Monday, May 31, 2010

Beg Tangan Daripada Penutup Tin

(Post: Bahasa Melayu)
" Sejak akhir-akhir ini, semakin banyak kempen dan program mempromosikan kepentingan amalan kitar semula dilaksanakan dalam memupuk kesedaran agar masyarakat prihatin dengan situasi genting dunia berdepan pemanasan global. "

Amalan kitar semula juga merupakan usaha murni bagi memastikan generasi akan datang dapat turut mewarisi bumi hijau ini.

Bagi pemilik blog Mee Tan's Handicraft, May Oh, 50, dia mempunyai cara tersendiri dalam mempraktikkan amalan kitar semula bahan buangan.

Jika orang lain mengumpulkan tin minuman untuk dijual, bagaimanapun May menjadikan penutup tin dan kad plastik sebagai tas tangan moden menarik untuk digayakan.

"Semasa kecil lagi saya sudah meminati seni kraf tangan, malah akan membuat tas tangan ataupun bakul dengan menggunakan tali rafia. Ini kerana beg agak mahal untuk dimiliki sewaktu zaman kanak-kanak dahulu."

"Sejak empat tahun lalu saya mula berkecimpung membuat tas tangan menggunakan penutup tin minuman dan kad isi semula kerana minat mendalam terhadap seni kraftangan," katanya.

May sama sekali tidak menyangka produk keluarannya akan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang inginkan kelainan apabila menggayakan tas tangan tersebut.

"Pada mulanya, tas tangan ini hanya digunakan anak perempuan saya apabila melanjutkan pengajian di kolej swasta. Dari situ banyak kawan-kawannya berminat dengan produk tersebut sehingga membuatkan saya membuat laman blog," ujarnya lagi.

Dia yang agak cerewet dalam pemilihan penutup tin minuman berkata, kira-kira 250 sehingga 2,000 penutup tin akan digunakan untuk menghasilkan sebuah tas tangan tersebut mengikut kesesuaian saiznya.

Tambah May, semasa awal pembabitan menghasilkan tas tangan berkenaan penutup tin minuman akan diperoleh melalui kawan-kawan, sanak saudara dan kedai-kedai kopi berdekatan kejiranan rumahnya.

"Bagaimanapun, apabila permintaan semakin tinggi, saya akan membelinya atau mengutip sekali sekala untuk memudahkan lagi proses penghasilan tas tangan berkenaan. Penghasilan tas tangan ini memerlukan ketelitian dan kesabaran kerana ia bukanlah satu proses yang mudah untuk dilakukan."

"Saya mengambil masa sehingga dua minggu untuk menghasilkan sebuah tas tangan tersebut agar ia kelihatan moden dan berkualiti. Bagaimanapun, jika terdapat permintaan serta perlu mengikuti tarikh akhir, saya akan memastikan disiapkan dengan cepat," katanya lagi.

May menambah, proses penghasilan tas tangan berkenaan dilakukan dengan beberapa langkah termasuk membersihkan penutup tin minuman dengan pencuci agar tiada kesan gula dan mengeringkannya di bawah sinaran matahari.

Katanya, ia juga perlu diketuk menggunakan tukul besi untuk meratakannya kerana terdapat penutup tin minuman yang berbentuk bulat dan empat segi.

"Selepas itu, barulah proses menjahit dan menghasilkan tas tangan itu dilakukan. Biasanya saya akan menggunakan benang kapas kerana ia lebih cantik dan memenuhi cita rasa pelanggan," ujarnya.

May menambah, selain dibuat sepenuhnya dengan tangan antara keistimewaan lain tas tangan itu ialah ia lebih ringan.

Dengan menggunakan tangan, tas tangan tersebut lebih kemas, cantik dan trendy.

"Selain itu, pelanggan juga tidak akan perasan bahawa tas tangan tersebut diperbuat daripada penutup tin minuman kerana kehalusan pembuatannya."

"Saya menjual produk-produk tersebut pada harga RM50 hingga RM350 bergantung kepada bahan yang digunakan semasa membuat tas tangan ini," katanya.

Sementara itu, May memberitahu dia juga ada menjual produk-produk yang dihasilkannya pada acara-acara kitar semula ataupun alam sekitar.

"Saya juga ada menyediakan kelas bagi mereka yang berminat untuk mempelajari teknik pembuatan seni kraf tangan ini."

"Mereka yang berminat hanya dikenakan RM300 seorang tetapi jika terdapat tiga orang pelajar, bayarannya tetap sama dan bermakna setiap orang hanya mengeluarkan RM100," katanya.

Walaupun tas tangan berkenaan mendapat perhatian, May masih menganggap seni kraf tangan yang dilakukan sebagai hobi.

"Ia dilakukan adalah untuk bersama-sama membantu memulihara alam sekitar dengan mengamalkan amalan kitar semula," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, May 24, 2010

Siri Animasi 3D Supertots

(Post: Bahasa Melayu)
" Garapan jalan cerita, latar belakang realistik, padanan suara latar dan kehalusan pergerakan karakter merupakan antara inti pati penting penghasilan sesebuah produksi tiga dimensi (3D) untuk memberi impak kepada penonton. "

Membikin filem atau siri animasi 3D memerlukan keberanian kerana bukan sahaja memerlukan kos yang tinggi tetapi kesabaran serta ketelitian untuk memberi nafas kepada setiap karakter dihasilkan.

Bahkan, penghasilan sesebuah produksi animasi 3D yang memakan masa sehingga bertahun-tahun lamanya membuatkan ramai berfikir dua tiga kali sebelum mengambil keputusan menceburi bidang tersebut.

Bagaimanapun, kejayaan filem Geng Pengembaraan: Upin dan Ipin sehingga ke peringkat antarabangsa telah merubah persepsi mengenai animasi 3D di negara ini, sekali gus membuka 'jalan' kepada syarikat-syarikat tempatan untuk bersama-sama merebut peluang dalam industri baru itu.

Salah sebuah syarikat tempatan yang tidak mahu ketinggalan dalam arus pembangunan teknologi animasi ialah Netcarbon.

Syarikat ditubuhkan pada tahun 2003 itu sedang dalam pembikinan siri animasi 3D berbahasa Inggeris iaitu Supertots.

Supertots merupakan langkah berani Netcarbon yang sebelum ini membangunkan projek kandungan interaktif untuk memasarkan siri enam episod untuk segmen pasaran antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Netcarbon, Mohd. Rashdan Ramlee, berkata, Supertots merupakan siri animasi 3D berlatar belakangkan angkasa lepas dengan menampilkan lima kanak-kanak pendukung watak utama iaitu Captain Danny, Elly, Alan, Shasha dan Blinq yang menentang Zeeboz.

"Dalam siri animasi selama 11 minit bagi setiap episod ini, kami ingin menerapkan nilai-nilai murni seperti persahabatan, perpaduan dan semangat kerjasama."

"Begitupun, mesej utama yang ingin kami sampaikan dalam setiap episod siri animasi ini adalah kepentingan kerjasama dalam mencapai kejayaan. Tanpa semangat kerjasama tentu sukar memperoleh kejayaan," katanya.

Menyentuh mengenai lima watak utama siri Supertots, Mohd. Rashdan menambah, setiap kanak-kanak itu mempunyai personaliti unik dan kuasa tersendiri.

"Sebagai contoh Captain Danny yang berumur lima tahun merupakan ketua pasukan Supertots memiliki kuasa baju perisai nanotek untuk menangkis serangan Zeeboz. Alan pula hanya berusia dua tahun adalah pegawai komunikasi dengan kuasa misteri."

"Elly (pegawai sains), Shasha (pegawai keselamatan) dan Blinq (jurutera utama) pula berumur empat tahun masing-masing mempunyai kuasa seperti telekinesis, kekuatan super serta kelajuan super," katanya lagi.

Dalam pembikinan siri animasi Supertots, Netcarbon bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dan Persatuan Forum Usahawan ICT Bumiputera Malaysia (NEF).

Produksi yang bermula pada bulan Mac lalu, dijangka siap menjelang Jun 2011 melibatkan kira-kira 45 tenaga kerja. Lebih manis kesemuanya merupakan anak tempatan.

Ujar Mohd. Rashdan lagi, selain daripada lima watak utama itu terdapat juga karakter Atok yang merupakan penjaga kapal angkasa serta membantu dan menasihatkan kanak-kanak itu setiap kali mereka bergaduh atau berselisih faham.

Katanya, Zeeboz pula merupakan watak nakal dalam animasi 3D tersebut yang akan menimbulkan masalah kepada pasukan Supertots.

"Bagi menyiapkan satu episod Supertots, kita memperuntukkan masa tiga hingga empat bulan demi menjaga kualiti dan produk akhirnya."

"Pelbagai proses yang perlu dilalui sebelum siri animasi 3D ini dapat direalisasikan. Kami juga menggunakan beberapa aplikasi utama dalam pembikinan animasi ini termasuk Autodesk Softimage, Apple Final Cut Studio dan Particle Illusion," ujarnya lagi.

Mohd. Rashdan menambah, proses pembikinan siri animasi 3D Supertots itu bermula dengan idea dan konsep terlebih dahulu. Selepas kata sepakat dicapai proses lakaran serta jalan cerita bermula dalam bentuk dua dimensi (2D).

Walaupun lakaran 2D tampak menarik tetapi apabila ditukar kepada 3D, ia tidak seperti yang dikehendaki dan memerlukan dia dan tenaga kerja mencari penyelesaian.

"Sebelum proses pembentukan watak, kita terlebih dahulu perlu merakam gerak geri yang dikehendaki melalui proses rakaman pergerakan di studio."

"Memandangkan kami menggunakan bakat dewasa pereka model perlu memainkan peranan agar ia bersesuaian dengan perwatakan kanak-kanak yang cuba ditonjolkan dalam siri animasi 3D ini," katanya.

Ujar beliau lagi, proses rakaman pergerakan melibatkan empat peringkat utama iaitu modeling (proses membuat model), rigging (proses membuat rangka dalam animasi), animation dan rendering (proses menjadi model sebagai imej).

Sementara itu, Pengarah Seni Netcarbon, Marhaidan Muhiddin, berkata, proses modeling amat penting kerana ia adalah langkah mewujudkan karakter dalam siri itu sebelum memasukkan aspek lain seperti anggota badan, pakaian, warna dan sebagainya.

"Setiap pereka model perlu mempunyai ketelitian dan kesabaran dalam menghasilkan setiap watak dalam pembikinan siri animasi 3D ini."

"Apabila sudah selesai dan berpuas hati dengan modeling kita akan memulakan proses rigging pula yang bertujuan untuk memasukkan tulang-tulang agar pergerakan kelihatan lebih lembut serta kemas," ujarnya lagi.

Marhaidan menambah, proses rigging amat penting untuk membuatkan watak-watak dalam siri animasi 3D kelihatan realistik.

Katanya, jikalau rigging tidak dilakukan dengan sempurna pergerakan watak-watak itu akan kaku dan tidak dapat memberi impak kepada penonton.

"Dalam pembikinan siri animasi 3D ini, kita juga menggunakan pencahayaan Global Illumination (GI) agar setiap perincian dapat dilihat oleh penonton."

"Pencahayaan GI lebih merumitkan daripada biasa tetapi hasilnya lebih mengagumkan dan dapat memberi kepuasan kepada penonton kelak," katanya.

Selain itu, jelas Marhaidan, proses rendering juga memerlukan kesabaran kerana mengambil masa yang lama iaitu kira-kira satu bulan untuk sebuah episod.

"Kita akan melihat sama ada apa yang dikehendaki dapat dihasilkan jika tidak berpuas hati proses rendering dilakukan semula," katanya.

