikan dan paling penting ia jauh lebih murah berbanding harga mesin di pasaran.

Pun begitu, Wan Abu Bakar, tidak tamak untuk menguasai industri pembuatan mesin kerana beliau cuma berminat menghasilkan mesin yang belum ada di pasaran.

"Pelanggan cuma perlu datang jumpa saya dan menerangkan jenis mesin yang mereka kehendaki untuk industri yang diusahakan. Saya akan hasilkan mesin yang dikehendaki mengikut kemahuan dengan sedikit cadangan daripada pihak saya mengenai apa yang perlu dan tidak perlu pada mesin itu."

"Saya menjual kepakaran. Saya tidak menghasilkan mesin dan menjualnya. Itu bukan cara saya. Saya lebih kepada menawarkan perkhidmatan mengikut apa yang industri mahukan," katanya.

Pelanggan Wan Abu Bakar bukan hanya industri besar dan agensi kerajaan sebaliknya orang perseorangan yang mengusahakan restoran malah spa.

Dengan harga mesin antara RM2,000 dan RM1 juta mengikut spesifikasi dan fungsi yang dimahukan, ciptaan Wan Abu Bakar sebenarnya sudah cukup matang untuk diperkenalkan di peringkat antarabangsa.

INFO:
Beras gentian

- Beras tiruan boleh dihasilkan dengan menggunakan pelbagai sumber kanji atau menggantikan kanji.

- Kaedah ini membolehkan bahan sampingan lebih berkhasiat dicampurkan yang tidak terdapat dalam beras biasa.

- Beras Bvita Asas menggunakan bahan asas seperti campuran isi ikan, kentang, isi ayam dan jagung.

- Memiliki ciri fizikal sama seperti beras biasa dan ada usaha menjadikan ia seperti saiz beras siam.

- Boleh dimasak dan siap dalam tempoh seawal lima minit.

- Beras segera ini lebih lembut dan berkhasiat dan mudah disediakan, termasuk cuma menambah air panas.

- Paling sesuai digunakan untuk membuat sushi.

- Penghasilan BVita Asas menepati syariat Islam.

- Sesuai dijadikan pengganti beras biasa ketika krisis makanan meruncing.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::