Ketua Pegawai Operasi Netcarbon, Muhammad Iskandar Daniel Yahya, menambah, siri animasi 3D Supertots itu banyak menggunakan warna ceria kerana watak yang ditonjolkan adalah kanak-kanak.

"Walaupun latar belakang cerita ini mengisahkan di angkasa lepas, namun warna ceria diterapkan dalam pembikinan siri animasi ini."

"Kita mahu penonton berasa seronok dan mendapat pengajaran serta mesej yang cuba disampaikan pada setiap episod siri animasi ini," ujarnya lagi.

Netcarbon sudah mendapat beberapa permintaan dari luar negara untuk penyiaran siri animasi 3D Supertots itu. Syarikat berkenaan juga bercadang untuk membuat dalam bahasa Melayu bagi pasaran tempatan kelak.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, May 23, 2010

Al-Quran Digital Fifteen Network Solutions

(Post: Bahasa Melayu)
" Sesetengah orang mungkin malu untuk mempelajari dan melancarkan bacaan al-Quran kerana faktor usia sudah lanjut, atau mungkin juga tidak tahu di mana hendak bermula dan tiada siapa yang mahu mengajar. "

Bagi mereka yang benar-benar ingin mempelajari bacaan al-Quran, penggunaan al-Quran digital mungkin salah satu usaha mengenal ayat-ayat suci dengan mudah dan berkesan melalui teknik mendengar dan mengikut.

Kelebihan al-Quran digital tidak dapat dinafikan melalui aplikasi tambahan yang paling penting iaitu terjemahan mengikut bahasa yang memenuhi kesesuaian masing-masing. Lalu, ia menjadi gajet penting yang harus dimiliki umat Islam hari ini.

Produk-produk al-Quran digital keluaran ENMAC Engineering Technology adalah salah satu pilihan terbaik yang menawarkan kelebihan-kelebihan aplikasi tersebut. Ini kerana ia tampil dalam pelbagai gajet antaranya telefon bimbit, naskhah digital dan terkini pemain MP3.

Pekongsi Utama Fifteen Network Solutions yang mengedarkan produk berkenaan, Ahmad Hazik Mohd. Amin berkata, al-Quran digital mempunyai banyak kelebihan dan mampu memberi minat yang lebih mendalam kepada pemiliknya untuk mempelajari bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

"Selain terjemahan, al-Quran digital juga mempunyai pilihan qari dari tanah suci Mekah dan beberapa kelebihan lain mengikut pakej yang diinginkan pelanggan."

"Bagi al-Quran dalam bentuk MP3, ada tiga pilihan iaitu EQ500, EQ300 dan EQ100 yang menawarkan aplikasi-aplikasi berbeza seperti jumlah qari, himpunan hadis-hadis, kamera, kad memori dan pemain video," katanya.

Ujar Ahmad Hazik, qari-qari yang membacakan ayat suci al-Quran dalam MP3 berkenaan antaranya ialah Sheikh Al-Sudais, Sheikh Saad Al Ghamdi, Sheikh Mohammad Ayoub, Sheikh Al-Hudaifi dan Sheikh Misheri Rashid.

"Pemilik MP3 al-Quran bukan sahaja dapat mempelajari bacaan-bacaan al-Quran melalui qari-qari terkenal, tetapi proses pembelajaran dapat dilakukan di mana-mana sahaja menggunakan fon telinga yang disediakan."

"Proses pembelajaran melalui teknik mendengar juga lebih berkesan kerana penggunanya dapat memperbaiki kelancaran bacaan dengan lebih cepat melalui kaedah ini," katanya.

Sementara itu, seorang lagi Pekongsi Fifteen Network Solutions, Mohd. Yusri Kassim berkata, setiap satu gajet al-Quran digital dilengkapi 24 bahasa terjemahan seperti bahasa Inggeris, Melayu, Perancis, Jerman, Cina, Belanda dan Albania.

"Sebelum ini penggunaan al-Quran digital lebih mendapat sambutan di kalangan pelajar maahad tahfiz tetapi kebaikannya seharusnya dikongsi bersama semua umat Islam lain."

"Ia juga adalah gajet penting yang harus dimiliki para mualaf yang mahu mendalami pembacaan al-Quran serta maksud terjemahannya," tambahnya.

Dalam pada itu katanya, banyak perbezaan apabila membaca al-Quran bersendirian berbanding mendengar bacaan al-Quran orang lain dari segi kerohanian.

"Apabila kita sering mendengar orang lain membaca al-Quran, kadangkala suara bacaan itu akan terngiang-ngiang walaupun ketika kita tidak mendengarnya kerana sudah terbiasa," katanya.

Jelas beliau lagi, kelebihan lain yang ditawarkan MP3 al-Quran termasuklah selingan video-video latar yang memaparkan kebesaran Allah seperti sungai dan langit yang terbentang luas.

"Melalui video-video ini, ia akan menimbulkan keinsafan kepada pemiliknya untuk mensyukuri kebesaran Allah dan mencintai al-Quran," katanya.

Untuk maklumat lanjut hubungi Fifteen Network Solutions di talian 03-80237015.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, May 21, 2010

Alat Latihan Pernafasan Blow Ball

(Post: Bahasa Melayu)
" Seiring dengan kejayaan mencipta Alat Pengujian Ketangkasan Puzzle Heksagon, kumpulan penyelidik sains sukan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor, juga telah berjaya mencipta satu lagi alat yang dipanggil Blow Ball yang berfungsi untuk melatih pernafasan seseorang atlet. "

"Ia juga bertindak sebagai alat latihan sampingan sekiranya seseorang atlet itu mengalami kecederaan dan tidak dapat menjalani latihan seperti biasa."

"Atlet boleh meningkatkan kapasiti udara yang masuk ke dalam paru-paru selain dapat melancarkan peredaran darah dan menambahkan kecergasan," kata Pengarah projek produk tersebut yang juga Ketua Jabatan Terapi dan Rehabilitasi Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan UTM, Profesor Madya Dr. Abdul Hafidz Omar.

Terangnya, Blow Ball diperbuat daripada kerangka kayu berbentuk segi empat tepat seperti meja snooker dan mempunyai lapan lubang yang boleh dibuka dan ditutup mengikut permainan yang dipilih.

"Ia dilengkapi bersama beberapa biji set bola plastik, empat set batang paip dengan pelbagai warna dan saiz panjang."

"Antara permainan yang boleh dimainkan adalah seperti karom, snooker, bola sepak dan pelbagai lagi dan ia dimainkan dengan cara menghembus bola plastik dengan menggunakan batang paip berkenaan," jelasnya.

Sebelum memulakan permainan, pemain akan diambil kadar pernafasan dan kadar pernafasan selepas permainan dicatatkan.

"Dengan ini, perubahan kadar pernafasan dapat diukur. Pada kebiasaan pemain akan menjalankan latihan sebanyak 15 kali dalam satu sesi dan dalam seminggu sebanyak tiga sesi dijalankan."

Katanya lagi, perubahan dapat dilihat selepas atlet menjalani latihan selama empat minggu dan kenaikan sebanyak 3 hingga 5 peratus kadar pernafasan dapat dicapai.

Tidak ketinggalan juga, produk ini turut memenangi pingat perak dan anugerah kreatif dan inovatif dalam pertandingan Inatex tahun 2008 serta memperolehi pingat gangsa dalam MTE 2008.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Alat Pengujian Ketangkasan Puzzle Heksagon

(Post: Bahasa Melayu)
" Sekumpulan penyelidik sains sukan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor berjaya menghasilkan sebuah alat yang dikenali sebagai Alat Pengujian Ketangkasan Puzzle Heksagon. "

Keistimewaan ciptaan tersebut adalah berkemampuan mengukur tahap kecergasan diri seseorang sekali gus menentukan jenis sukan yang sesuai disertai individu berkenaan.

Sama ada seseorang itu boleh bermain badminton, skuasy, tenis, judo, renang dan sebagainya, ia bergantung kepada ukuran tahap ketangkasan atau kelajuan pergerakan tubuh badan dalam keadaan stabil juga seimbang yang diperoleh daripada mesin tersebut.

Pengarah projek produk tersebut yang juga Ketua Jabatan Terapi dan Rehabilitasi Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan UTM, Profesor Madya Dr. Abdul Hafidz Omar menyifatkan kejayaan menghasilkan alat tersebut sebagai satu langkah untuk membantu meningkatkan lagi taraf sukan tanah air.

"Alat ini dicipta untuk mengenal pasti bakat awal kanak-kanak dalam sukan tertentu di samping dapat menguji tahap ketangkasan setiap individu mahupun atlet sukan," katanya ketika ditemui di Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan, UTM.

Abdul Hafidz ketika menerangkan cara penggunaan alat tersebut berkata, pertamanya, pengguna perlu menekan butang mula dan memilih aplikasi yang bersesuaian sebelum melompat ke enam arah berlainan.

"Kemudian, pengguna perlu melengkapkan sebanyak tiga pusingan dengan sepantas mungkin dan mesin yang dipasang bersama alat itu akan mengeluarkan keputusan."

"Justeru, bacaan yang diperolehi daripada mesin adalah tepat dan konsisten dan dari situ kita akan dapat tahu sukan yang sesuai kepada mereka yang membuat ujian itu," katanya.

Menurut Abdul Hafidz, kumpulan penyelidiknya telah menguji alat tersebut ke atas atlet-atlet UTM dan ia menunjukkan tahap sah dan kebolehpercayaan yang tinggi.

Tambahnya, alat yang mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan itu merupakan versi kedua dan pernah memenangi pingat emas serta anugerah Terbaik dalam pertandingan Malaysia Teknologi Ekspo (MTE) 2010, Februari lalu.

Bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk menghasilkan masyarakat yang kreatif dan inovatif, alat ini dilihat dapat menggantikan ujian ketangkasan manual sedia ada.

Aspirasi Abdul Hafidz dapat direalisasikan dengan bantuan kumpulan penyelidik yang dianggotai graduan Fakulti Pendidikan Sains Sukan, Ahmad Syukri Muhamad, 25 dan Khairuddin Hassan, 26, serta barisan penyelidik projek dari Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan, UTM.

Tambahnya, produk tersebut bakal dijual di pasaran dalam masa terdekat dengan harga RM400 seunit dan setakat ini beberapa syarikat telah menunjukkan minat untuk memasarkan alat itu.

"Kami yakin produk tersebut bakal mendapat sambutan kerana fungsinya yang penting dan kumpulan sasaran kami adalah sekolah-sekolah, pusat sukan dan organisasi berkaitan," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, May 20, 2010

Kereta Daripada Buluh

(Post: Bahasa Melayu)
" Kereta daripada buluh? Pasti sesiapa sahaja akan pelik apabila ada yang memberitahu sumber alam semula jadi itu mampu dijadikan bahan penting dalam industri automotif negara pada masa depan. "

Jika sebelum ini, kegunaan buluh terhad kepada beberapa fungsi seperti bahan perabot, kraf tangan atau rumah, sudah tentu kebolehannya menjadi bahan penting dalam industri automotif tidak dapat digambarkan.

Kereta buluh bukanlah bermaksud sebuah kereta yang dihasilkan menggunakan buluh sepenuhnya. Sebaliknya tanpa kita sedari banyak bahagian penting pada kereta terpaksa diimport dari luar negara, sedangkan Malaysia mampu tampil dengan kepakaran sendiri melalui sumber-sumber yang boleh diinovasikan termasuklah buluh.

Presiden Pertubuhan Kreativiti dan Inovasi Malaysia (MACRI), Datuk Ghazi Sheikh Ramli berkata, buluh ialah tumbuhan rumput yang paling cepat membesar iaitu mengambil masa antara tiga hingga lima tahun sahaja.

"Kajian selama satu setengah tahun mendapati kekuatan buluh adalah lebih besar berbanding kayu dan sekiranya melalui proses pengawetan yang tepat, ia mampu menjadi lebih kuat berbanding besi."

"Secara semula jadi ia juga adalah sumber antibakteria, antikulat, hipoelergenik dan lebih bersih berbanding fabrik konvensional. Ia juga melepaskan lebih banyak oksigen berbanding pokok tetapi memerlukan kurang air dan penyelenggaraan," katanya.

Justeru, Ghazi berhasrat mempromosikan kegunaan buluh secara optimum dalam penghasilan kereta, sejajar usaha kerajaan bagi membangunkan teknologi hijau dan juga bersempena tahun kreatif dan inovasi 2010.

"Saya mahu mengajak universiti-universiti tempatan dan para penyelidik untuk menjalankan penyelidikan bagi mengumpulkan sebanyak mungkin pengetahuan dan penemuan melalui buluh dan daripada penyelidikan itu satu hasil terbaik akan diperoleh."

"Daripada hasil-hasil terbaik itu kita dapat gabungkan dan membina prototaip yang dapat dibangun dan dikomersialkan, seterusnya menjadi satu produk yang dapat dipasarkan sehingga ke peringkat antarabangsa."

"Kami sudah mempunyai prototaip kereta yang diberi nama Bambu. Ia jentera yang menggunakan lima jenis buluh untuk menghasilkan beberapa bahagian dalam kereta seperti badan kereta, tayar, fabrik tempat duduk, stereng dan sebagainya," ujar beliau.

Menurut Ghazi, kelima-lima jenis buluh yang digunakan ialah buluh gading, buluh duri, buluh betung, buluh semantan dan buluh nipis. Kesemuanya ialah spesies buluh tempatan.

"Buluh-buluh ini menjalani proses pengawetan tertentu untuk dijadikan bahagian-bahagian dalaman dan luaran kereta iaitu badan kereta, skirt, spoiler, hub roda, papan muka, panel pintu, tikar lantai, stereng dan tombol gear."

"Proses menyiapkan prototaip ini dijalankan di SIRIM menggunakan kepakaran lapan jurutera dan penyelidik daripada SIRIM serta menggunakan kos sebanyak RM50,000 termasuk nilai kereta asal," katanya mengenai prototaip yang menggunakan 10 peratus bahan buluh itu.

Menurutnya, pengawetan untuk tujuan membuat prototaip ini mengambil masa selama hampir tiga bulan iaitu dengan melalui proses kimia menggunakan asid borik dan bahan-bahan lain tertentu.

"Ia juga memerlukan masa untuk proses pengeringan melalui cahaya matahari sebelum boleh digunakan untuk menyiapkan prototaip ini," katanya.

Tambahnya, setakat ini prototaip yang dihasilkan adalah sebagai contoh dan inspirasi kepada peserta yang mengambil bahagian dan kita akan melihat apakah hasil terbaik yang diperoleh daripada pertandingan ini untuk digabungkan bagi tujuan penambahbaikan prototaip sedia ada.

Mahu mengangkat lagi idea kereta buluh dengan menaikkan lagi peratusan penggunaan buluh ke atas kereta Bambu, baru-baru ini MACRI melancarkan pertandingan Kereta Super Hibrid Buluh Impian Malaysia bersempena minggu kreativiti dan Inovasi 2010 bagi mencabar para penyelidik, universiti-universiti tempatan mahupun individu berkaitan bagi menghasilkan kereta menggunakan buluh.

"Ia bagi memberi idea dan petunjuk kepada peserta pertandingan bagi menghasilkan sesuatu yang di luar jangkaan. Kami mahu melihat berapa peratus buluh dan jenisnya dapat digunakan bagi menghasilkan sebuah kereta," jelas Ghazi.

Selain itu katanya, bukan sahaja aspek penggunaan buluh diambil kira, tetapi bagaimana ia ditransformasi menjadi produk yang mempunyai kualiti dari segi reka bentuk luaran, dalaman dan penggunaan tenaga.

"Reka bentuk luaran adalah perhatian pertama sesiapa sahaja, kemudian barulah reka bentuk dalamannya dan seterusnya fungsinya sebagai sebuah kereta yang mesra kepada alam sekitar," katanya.

Katanya lagi, beliau melihat masa depan industri automotif negara berubah sepenuhnya apabila buluh diadaptasi menjadi satu bahan penting daripada idea orang Malaysia yang mampu dibangunkan ke peringkat antarabangsa.

"Di Amerika seorang lelaki berjaya menghasilkan sebuah kereta menggunakan 90 peratus kayu, jadi tidak mustahil rakyat negara ini mampu menghasilkan kereta menggunakan buluh yang ternyata lebih kuat berbanding kayu."

"Saya juga mahu menarik perhatian pembuat kereta untuk menyokong usaha ini sekali gus mengambil hasil daripada pertandingan ini untuk dimasukkan ke dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) mereka," katanya.

Menurut Ghazi, usaha membangunkan buluh sebagai sumber inovasi pernah dilakukan sejak 20 tahun lalu tetapi kurang mendapat sokongan banyak pihak.

"Ikutkan sejarah, gelombang pertama pembangunan industri berasaskan buluh telah bermula pada tahun 1980-an tetapi tidak berpanjangan. Begitu juga pada gelombang kedua pada tahun 1990-an."

"Tahun 2010 adalah masa yang tepat kerana bukan sahaja kerajaan menggalakkan pembangunan teknologi hijau, tetapi perkembangan teknologi ini turut mendapat sokongan industri dan masyarakat yang mula sedar akan kepentingan memelihara alam sekitar," katanya.

Tambah Ghazi, penyerapan teknologi hijau berasaskan buluh ke atas pembangunan industri automotif hanyalah permulaan kerana masa depannya dilihat lebih jauh dari itu.

"Kita bermula dengan kereta kerana semua orang tahu dan kenal kereta. Jika dilihat secara lebih meluas, ia mampu menyumbang kepada lebih banyak industri termasuk pakaian, makanan, hiasan dalaman, pembinaan, hiburan dan perubatan."

"Selain itu, ia juga mampu membangunkan ekonomi rakyat yang pada asalnya kurang menyedari kepentingan buluh dalam menjana pendapatan mereka. Justeru, rakyat mesti bantu dan memberikan sokongan," katanya.

Tegas beliau, tidak mustahil dengan menghasilkan kereta menggunakan buluh sebagai salah satu bahan utama, harga kereta tempatan mampu dikurangkan kerana menggunakan sumber-sumber yang didapati sendiri.

"MACRI hanyalah pemangkin dan jambatan kepada usaha penyelidik untuk membawa masa depan buluh sebagai produk yang mampu diinovasikan dan menembusi pasaran."

"Dengan usaha kerajaan memberi sokongan dan fokus kepada pembangunan industri berasaskan buluh, tidak mustahil impian ini akan dicapai," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, May 19, 2010

Perahu Tambang Bandaraya Alor Setar

(Post: Bahasa Melayu)
" Perahu tambang masih ada di tengah-tengah Bandar Raya Alor Setar? Memang benar, perahu tambang masih wujud di sini iaitu di Sungai Kedah. "

Sekali pandang, jeti serba ringkas itu saling tidak tumpah seperti jeti dalam cerita Pendekar Bujang Lapok lakonan Tan Sri P. Ramlee.

Lebih mengejutkan apabila terpandang seorang pengemudi perahu tambang yang masih gagah membawa penumpang mengharungi sungai itu walaupun dia sudah berusia.

Lelaki Cina itu, Teoh Lian Hock, sudah berumur 67 tahun. Beliau aktif membawa perahu tambang sejak dua tahun lalu.

Setelah bersara sebagai nelayan, beliau mengambil keputusan untuk membawa perahu tambang bagi mengisi masa lapang selain menambah duit poket untuk membeli barang-barang keperluan harian.

"Saya sudah biasa bekerja dan jika duduk di rumah sahaja terasa bosan. Bawa perahu ini sekurang-kurangnya dapat keluarkan peluh dan menyihatkan badan," katanya.

Lian Hock berkata, tugas mengemudi perahu tambang itu tidak dilakukan secara berseorangan sebaliknya terdapat dua rakannya yang lain yang juga berumur dalam lingkungan 60-an, menawarkan khidmat perahu tambang dan mereka bekerja mengikut waktu yang telah ditetapkan.

"Kami mula bekerja seawal pagi, iaitu pukul 7 pagi dan syif kedua bermula pukul 12 tengah hari manakala syif terakhir pukul 5.30 petang sebelum berakhir pada 8 malam."

"Saya ditugaskan untuk mengambil penumpang pada syif tengah hari," kata Lian Hock.

Tambah beliau, kebanyakan penumpang merupakan penduduk tempatan yang tinggal di Seberang Nyonya dan mereka menaiki perahu tambang untuk pergi ke Pekan Cina bagi membeli barang-barang keperluan harian. Ada juga penumpang yang ingin dibawa ke bandar raya Alor Setar.

"Di Seberang Nyonya ada banyak kampung termasuk Kampung Berjaya, Teluk Yan dan Seberang Terus."

"Pada tahun 1960-an, tiada kemudahan jalan masuk ke situ menyebabkan kebanyakan penduduk mengambil jalan pintas untuk ke pekan dengan menaiki perahu tambang."

"Tapi sekarang jalan yang elok sudah ada dan kebanyakan orang lebih selesa menggunakan kenderaan sendiri berbanding perahu tambang," ujar Lian Hock yang tinggal di tepi Sungai Kedah.

Lian Hock mengenakan bayaran tambang sebanyak 30 sen untuk perjalanan sejauh 200 meter dari Seberang Nyonya ke Pekan Cina.

"Bayaran itu sangat murah dan perjalanannya pula tidak sampai lima minit. Walaupun pendapatan tidak menentu, dalam sehari boleh dapat RM15. Cukuplah untuk duit belanja harian," katanya.

Bagaimanapun, Lian Hock yang mempunyai dua anak berumur 25 dan 30 tahun itu merasakan pekerjaan sebagai 'nakhoda kecil' perahu tambang akan lenyap pada masa akan datang kerana tiada pewaris yang mahu meneruskan tugas itu lagi.

"Tengoklah keadaan saya sendiri, sudah lanjut usia dan dua rakan-rakan lain juga lebih kurang sebaya."

"Saya tidak rasa generasi sekarang mahu melakukan kerja ini kerana ia adalah satu pekerjaan yang memerlukan seseorang memerah kudrat di bawah sinaran matahari," katanya.

Sememangnya generasi akan datang tidak dapat merasa menaiki perahu tambang jika tiada usaha pihak berkuasa untuk mengekalkannya.

Alangkah bagus sekiranya kawasan tersebut boleh dinaik taraf menjadi salah satu produk pelancongan seperti yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Melaka menerusi projek Melaka River Cruise.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, May 18, 2010

Legasi Ana Edar

(Post: Bahasa Melayu)
" Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Pepatah itu mungkin menjadi pegangan wanita kecil molek, Hasniza Hassan sehingga berjaya membantu mengangkat legasi perniagaan milik arwah bapa mertuanya, Othman Omar. Perniagaan itu diasaskan pada tahun 1983 dengan jenama Ana. "

Wanita berusia 37 tahun yang pernah bergelar pensyarah itu adalah Pengarah Pembangunan Perniagaan Ana Edar Sdn. Bhd. (Ana Edar). Hasniza membantu Pengarah Urusan Ana Edar, Lokman Othman, 37, yang juga suaminya.

Berbekalkan semangat dan tekad untuk meneruskan kelangsungan perniagaan warisan keluarga, pasangan suami isteri yang juga graduan Undang-Undang dan Syariah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berjaya menguruskan perniagaan dengan baik walaupun tanpa sebarang pengalaman dalam bidang perniagaan.

Walaupun jenama Ana telah bertapak di pasaran sekitar tahun 1983 dengan memasarkan produk kegunaan harian, Hasniza mula terlibat dalam perniagaan tersebut pada tahun 2000 yang memasarkan produk makanan tambahan berasaskan Islam.

Menurut Hasniza, penglibatannya dalam Ana Edar lebih kepada membantu mengembangkan perniagaan suaminya.

"Jenama Ana yang sudah 27 tahun bertahan bermula dengan jualan produk minyak wangi, bedak dan syampu. Dulu Ana memasarkan produk yang memang dicari-cari seperti produk kegunaan harian yang suci dan terjamin halal pembuatannya."

"Dahulu perniagaan ini dijalankan oleh arwah ayah dan ibu iaitu Othman Omar dan Esah Omar yang menjadi pengasas Ana sebelum diserahkan kepada suami saya, Lokman pada tahun 2000 selepas arwah meninggal dunia," katanya.

Tambahnya, dia dan suami hanya meneruskan perjuangan arwah untuk memasarkan produk alternatif berupa rangkaian produk halal dan suci, pada masa yang sama melahirkan usahawan Muslim berdaya saing dan berkemahiran.

Pada tahun 1988, perniagaan Ana Edar yang berteraskan perniagaan pelbagai peringkat (MLM) mendapat sambutan yang memberangsangkan.

"Selain menjual produk yang bermutu dan sesuai untuk kegunaan masyarakat, Ana Edar pada masa yang sama memberikan peluang perniagaan kepada orang ramai dengan berlandaskan syariat."

"Kami mengamalkan pelan pemasaran lebih terbuka dan tiada apa yang perlu disorokkan kepada mereka yang terlibat. Pendapatan mereka adalah hasil daripada keuntungan jualan, komisen dan pembayaran bonus bergantung kepada hasil jualan," ujarnya.

Kini, Ana Edar mempunyai lebih 40 rangkaian produk termasuk makanan, kosmetik, barangan keperluan rumah, kelengkapan mandian dan kebanyakan produknya sudah mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sementara yang lain masih dalam senarai menunggu.

Proses pembuatan produk Ana Edar disediakan di bawah piawaian Amalan Pengilangan Islam (IMP) yang mendapat pengiktirafan Jakim.

"Setiap produk yang dihasilkan dalam persekitaran Islam. Tiada sembang-sembang kosong, semua pekerja mempunyai wuduk sepanjang operasi dan sebelum memulakan kerja mereka akan berdoa."

"Buat masa ini, Ana Edar bekerjasama dengan kilang-kilang lain dan merancang untuk mempunyai kilang sendiri suatu hari nanti," jelasnya.

Kata Hasniza, semua kilang-kilang tersebut dipantau bagi memastikan kualiti dan keselamatan produk. Contohnya, produk kosmetik dan mandian tidak menggunakan bahan-bahan karsinogen.

Tahun ini, Ana Edar akan mengadakan siri latihan kepada pengedar dan stokis selain mengadakan siri jelajah ke seluruh Malaysia bagi mendidik masyarakat mengenai kebaikan produk Ana Edar.

Kepada yang berminat, Ana Edar mempelawa orang ramai yang ingin menjadi rakan niaga untuk produk Ana Edar meng hubungi talian 03-61890484 atau layari laman web Ana Edar

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, May 17, 2010

Kit Pengurusan Jenazah Dunia Kifayah

(Post: Bahasa Melayu)
" Dalam mengharungi kehidupan seharian kita tidak dapat menduga apa yang akan berlaku pada masa hadapan termasuklah soal kematian. Kematian akan datang tanpa memberi sebarang amaran sehingga kebiasaannya membuatkan kita tidak bersedia dan sukar mencari barangan pengurusan jenazah pada saat-saat akhir. "

Menyedari kepentingan itu, sebuah syarikat bumiputera Dunia Kifayah yang ditubuhkan pada September 2009 membangunkan kit lengkap pengurusan jenazah bertujuan untuk memudahkan umat Islam dalam menguruskan jenazah dengan lebih seragam, tertib dan sistematik.

Pengurus Besar Dunia Kifayah, Jasri Jamil, berkata, pengenalan produk keluaran syarikatnya diharap dapat membantu umat Islam memenuhi keperluan dan penyeragaman pengurusan jenazah sebagai satu tuntutan fardu kifayah.

"Produk ini juga dikeluarkan agar dapat memupuk kesedaran khususnya di kalangan generasi muda. Asalkan kit pengurusan jenazah ini ada sesiapa sahaja berupaya untuk menguruskan jenazah tidak kira di mana mereka berada.

"Melalui produk ini, umat Islam dapat mengelak kelewatan untuk menguruskan jenazah kerana tidak mempunyai bekalan mencukupi apabila berlakunya kematian," katanya.

Kit lengkap pengurusan jenazah yang diperkenalkan Dunia Kifayah mengandungi 20 peralatan utama meliputi peralatan dan bahan asas untuk pengurusan jenazah seorang Islam.

Ujar Jasri, peralatan tersebut merangkumi tiga helai kain kapan, kain kemban, tudung, baju, kain murung (enam set), sarung bantal (empat helai), tali (lima helai), kapas dua gulung, air mawar, akar sintok, putik kapas (15 batang), celak, kapur barus, minyak atar, sabun, serbuk cendana, apron plastik, plastik sampah, sarung tangan getah dan topeng muka.

Katanya, produk itu merupakan kit pengurusan jenazah yang paling lengkap boleh didapati di pasaran. Jasri menegaskan produk kelengkapan itu diperkenalkan bukan semata-mata untuk mengaut keuntungan kerana jika diamati tuntutan fardu kifayah sebelum ini sering dipandang ringan oleh masyarakat Islam walaupun ia perkara wajib.

Katanya, melalui pengalaman sendiri, memang sukar mencari kelengkapan kerana tidak semua kedai menjualnya dan perkara itu merupakan salah satu faktor kit lengkap pengurusan jenazah dibangunkan syarikatnya.

"Produk kit pengurusan jenazah ini telah dipasarkan sekitar Johor dan kami menyasarkan untuk memperluas lagi pasaran sehingga seluruh negara.

"Kita juga sedang dalam perancangan untuk memasarkan produk ini ke luar negara seperti di Indonesia, Singapura dan Brunei," katanya lagi.

Menyentuh mengenai perancangan jangka pendek, Jasri menambah, syarikatnya sedang dalam proses membangunkan kit kelengkapan jemaah haji dan umrah.

"Kita ingin memudahkan lagi bakal-bakal jemaah haji dan mereka yang ingin mengerjakan umrah," ujarnya.

Dalam pada itu, syarikat Dunia Kifayah juga bercadang untuk mempunyai van jenazah dilengkapi dengan pemandu yang akan membantu menyediakan peralatan memandikan dan pengebumian jenazah.

Jasri menambah, perancangan jangka panjang pula mewujudkan panel pengurus jenazah di setiap negara yang mempunyai rakyat beragama Islam.

"Kita juga bercadang untuk mempunyai tanah perkuburan Kifayah yang diuruskan sepenuhnya oleh Dunia Kifayah. Ia lengkap dengan segala infrastruktur seperti surau, pejabat urusan Kifayah, tapak letak kereta dan khidmat buggy."

"Tanah perkuburan ini nanti akan dikawal 24 jam oleh pengawal keselamatan dan hanya boleh dimasuki oleh ahli keluarga yang berdaftar sahaja. Apabila ia menjadi realiti kelak, kami berharap tanah perkuburan Kifayah akan menjadi tanda aras untuk diikuti oleh pengurusan tanah-tanah perkuburan lain di seluruh negara," ujar Jasri lagi.

Tambahnya, apa yang ingin diketengahkan lebih kepada usaha untuk menjadikan tanah perkuburan sebagai mesra masyarakat dan persekitaran.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, May 16, 2010

Varieti Nangka Mastura

(Post: Bahasa Melayu)
" Nangka Mastura pertama kali diketengahkan kepada umum sekitar tahun 2000. Ia diiktiraf sebagai varieti buah nangka tempatan yang terbaik pernah dihasilkan setakat ini. "

Mampu mencecah berat sekitar 20 hingga 30 kilogram (kg) sebiji selain menghasilkan ulas yang manis dan berwarna keemasan, kualiti nangka Mastura telah mengangkat nama buah tempatan.

Malah, penggemar buah-buahan tempatan yang pernah merasainya pasti bersetuju bahawa nangka Mastura merupakan nangka terbaik pernah dinikmati.

Namun, populariti Mastura menyebabkan umum kurang mengenali individu yang bertanggungjawab menghasilkan varieti nangka tersebut.

Juga digelar nangka madu, ia merupakan gabungan daripada nama Mas yang membawa maksud warna isi yang keemasan manakala tura pula membawa maksud tanaman untuk rakyat.

Ia adalah hasil ciptaan Profesor Dr. Zainal Abidin Abd. Aziz ketika beliau masih bertugas sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kaji Hayat, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang sekitar tahun 1980-an.

Menurutnya, varieti nangka Mastura hanya diketengahkan setelah menyempurnakan penyelidikan selama dua dekad mengenai buah istimewa itu menerusi geran penyelidikan USM bernilai kira-kira RM1 juta.

Jelasnya, pada peringkat awal kajian, beliau telah bekerjasama dengan sebuah syarikat swasta dari Gopeng, Perak dan mengumpulkan sembilan genetik nangka terbaik dari seluruh Asia Tenggara untuk dikaji.

"Daripada sampel itu, sebanyak 400 titisan genetik berjaya dihasilkan dan selepas lapan tahun kajian, enam daripadanya diperkenalkan sebagai varieti baru dengan nama CJ-1, CJ-2, CJ-3, CJ-4, CJ-5 dan CJ-6."

"Selepas tiga hingga empat tahun ditanam dan mengeluarkan buah, orang ramai menggelarkannya nangka madu," katanya ketika ditemui Kosmo! di ladang penanaman nangka Mastura di Kampung Paya Tok Akil, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Di atas tanah seluas 12 hektar milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) yang dijadikan tapak kajiannya, Zainal Abidin kini turut menjalankan penyelidikan 20 buah-buahan tropika lain termasuklah durian belanda, jambu air, belimbing, longan, rambutan, pulasan dan roselle.

Walaupun berjaya menghasilkan nangka yang mempunyai ciri-ciri baik, namun kajian terhadap varieti nangka tidak terhenti di situ sahaja.

Menurut Zainal Abidin, sebanyak 400 titisan genetik daripada enam varieti CJ-1 hingga CJ-6 telah dikaji semula dan selepas lapan tahun, satu titisan daripadanya telah dipilih.

Ini kerana ia mempunyai sifat-sifat yang dikehendaki iaitu mempunyai saiz buah yang besar, mengeluarkan ulas yang manis dan isinya yang keemasan.

Varieti itu diperkenalkan kepada umum dengan nama CJ/USM 2000 Mastura yang kemudiannya menerima nama jolokan nangka Mastura seperti yang dikenali pada hari ini.

Malah, nangka Mastura juga mempunyai ciri-ciri yang baik. Antaranya ialah buahnya berbau harum, isi yang tebal, buah tidak mudah rosak, pokok yang lebih tahan serangan penyakit dan berbuah sepanjang masa.

Jelasnya, pokok nangka Mastura dengan ketinggian di antara 4.5 meter hingga 5.4 meter mampu mengeluarkan buah pertama selepas 18 bulan ditanam. Ia boleh mengeluarkan dua putik buah dalam tempoh sebulan selain mampu hidup selama lebih dua dekad.

Sehingga kini, varieti nangka Mastura paling banyak ditanam di Pahang yang melibatkan keluasan ladang kira-kira 1,200 hektar manakala di Terengganu dan Selangor pula melibatkan penanaman masing-masing seluas 160 hektar yang benihnya dipasarkan menerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di negeri itu.

Sebagai kesinambungan kepada kejayaan yang telah dihasilkan menerusi penemuan varieti nangka Mastura, Zainal Abidin yang telah bersara sebagai pensyarah di USM masih lagi meneruskan kajiannya.

Kini kajian terbarunya yang dilaksanakan sejak lima tahun lalu sudah memasuki peringkat penilaian terhadap 200 sampel titisan yang dihasilkan daripada kacukan beberapa jenis nangka terbaik termasuklah nangka Mastura.

"Kajian terbaru saya ini dijangkakan dapat menghasilkan empat lagi baka baru nangka yang mempunyai ciri-ciri baik, mungkin lebih baik daripada nangka Mastura."

"Saya jangkakan dalam masa setahun dua lagi, ia dapat diperkenalkan kepada umum untuk ditanam secara komersil di kawasan pertanian," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Bisnes Buah Engkabang

(Post: Bahasa Melayu)
" Kita mungkin biasa mendengar dan melihat minyak dihasilkan menggunakan buah kelapa, jagung dan kelapa sawit, namun tidak ramai yang mengetahui masih terdapat sejenis buah yang boleh diproses untuk dijadikan minyak masak. "

Buah yang dimaksudkan ialah engkabang. Mungkin ramai antara kita yang tidak pernah mendengar namanya apatah lagi melihatnya di depan mata. Ini kerana pokok engkabang banyak tumbuh di kawasan pedalaman Sarawak termasuk di sekitar Sungai Rajang.

Buah engkabang atau nama saintifiknya shorea macrophylla cukup sinonim di kalangan masyarakat yang tinggal di pedalaman Sarawak terutama kaum Iban.

Bagi masyarakat Iban, buah itu turut dikenali sebagai bilun atau buah helikopter kerana mempunyai pelepah kecil yang melindungi buahnya seolah-olah bilah kipas helikopter.

Menurut penduduk tempatan, mereka sangat terpegun apabila melihat buah engkabang gugur dari pokok kerana buahnya jatuh secara berputar bagaikan helikopter hendak mendarat.

Kosmo! difahamkan, engkabang mempunyai keunikan tersendiri kerana berbuah tiga hingga lima tahun sekali dan mengandungi khasiat sebagai agen antipenuaan.

Buahnya bukan sahaja dijadikan minyak, malah turut diproses bagi menghasilkan produk kosmetik untuk golongan wanita.

Ada juga sesetengah masyarakat di Sarawak menjadikan buah engkabang sebagai ulam kerana rasanya lebih lemak dan berbau harum sementara kayunya pula amat bernilai kerana boleh digunakan untuk membuat rumah.

Bagaimanapun, cara memproses minyak amat rumit kerana kulit buah engkabang perlu dikupas terlebih dahulu sebelum isinya dijemur untuk dikeringkan.

Menurut cara tradisional, isi engkabang yang sudah kering kemudian ditumbuk hingga halus dan diperah hingga keluar minyaknya.

Kemudian, minyak tersebut akan disimpan di dalam buluh sehingga menjadi seperti mentega sebelum digunakan untuk memasak.

Minyak yang dihasilkan daripada buah engkabang sangat sesuai digunakan untuk membuat nasi goreng kerana harumannya yang membuatkan nasi menjadi sedap.

Bagi penduduk yang bergantung hidup dengan memungut hasil hutan, ketibaan musim engkabang amat dinanti-nantikan kerana ia menjadi punca pendapatan.

Pada Februari lalu, penduduk di Song, Sarawak bagaikan berpesta menyambut kedatangan musim engkabang sehingga mereka sanggup berjalan di atas kayu-kayu terapung di sungai untuk memungut buah engkabang yang gugur sebelum dijual kepada pemborong.

Seorang tukang kebun, Selah Awi, 42, berkata, ramai orang termasuk kanak-kanak masuk ke hutan untuk mencari buah engkabang.

"Kami akan pungut buah engkabang yang gugur sebelum dibawa balik ke rumah untuk dikeringkan."

"Selepas isi engkabang kering barulah kami menjualnya kepada pemborong kerana isi yang telah dikeringkan lebih mahal harganya," kata Selah kepada Kosmo!.

Menurut lelaki itu, beliau turut menanam pokok engkabang di kebun yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

"Dulu pokok engkabang banyak tapi sekarang tinggal sedikit saja kerana ia terpaksa ditebang untuk mendapatkan kayu bagi tujuan membuat rumah," ujarnya.

Selah memberitahu, dengan bantuan isteri dan anak-anak, mereka bersama-sama membelah buah engkabang bagi mengasingkan isi dan kulitnya untuk dijemur sebelum dijual.

Beliau berkata, sekarang susah untuk mendapatkan minyak yang dihasilkan daripada buah engkabang kerana prosesnya yang rumit.

"Kalau dulu, orang kampung akan buat minyak sendiri dengan memasak biji engkabang di dalam buluh, namun sekarang tidak ada lagi, malah di kedai pun sudah tiada," kata beliau.

Bagi pemborong buah engkabang yang hanya mahu dikenali sebagai Lau, 56, setiap kali tibanya musim engkabang, halaman rumahnya mesti dikosongkan untuk dijadikan tempat mengumpul buah yang telah dijual oleh penduduk.

"Kadang-kadang sampai tiga tan buah yang telah kering dijual oleh penduduk sehinggakan tidak cukup tempat untuk menyimpannya," katanya yang menjadi pemborong engkabang sejak tahun 1986.

Katanya, buah engkabang yang belum kering dibeli pada harga 60 sen sekilogram, manakala isi yang telah kering dibeli pada harga antara RM1 hingga RM2.

"Walaupun saya membeli buah yang telah kering, namun ia akan terus dijemur dan dikeringkan lagi untuk mendapatkan kualiti terbaik sebelum dihantar ke Sibu.

"Buah ini kemudiannya akan dieksport ke luar negara kerana mendapat permintaan yang tinggi di sana," jelasnya.

Di saat kemeriahan penduduk memungut engkabang apabila tiba musimnya, penduduk tempatan bagaimanapun melahirkan rasa kecewa kerana banyak pokok telah ditebang oleh pembalak haram dan untuk tujuan pembangunan.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Saturday, May 15, 2010

Restoran Kak Eita Sup Ekor Stimbot

(Post: Bahasa Melayu)
" Sup stimbotnya istimewa dan lain daripada yang lain. Kelainan ditawarkan, iaitu sup ekor stimbot, kuat memancing perhatian penggemar menjejakkan kaki ke Restoran Kak Eita Sup Ekor Stimbot di Seksyen 2, Wangsa Maju. "

Menariknya, pelanggan boleh memilih lebih 50 jenis makanan laut segar, selain ayam, daging, sayuran dan bebola untuk dinikmati dalam periuk air rebusan panas di tengah meja makan.

Restoran di bangunan tiga tingkat berkonsep suasana kampung dan santai dibuka sejak tiga tahun lalu menawarkan stimbot sebagai menu utama selain pelbagai masakan Melayu tradisional dan cita rasa Thai.

Pemiliknya, Norita Mohd Khalid berkata, inisiatif memperkenalkan stimbot dengan kuah sup ekor ialah bagi memberi pilihan kepada pelanggan kerana jarang ada konsep seumpama itu.

"Tempat lain mungkin tiada sup ekor menyebabkan pelanggan baru berkeinginan mencuba, manakala pelanggan tetap suka memesan kerana menggemari rasanya. Ada tiga jenis sup pilihan, termasuk sup ayam dan tom yam," katanya.

Menurutnya, makanan laut segar didatangkan dari Pulau Besar, Melaka. Selain hidupan laut biasa didapati seperti ketam, udang, kupang dan pari, restoran itu menawarkan lokan, kepah, pepahat, sotong kembang, siput cangkul dan siput halia.

Jenis sayuran pilihan ialah sawi, bayam, kangkung, kubis panjang, pak choy, cendawan enoki dan cendawan putih serta fucuk.

Bagi menikmati stimbot mengikut selera sendiri, bayaran RM28.80 dikenakan untuk pelanggan dewasa manakala kanak-kanak dari empat hingga 12 tahun sebanyak RM10 seorang untuk hidangan bufet.

Ada juga nasi dan lauk-pauk, barbeku, ikan bakar, lamb chop, chicken chop serta aiskrim untuk kanak-kanak.

Pelanggan juga boleh memilih set stimbot untuk makan dua orang berharga RM26.80 atau tiga orang (RM40.20) iaitu pilihan lauk yang disediakan restoran.

Tingkat bawah yang dibuka untuk pelanggan mampu memuatkan 90 orang dalam satu masa manakala tingkat dua dikhususkan untuk tempahan bagi acara, jamuan atau mesyuarat.

Resipi masakan Restoran Kak Eita dikenali lebih 30 tahun lalu di sekitar Alor Gajah, Melaka. Keluarga Norita menjalankan perniagaan makanan dengan resipi turun-temurun neneknya.

Untuk tengah hari, menu masakan turut disediakan dalam set seperti set ayam, kambing, daging dan set makanan laut yang dihidang bersama sayuran, begedel, sup dan pencuci mulut.

Set kari dengan pilihan pari atau kembong manakala set asam pedas sama ada kembong, pari atau tenggiri. Ia dihidang percuma dengan teh o ais atau sirap.

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Pelantar Kayu Melati Evergreen

(Post: Bahasa Melayu)
" Penggunaan pelantar kayu atau dek menyerlahkan keindahan dan dimanfaatkan sepenuhnya sebagai latar taman. Penghias taman yang kian popular itu dihasilkan daripada kayu asli mampu menyuntik visual keunikan semula jadi. "

Pakar landskap Melati Evergreen, Mohd Khaizam Kamisan berkata, penggunaannya bukan sekadar di taman, malah ia melengkapi balkoni pangsapuri atau kondominium.

"Awalnya, pelantar kayu berfungsi menutup kecacatan ruang taman dan ia dipelbagaikan kegunaannya sama ada di bahagian depan atau belakang taman."

"Faktor harga kayu bukanlah alasan memiliki pelantar di bahagian luar kediaman sama ada di anjung, patio atau taman," kata Mohd Khaizam.

Material kayu semula jadi jenis keras digunakan seperti belian, resak, jati dan cengal kerana terkenal dengan ketahanannya.

Penggunaannya mengurangkan suasana kaku di taman yang biasanya berlatarkan batu-batuan hiasan selain menyejukkan pandangan mata.

Nilai estetika yang ditonjolkan antara tarikan utama selain melengkapi konsep Nusantara, tropika, desa dan suai padan di taman.

Antara kriteria utama yang perlu diberi perhatian supaya pelantar kayu di kediaman anda sentiasa menarik dan tahan lama ialah pilihan jenis, gred atau kualiti kayu dan kenal pasti sistem pemasangan yang betul.

"Setiap pilihan kayu mempengaruhi ketahanan, keupayaan menahan serangga perosak dan cahaya terik matahari hingga menyebabkan kayu mudah reput serta hilang keasliannya."

"Sebelum proses membina pelantar kayu dilakukan, ketahui masalah utama yang mengakibatkan penampilan pelantar kayu kurang menyerlah."

"Pemasangan yang tidak betul boleh menyebabkan rekahan pada permukaan kayu dan mencacatkan penampilan secara keseluruhan," katanya.

Pembinaan pelantar kayu tampil sempurna jika anda mengenal pasti suhu dan keadaan cuaca di kawasan atau lokasi pelantar kayu ditempatkan.

Ambil kira faktor cahaya dengan menentukan arah turun naik matahari untuk mengelakkan pemandangan kurang selesa jika pelantar kayu terdedah dengan cahaya matahari berlebihan terutama waktu petang.

Perancangan teliti perlu untuk memastikan binaan pelantar kayu itu sesuai dengan keluasan atau konsep penataan taman.

Apatah lagi pelbagai reka bentuk pelantar kayu ada di pasaran bergantung kepada kesesuaian taman dan kreativiti pemiliknya.

Anda bebas menentukan sama ada perlu membina teduhan beratap atau sebaliknya jika lokasi pelantar kayu lebih terdedah kepada cahaya matahari.

Kini, penggunaan pelantar kayu tiruan atau 'fiber' turut popular disebabkan cita rasa setiap pemilik kediaman berbeza dan mudah diselenggara.

Suasana ruang tamu juga tampil berbeza jika kemasan pelantar kayu diketengahkan melengkapi konsep dekorasi di kediaman anda.

Dalam apa keadaan, ketahui fungsi dan kegunaan pelantar sama ada sebagai ruang santai atau menutup kecacatan ruang.

Teliti sama ada kandungan lapisan luar kayu lembut (sapwood) yang berlebihan dan tidak dibuang boleh menyebabkan pelantar mudah merekah serta kurang ketahanannya.

Lapisan berkenaan boleh dikenal pasti melalui perbezaan warna jika kayu kelihatan putih dan kelabu membuktikan ia tidak dibuang.

"Pelantar kayu biasanya mampu bertahan hingga 20 tahun dan aspek rutin penjagaan serta penyelenggaraan penting untuk mengekalkan kesempurnaannya."

"Bagi mengekalkan keaslian, sapukan pengilap kayu atau 'varnish' sekurang-kurangnya setahun sekali kerana pelantar kayu sering terdedah kepada hujan dan panas saban hari," katanya.

Keterangan lanjut, layari Facebook, Mohd Khaizam.

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, May 14, 2010

Selipar Banana Peel

(Post: Bahasa Melayu)
" Dahulu tidak banyak selipar yang menampilkan himpunan corak berwarna-warni. Terlalu trendy dan mudah menarik perhatian, suatu ketika dahulu tidak ramai yang gemar memakai selipar seperti itu kala bersiar-siar. "

Bagaimanapun, fesyen masa kini telah mengalami perubahan drastik apabila peminat fesyen tidak hanya gemar mengumpul kasut, bahkan selipar turut menjadi koleksi peribadi. Sesuai dipadankan dengan pelbagai gaya, selipar juga menjadi pernyataan fesyen tersendiri.

Selipar hari ini tidak hanya menekankan kepada keselesaan, malah perlu tampil dengan corak unik, rekaan lebih trendy dengan permainan warna yang segar.

Kedatangan jenama baru selipar Banana Peel yang menggabungkan gaya terkini, keselesaan dan serba guna menawarkan pelbagai seleksi rekaan yang sesuai dengan semua lapisan umur.

Berkonsepkan bebas bergerak dengan penuh yakin, jenama itu diilhamkan oleh iklim dan gaya hidup tropika sekali gus sesuai dengan musim di negara ini.

Selipar yang bergaya santai itu direka dengan gaya ultra trendy, olahraga dan klasik. Tawaran harga yang cukup kompetitif iaitu RM23 sepasang dengan pilihan corak amat menarik pasti membuatkan ramai yang ingin menyarungnya.

Jika anda seorang wanita yang gemarkan gaya manis dengan watak kartun Disney, koleksi Retro Mickey and Minnie merupakan pilihan terbaik untuk dipakai.

Sementara itu, koleksi Freshly Squeezed pula membawa rekaan menarik dengan gabungan warna jingga.

"Mereka yang ingin kelihatan sentiasa ceria dan sesuai dengan usia remajanya, koleksi rekaan bercorak abstrak Banana Peel's Mad About Prints amat sesuai, malah ia boleh dipadankan dengan pelbagai warna pakaian anda," beritahu Pengarah Oridea Sdn. Bhd., Pauline Ng.

Setiap dua bulan Banana Peel akan mengetengahkan himpunan baru dengan tujuan memberikan cita rasa yang lebih pelbagai kepada si pemakai. Tidak pernah sesekali melupakan fesyen untuk kaum lelaki, koleksi All Signs memberikan gambaran ciri lelaki maskulin.

"Koleksi ini mengetengahkan banyak paparan tanda-tanda seperti No Parking, Speed Limit, Fragile dan Slow Children Playing," jelasnya lagi.

Bagi anda yang ingin tampak ringkas, koleksi uniseks iaitu Status Quo memberi pilihan lima warna cukup menarik iaitu merah, coklat, hitam, kelabu dan merah jambu.

Koleksi Banana Peel boleh didapati di galeri Banana Peel di pusat beli-belah seperti MidValley, Sunway Pyramid dan Plaza Sungei Wang.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, May 13, 2010

Lasak Bersama Kenaboi Adventure Team

(Post: Bahasa Melayu)
" Jika aku hidang kuku ayam pun habis korang makan," kata pengasas Kenaboi Adventure Team (KAT), Khairil Anuar Zainal Azman atau Nuar apabila melihat gelagat kami ketika sibuk menikmati gulai kari ayam dan ikan kering di dewan kayu berbumbungkan daun Selebar di kem dekat Titi, Jelebu, Negeri Sembilan, baru-baru ini. "

Usikan itu gara-gara melihat kumpulan kami yang begitu kelaparan selepas empat jam meredah arus deras ketika menyertai aktiviti 'tubing' di Sungai Kenaboi. Walaupun ringkas, sajian itu nyata amat membuka selera selepas bermain dengan air sungai yang dingin untuk tempoh yang agak lama.

Apa tidaknya, sedar tidak sedar, dari penempatan Orang Asli di Kuala Sungai Limau, arus sungai yang mengalir dari Banjaran Titiwangsa itu sudah menghanyutkan kami sepanjang antara enam hingga tujuh kilometer.

Kudrat yang ada habis dikerah lantaran perjalanan itu melewati enam jeram berbatu yang menjadi halangan semula jadi buat peserta.

Aktiviti tubing adalah menghanyutkan diri menggunakan pelampung tiub getah. Ini sudah menjadi rekreasi air popular di beberapa destinasi ekopelancongan termasuk Taman Negara.

Berbeza dengan kayak, seseorang hanya perlu bergantung kepada tangan untuk mengawal pergerakan, sekali gus 'mengemudi' haluan tiub.

Nampak saja mudah tetapi jika tidak dikendalikan dengan baik, ia boleh menyebabkan seseorang tenggelam timbul apabila meredah jeram. Seperti kayak, ada cara betul untuk kembali masuk ke atas pelampung sekiranya tercampak keluar dan mengelak daripada tersangkut di akar pokok yang berselirat di sepanjang tebing sungai.

Malah, kata Nuar, ia boleh menyebabkan kecederaan terutama apabila terseret dengan batuan di dasar sungai di kawasan lebih cetek. Paling penting, seseorang perlu mengikut 'body confidence' untuk membiasakan diri dengan arus sungai, sekali gus mengelak situasi panik sekiranya pelampung secara tiba-tiba terbalik.

Sebagai persediaan, kakitangan KAT yang terlatih dengan kursus menyelamat sentiasa berada dalam keadaan bersedia bagi menghadapi kecemasan. Mereka yang terdiri daripada rakan hasil persahabatan yang terjalin menerusi Facebook juga sering membantu melepaskan peserta terutama apabila menghampiri kawasan jeram.

Tempoh empat jam tidak bermakna keseluruhannya bermain dengan tiup getah. Sebaliknya, peserta dilepaskan secara berperingkat dan keluar daripada air apabila tiba di kawasan terlampau cetek. Ada ketikanya, kami diarah merentas denai di tebing bagi mengelak laluan jeram yang agak berbahaya.

Peringkat pertama perjalanan ternyata lebih mudah walaupun ada kalanya perlu melalui arus agak berliku. Ini juga dimanfaatkan sepenuhnya oleh peserta untuk membiasakan diri dengan pelampung. Pada masa sama, bermain air sambil menikmati suasana damai dikelilingi kehijauan alam semula jadi.

Pada bahagian seterusnya membawa kami ke beberapa jeram yang agak menguji minda dan fizikal. Jeram yang menanti bukan saja berliku, malah menuntut kesabaran yang tinggi. Untuk keselamatan, satu persatu peserta dilepaskan untuk mengelak pelampung kami bertembung antara satu sama lain.

Menariknya, pada bahagian kedua, Nuar mengarahkan kami berhenti seketika sambil menunggu rakan lain yang masih ketinggalan di belakang. Masa terluang digunakan untuk menikmati kedinginan air terjun semula jadi setinggi empat meter yang mencurah dari tebing setinggi kira-kira empat meter.

Alang-alang sudah basah, ada yang mandi di air terjun itu sambil mengabadikan gambar. Untung juga, rakan dari ibu kota memiliki kamera kalis air. Setidak-tidaknya, ada juga rakaman kenangan mengunjungi air terjun kecil yang muncul di tengah hutan belantara itu yang sukar dijejaki tanpa perlu mengikuti aktiviti 'tubing'.

Kilometer terakhir menjanjikan cabaran berganda buat penulis apabila beberapa kali tercampak keluar daripada tiub terutama apabila menghampiri jeram digelar 'Chicken Little'. Seperti kata Nuar, ia membuatkan peserta seperti anak ayam apabila beberapa kali tenggelam timbul dan ada kalanya terasa seperti dalam mesin basuh yang sedang berpusing.

INFO:
• KAT menawarkan pakej meliputi 43 aktiviti meliputi 'jungle based' seperti kem solo, merentas denai, mendaki Gunung Besar Antu (1,450 m ). Aktiviti 'water based' termasuk kayak dengan tahap kesukaran antara 2 dan 3 (musim panas) atau 4 dan 5 (musim hujan).

•Pakej dua hari satu malam umpamanya ditawarkan pada harga serendah RM200 (minimum lapan orang) meliputi lawatan ke penempatan Orang Asli di Kampung London, berkelah di Lata Kijang, merentas desa, tubing dan pengangkutan.

•Tapak perkhemahan juga boleh disewa dengan kadar RM10 untuk mereka yang memiliki kelengkapan sendiri atau hanya RM40 untuk menyewa khemah. Bagaimanapun, pakej boleh disesuaikan dengan keperluan dan bajet peserta.

•KAT terletak berhampiran Kampung Chennah Kenaboi, Titi Jelebu Negeri Sembilan. Untuk maklumat lanjut, layari Kenaboi Adventure Team atau hubungi Nuar di talian 013-3101581 atau e-mel kepada kenaboiadventure@yahoo.com

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, May 12, 2010

Terapi Magnet Hot Perfume

(Post: Bahasa Melayu)
" Meningkatkan kesihatan dan haruman menjadi dua elemen penting digabungkan dalam buah tangan terbaru keluaran syarikat Hot Perfume, Auraflux Perfume yang bakal menjengah pasaran tidak lama lagi. "

Produk yang menggabungkan wangian dan terapi magnet ini bukan sahaja berupaya meningkatkan tahap kecergasan pengguna, malah dapat membangkitkan aura seseorang di samping menikmati wangian yang digemari melalui gaya hidup sihat.

Usaha sama yang dijalin bersama syarikat Magnecares Resources dijadikan sebagai pemangkin dalam penciptaan produk bermutu tinggi yang seharusnya dimiliki oleh semua pengguna.

Auraflux Perfume adalah produk wangian dicipta menggunakan teknologi angkasa lepas yang mana ia turut menggabungkan potensi kesihatan melalui gelombang magnet.

Lazimnya, produk yang berasaskan terapi magnet hanya terdapat dalam bentuk pepejal seperti gelang dan rantai tetapi produk ini adalah satu-satunya produk terapi magnet yang menggunakan cecair sebagai medium terapi dan ditambah pula dengan wangian bagi memenuhi keperluan gaya hidup moden.

Pengasas dan Pengarah Urusan Magnecares, Syarhaimy Hashim, berkata Auraflux Perfumes bertindak sebagai pewangi badan dan dalam masa yang sama berfungsi sebagai terapi kepada tubuh badan.

"Dengan menggunakan teknologi daripada Amerika Syarikat bagi menjalankan proses 'flux', kami memberi jaminan bahawa kualiti bagi setiap botol minyak wangi adalah berada pada tahap paling optimum."

"Kami memilih lima jenis wangian minyak wangi Hot Perfume yang mendapat sambutan di pasaran untuk menjalani proses ini bagi 'menyuntik' tenaga magnetik ke dalamnya," katanya ketika ditemui di pejabat urusan dan pusat pengeluaran Hot Perfume yang beroperasi di Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini.

Berdasarkan kajian dilakukan pakar, terapi magnetik dapat mengimbangi cas ion negatif dan positif di dalam badan dan secara tidak langsung meningkatkan kecergasan dan kecerdasan pengguna.

Syarhaimy berkata, produk itu yang lazimnya disapukan di pergelangan tangan dan leher bertindak merangsang denyutan nadi dan melancarkan pengaliran darah serta penyaluran oksigen yang mencukupi.

Kesannya ke atas kesihatan dan tenaga dapat di rasai dalam masa tiga saat sahaja dan ia juga berfungsi sebagai pendorong kepada proses penyembuhan.

Sementara itu, Pengarah EKsekutif Magnecares, Fakri Md, berkata bagi mereka yang mempunyai kesangsian terhadap produk ini, ingin dijelaskan bahawa ia menggunakan kaedah saintifik sepenuhnya dan tidak terdapat sebarang unsur mistik yang sinonim dikaitkan dengan produk mengembalikan aura.

Namun katanya,penggunaan produk ini bukan bermakna pengguna akan diberi tenaga tambahan sebaliknya ia berfungsi menjana tenaga semula jadi yang terdapat dalam badan secara optimum.

Sebagai permulaan, pihaknya memasarkan lima jenis wangian iaitu dua wangian untuk lelaki dan tiga wangian untuk wanita yang dipilih berdasarkan wangian Hot Perfume yang mendapat permintaan yang tinggi.

"Jika sambutan yang diterima menggalakkan, kami akan merancang untuk menambah lebih banyak lagi jenis wangian dan bercadang untuk memasarkannya dalam botol yang lebih besar."

"Lebih istimewa, Auraflux Perfume dijual dengan harga mampu milik iaitu serendah RM14.90 bagi setiap botol yang mengandungi 5 mililiter (ml) dan ia adalah yang terendah di pasaran," katanya.

Hot Perfume yang bertapak kukuh dalam pasaran sebagai syarikat pengimport dan pengeluar produk minyak wangi alternatif haruman antarabangsa tanpa alkohol turut memasarkan beberapa produk lain seperti semburan wangian kereta serta rumah, sabun mandian pati minyak wangi, aroma terapi dan pewangi kain.

Hot Perfume kini mempunyai lebih 200 stokis dan lebih 10,000 ejen bergiat aktif dalam pemasaran produk di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak termasuk di Brunei dan Singapura.

Mereka yang berminat menjadi stokis mahupun ejen boleh menghubungi syarikat bagi mendapatkan informasi mengenai produk yang ditawarkan.

Sumber: Berita Harian Online
Foto: Hot Perfume

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, May 11, 2010

Hiasan Topiari Bunga

(Post: Bahasa Melayu)
" "Bentuk bulat dan memikat membuatkan saya terpaut hati dengan hiasan topiari. Selepas mengikuti kursus jangka pendek langkah membuatnya, saya cuba hasilkan sendiri produk kraf itu untuk dijadikan sebahagian hiasan rumah manakala selebihnya, dijual di laman sesawang," kata pengusaha kraf topiari, Hadifah Abdul Hayon. "

Selain menghadiri kursus singkat, Hadifah juga kerap melayari internet bagi mendapatkan maklumat terkini produk berkenaan, mengenalpasti rekaan baru seterusnya mengubahsuai serta mencari aksesori tambahan yang mampu mencantikkan lagi bentuk topiari.

"Sebolehnya, topiari dihasilkan tampil unik dan menarik berbanding yang dijual di kedai kraf," katanya.

Selain menjadikan bekas bunga sebagai badan topiari, Hadifah juga gemar menguji kreativitinya melakukan eksperimen dengan pelbagai bahan lain seperti seperti cawan, baldi mini logam, pasu seramik dan aluminium dihiasi corak decoupage serta aneka bekas hiasan bermotif haiwan terutama arnab dan beruang.

"Kursus jangka pendek untuk mendapatkan pendedahan dan ilmu asas membuat topiari manakala di internet, saya didedahkan dengan seribu macam cara serta ilham menjadikan produk berkenaan lebih cantik dan berbaloi dimiliki."

"Saya ada terserempak dengan laman web yang menunjukkan cara menghasilkan topiari bentuk kon, tetapi belum berkesempatan cuba membuatnya," katanya yang hampir tiga tahun menceburkan diri dalam bidang jual beli topiari menerusi internet.

Kata Hadifah, setakat ini, sambutannya amat menggalakkan sehinggakan beliau tidak menang tangan mengadakan tempahan dalam kuantiti yang banyak.

Apa istimewanya hasil tangan Hadifah ini?

Bagi wanita gigih ini, keistimewaan topiari itu adalah setiap satunya dalam bentuk berbeza yang berpandukan ilham, cita rasa serta trend atau aliran ketika itu.

Misalnya, sewaktu teknik decoupage popular dan menjadi buruan pencinta gaya Inggeris, topiari dihasilkan Hadifah banyak mengetengahkan unsur dan pengaruh tema itu.

Bagi memastikan topiarinya tampil unik, Hadifah turut menyelitkan beberapa hiasan tambahan seperti lumut tiruan bagi menutupi permukaan span, rumput dan daun buatan, riben di samping bermacam aksesori yang membantu menjadikan barangan kraf itu rimbun seperti jambangan bunga halus.

Meskipun decoupage mendapat tempat dan kian diminati, namun teknik itu jarang dicubanya pada cawan seramik kerana berpendapat kualiti seramik memadai menyerlahkan estetika topiari.

"Cawan seramik elok dibiarkan polos tanpa hiasan kerana nampak semula jadi. Maklum balas diterima daripada pelanggan menyatakan mereka suka topiari cawan polos ini dikekalkan. Pada masa hadapan, saya mungkin cuba memperkenalkan teknik folk art pula," katanya yang menawarkan harga serendah RM20 untuk topiari mini sehingga yang paling mahal bernilai kira-kira RM180.

Hadifah berkata, langkah paling rumit menyediakan cuma ketika proses membentuknya menjadi bulat. Selebihnya, bergantung kepada inisiatif serta daya kreatif menjadikan lebih menarik dipandang.

"Selesai membuat bentuk dan mencantikkannya dengan bunga hiasan, proses selanjutnya bergantung kepada budi bicara di samping keinginan pelanggan misalnya menambah hiasan rumput, lumut, riben dan sebagainya."

"Cabaran utama bagi saya ialah ketika membungkus untuk penghantaran secara pos kerana tanpa prosedur yang betul, barang berkemungkinan pecah dan retak sebelum sampai ke tangan pelanggan."

"Saya kerap menghadapi masalah ini dan apabila berlaku, terpaksa menggantikannya dengan yang baru. Kini, ada seorang teman berminat menjualnya di kedai hiasan dalamannya di Johor Bahru. Jadi, peminat topiari boleh terus membelinya di sana saja," katanya yang boleh dihubungi menerusi laman sesawang dan email dinizahra@yahoo.com

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, May 10, 2010

Ikan Keli Bestari Jaya

(Post: Bahasa Melayu)
" Minatnya bermula dengan melihat seorang lelaki berketurunan Cina menyewa lombong menjalankan perniagaan menternak ikan keli selama 15 tahun. Dia pernah bertanya bagaimana dengan kerjaya itu tetapi jawapan 'teruk' yang diberi lelaki berkenaan tidak dipercayai, sebaliknya menjadi pembakar semangat Mohd Fadzil Ibrahim, 57, untuk mencari peluang meneroka kerjaya sama. "

"Satu perkara mengenai orang Cina ialah mereka tidak akan membuat sesuatu kerja jika ia tidak memberi pulangan lumayan. Itu yang saya percaya dan terbukti keputusan saya berhenti kerja dengan diberi pampasan untuk menjalankan perniagaan menternak keli bukan satu kesilapan," katanya ketika ditemui di kolam ikan ternakannya Taman Agro Teknologi Pertanian Bestari Jaya di Kuala Selangor.

Mohd Fadzil mengaku 'teruk' pada awal pembabitan dalam bidang yang diusahakannya sejak 1991 tetapi selepas 20 tahun, dia kini boleh berbangga dengan 200 kolam ternakan ikan miliknya di tanah seluas dua hektar milik kerajaan negeri Selangor.

Kini kolam milik Mohd Fadzil dengan setiap satunya berukuran 6 meter X 9 meter X 1.2 meter tinggi menempatkan 10,800 ikan keli, selain tilapia hitam sebanyak 2,000 ekor, tilapia merah, puyu, patin serta beberapa spesies ikan peliharaan seperti ikan emas dan pelaga.

Melaburkan RM84,000 sebagai modal, RM34,000 diberikan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di bawah Skim Usahawan Peladang, manakala selebihnya hasil simpanan, Mohd Fadzil dan isteri, Saadiah Kamit, mula menternak keli pada 2006 selepas mendapati ia mendapat pasaran baik.

"Ramai yang tidak tahu penduduk Lembah Klang memerlukan bekalan ikan keli sebanyak 15 tan sehari. Cuba bayangkan permintaan yang menanti pengusaha ikan ini. Pasaran memang ada tetapi penternak tidak boleh terlalu bergantung kepada orang lain. Mereka perlu bijak merangka strategi sendiri."

"Cuma saya hendak ingatkan kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang ini bahawa ia tidak menjanjikan keuntungan dalam tempoh singkat tetapi saya berani jamin ia berterusan dan lumayan. Pendapatan saya 100 peratus dari sini," katanya yang dibantu oleh enam daripada tujuh anaknya serta dua pekerja luar menguruskan kolam berkenaan.

Kesungguhan Mohd Fadzil membuatkan dia terpilih sebagai pemenang anugerah Penternak Ikan Air Tawar Selangor buat kali pertama pada 1993. Selain menternak, Mohd Fadzil turut menjalankan proses penetasan serta menganjurkan kursus penternakan kepada mereka yang berminat.

Beliau juga mengingatkan kepada sesiapa yang berminat menternak ikan keli supaya tidak mengusahakannya secara kecil-kecilan, sebaliknya memulakan operasi secara besar-besaran sekali gus kerana ia lebih menguntungkan.

Menariknya, ikan keli yang datang dari kolam Mohd Fadzil boleh dimakan tanpa was-was oleh pengguna Islam kerana beliau memberi jaminan bahan makanan yang diberi adalah halal.

"Saya memandang industri ini sebagai fardu kifayah kerana ramai orang Melayu yang makan ikan keli. Ikan yang diternak orang bukan Melayu diberi makan perut ayam, bahan buangan, bangkai dan organ dalaman babi. Semua benda itu tidak halal untuk umat Islam."

"Ikan saya sebaliknya diberi makan palet halal iaitu campuran beras hancur, tepung ikan, kepala ikan bilis, minyak sawit, bahan buangan kelapa sawit, kiambang dan vitamin. Semua benda itu pula mudah diperoleh di sekeliling kita dan jika dikomersialkan, kerajaan menjimatkan berjuta ringgit untuk mengimport bahan berkenaan."

"Orang Islam perlu bijak membezakan ikan yang diberi makanan bahan haram dan bahan halal kerana perbezaannya amat ketara dari segi bentuk ikan itu sendiri. Ia mudah dikesan," katanya.

Disebabkan bahan makanan haram itu mudah diperoleh, pengusaha Melayu sukar mendapat tempahan pasar raya, pasar basah dan pemborong kerana harga yang ditawarkan oleh pengusaha bukan Melayu jauh lebih murah sedangkan palet ikan lebih mahal.

"Mereka boleh menjual pada harga RM2.50 untuk sekilogram tetapi kita terpaksa mengenakan harga RM3.80 untuk satu kilogram. Itu satu persaingan sengit dan selalunya di situlah pengusaha Melayu ketinggalan," katanya.

Menyentuh mengenai pasaran ikan keli, Mohd Fadzil berkata, selain dijual terus ikan keli boleh dijadikan salai, dikeringkan, filet, otoshimi iaitu proses mengeluarkan tulang ikan untuk dijadikan keropok, serunding dan satar serta surimi iaitu sejenis bebola ikan.

Malah, ada permintaan mendapatkan kulit ikan keli matang dari Romania untuk dibuat dompet, tali pinggan dan beg tangan wanita.

Sayangnya Mohd Fadzil tidak dapat memenuhi permintaan itu kerana bekalan tidak mencukupi.

Menyentuh mengenai cara menternak ikan berkenaan, Mohd Fadzil berkata, ia diberi makan dua kali sehari iaitu waktu pagi dan petang dan pada bulan pertama keli perlu diberi makanan berprotein tinggi.

"Ikan keli kacukan Afrika Malaysia sudah boleh dijual pada usia tiga bulan berbanding keli Malaysia yang memerlukan enam bulan untuk matang. Namun kebanyakan keli yang ada di pasaran adalah kacukan," katanya.

INFO:
Perbezaan ikan keli memakan bahan haram dan halal

Haram
•Kepala berbentuk ‘V’
•Bentuk badan mirip torpedo
•Badan berwarna hitam berkilat
•Bahagian bawah badan berwarna putih melepak
•Bahagian antara bawah kepala dan badan berwarna kuning
•Apabila digoreng akan meletup kerana banyak lemak

Halal
•Kepala berbentuk ‘U’
•Bentuk badan tirus
•Berwarna hitam kelabu dan tidak berkilat
•Bahagian bawah badan berwarna putih kelabu
•Tiada warna kuning kelihatan di bahagian antara bawah kepala dan badan
•Digoreng tidak meletup

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Semburan Perangsang Tenaga

(Post: Bahasa Melayu)
" Fenomena cuaca panas yang membahang ketika ini secara tidak langsung mendorong ramai untuk menyejukkan diri dengan alat pendingin hawa. Sama ada di pejabat, rumah, pusat beli-belah atau restoran semuanya bagaikan tidak lengkap tanpa alat pendingin hawa. "

Namun mungkin tidak ramai yang sedar pendedahan terhadap alat itu boleh meninggalkan kesan pada kesihatan. Pendedahan kepada pendingin hawa dalam jangka masa yang panjang mengakibat seseorang berasa letih, lesu dan kurang bertenaga.

"Udara yang sejuk itu secara tidak langsung menegangkan urat-urat darah dan membuatkan mereka rasa kurang bermaya," kata Pengarah Urusan Malam Jumaat Marketing, Anuar Osman.

Apabila urat-urat itu semakin tegang, ia ia akan menyebabkan tekanan dan kesakitan pada badan. Kesannya, rutin harian seseorang terjejas dan mengganggu prestasi mereka.

Bagaimanakah untuk mengembalikan tenaga yang hilang itu?

Menurut Anuar, masalah tersebut dapat dibantu dengan produk terbaru keluaran syarikatnya iaitu Malam Jumaat.

Malam Jumaat adalah sejenis produk penambah tenaga. Masalah tersebut lazimnya dihadapi oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia.

Produk kesihatan yang berasaskan herba itu dihasilkan dengan gabungan perubatan tradisional tetapi menggunakan teknologi yang moden.

"Selain menambah tenaga, penggunaan produk terbaru ini juga boleh membantu mengerat hubungan suami isteri. Suami isteri yang kelesuan sejurus kembali dari tempat kerja besar kemungkinan tidak begitu berminat melakukan hubungan intim bersama pasangan mereka."

"Dengan adanya Malam Jumaat, mereka tidak perlu bimbang. Bahan-bahan asli yang diadun dalam bentuk semburan itu dapat membantu melancarkan aliran darah, mengatasi keletihan dan memulihkan tenaga," kata Anuar yang menjalankan perniagaan itu bersama rakan-rakannya sejak Mac lalu di Ara Damansara, Selangor.

Produk yang didatangkan dalam dua jenis iaitu Malam Jumaat untuk lelaki dan Malam Jumaat untuk wanita itu dijamin seratus peratus diperbuat daripada herba. Ia juga tidak mengundang sebarang kesan sampingan kepada badan seseorang.

Bercerita lanjut mengenai pelancaran produk baru itu Anuar berkata, idea memperkenalkan produk perangsang tenaga itu tercetus melalui perbincangan bersama seorang rakan lamanya.

Rakan tersebut yang peka terhadap kesan alat pendingin hawa kepada kesihatan telah memberi galakan kepada Anuar untuk menghasilkan produk Malam Jumaat.

Beliau yang mempunyai pengalaman luas dalam industri kecantikan dan kosmetik wanita tertarik dengan idea tersebut. Anuar kemudiannya memulakan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk tersebut.

"Kami membuat penyelidikan dan pembangunan selama setahun sebelum memperkenalkan produk itu ke pasaran," jelas Anuar yang membuat penyelidikan selama setahun sebelum mengambil keputusan untuk memasarkan produk tersebut.

Mengapakah produk tersebut dinamakan Malam Jumaat?

Menurut anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu malam Jumaat menurut kefahaman masyarakat Islam adalah malam yang penuh dengan kemuliaan untuk meningkatkan ibadah.

Produk itu menurut Anuar, sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Kepada mereka yang kurang bersenam, Malam Jumaat sesuai digunakan bagi merangsang tenaga.

Bagaimanakah cara menggunakannya?

Hanya semburkan cecair itu di bawah lidah dua kali sehari. Selain pasangan suami isteri, para pelajar yang sering keletihan juga digalakkan mencuba produk itu untuk lebih bertenaga dan fokus kepada pelajaran.

Tambah Anuar, penyembur berona hitam dan biru itu juga mudah dibawa kemana-mana.

"Penyembur berona hitam dan biru ini mudah dibawa ke mana-mana dan digunakan," katanya.

Produk penambah tenaga itu dijual pada harga RM39.90 di Semenanjung Malaysia dan RM42.30 di Sabah dan Sarawak. Untuk keterangan lanjut, hubungi talian 03-78426678.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Antena Seramik Universiti Sains Malaysia

(Post: Bahasa Melayu)
" Bahan seramik yang sebelum ini digunakan bagi menghasilkan perkakasan makanan seperti pinggan dan cawan kini berpotensi dijadikan sebagai antena dielektrik berprestasi tinggi bagi telekomunikasi tanpa wayar. "

Ia hasil penyelidikan saintis Universiti Sains Malaysia (USM) yang menggabungkan kepakaran dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) serta Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM).

Berukuran seperti sebiji butang, antena penyalun (resonator) dielektrik ini boleh diaplikasikan pada frekuensi dan sistem yang berlainan seperti WiFi, Wireless Bridge, WiMax, Radar dan sensor wayarles.

Diketuai oleh Dr. Mohd. Fadzil Ain dari PPKEE, beliau dibantu tiga penyelidik dari PPKBSM iaitu Profesor Zainal Arifin Ahmad, Profesor Madya Sabar Hutagalung dan Mohd. Arif Sulaiman.

Binaan antena ini juga cukup ringkas. Antena seramik dipasang di atas papan litar (PCB), manakala dawai kuprum pula bertindak menghubungkan aliran dari antena ini ke bahagian kepala penyambung.

"Walau kecil berbanding antena logam, produk ini terbukti boleh menambahkan jarak pemancaran daripada produk sedia ada dan mempunyai kapasiti lebar jalur yang luas serta kecekapan sinaran yang tinggi."

"Ujian telah dilakukan pada sistem WLAN beroperasi pada frekuensi 2.5 GHz dan sistem Wireless Bridge beroperasi pada 5.8 GHz menyaksikan pertambahan jarak pancaran 25 meter berbanding antena biasa," ujarnya.

Pada sidang media di Kampus USM Pulau Pinang baru-baru ini, Mohd. Fadzil memberitahu antena penyalun dieletrik menggunakan bahan seramik itu berupaya menggantikan bahan antena konvensional menggunakan logam.

Seramik ini dihasilkan daripada bahan asas iaitu titanium oksida, kuprum oksida dan kalsium karbonat yang diproses secara makmal sebelum dipasang pada papan litar dengan jalur penyuap kuprum bagi menghasilkan antena.

"Kelebihan utama antena penyalun dielektrik ini adalah kebolehubahannya yang tinggi membenarkannya memenuhi pelbagai syarat fizikal atau elektrik untuk aplikasi sistem komunikasi."

"Ia berpotensi digunakan dalam pelbagai sistem komunikasi tanpa wayar dan membolehkan pembekal perkhidmatan telekomunikasi menawarkan perkhidmatan tanpa perlu membina menara telekomunikasi seperti sedia ada," jelasnya.

Selain 100 peratus produk rekaan tempatan, faktor lain yang menyumbang kepada penggunaan antena jenis ini adalah disebabkan harga binaan yang murah untuk penyalun dilektrik iaitu kira-kira RM2 sahaja (mengikut harga makmal).

Penyelidikan yang bermula pada tahun 2005 menerusi geran penyelidikan Kementerian Pengajian Tinggi (FRGS) berjumlah RM100,000 ini telah memenangi tujuh anugerah inovasi dan penciptaan di dalam dan luar negara.

Antaranya, pingat emas Malaysia Technology Expo 2008, Seoul International Invention Fair 2008 di Korea (emas), International Trade Fair IENA 2009 di Jerman (emas) dan Anugerah Perak pada Pameran Inovasi Pecipta 2009 di Kuala Lumpur.

Mohd. Fadzil memberitahu, penyelidikan mendalam masih lagi dijalankan melalui pembiayaan terkini geran FRGS sebanyak RM40,000. Ia digunakan untuk kajian peningkatan upaya antena ini bagi kegunaan komersil.

"Walaupun penyelidikan sama telah dijalankan oleh universiti tempatan lain, tetapi USM adalah yang pertama menjalankan penyelidikan ini."

"Rancangan penyelidikan kita selepas ini ialah meningkatkan keupayaan antena ini bagi pancaran berkuasa tinggi misalnya bagi menggantikan cakera logam seperti yang digunakan oleh stesen televisyen berbayar sekarang."

"Mungkin antena ini boleh dipasang pada kenderaan untuk menerima pancaran siaran televisyen tersebut dan kami yakin ia tidak mustahil untuk dibangunkan suatu masa nanti," ujar Mohd. Fadzil.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::