Friday, January 28, 2011

Sandal Sanuk

(Post: Bahasa Melayu)
" Siapa kata sandal tidak menepati cita rasa pemakai dan jika memakainya, individu itu kelihatan tidak bergaya. "

Sandal menjadi pilihan utama bagi mereka yang mementingkan kebebasan, keselesaan dan gaya.

Wanita dan lelaki sekarang sentiasa bergerak cergas dan mahu tampil ringkas lebih selesa menggayakan sandal dalam aktiviti seharian.

Kebanyakan sandal direka khas untuk golongan muda yang mementingkan gaya dan keselesaan serta menambahkan kecergasan dalam langkah mereka.

Kebiasaannya, sandal menjadi pilihan untuk aktiviti yang menyeronokkan seperti bersantai, menonton wayang, bertemu buah hati, membeli-belah dan sebagainya.

Jenama sandal antarabangsa Sanuk telah memperkembangkan rekaan sandal kepada sepasang kasut yang ringkas dan selesa.

Masih mengekalkan koleksi sandal, Sanuk menghasilkan kasut yang mudah disarung dan ringan. Seakan-akan sandal, Sanuk memperkenalkan koleksi kasut dengan tema "Not-A-Shoe" yang membawa maksud bukan kasut.

Seperti rekaan sandal Sanuk yang lain, koleksi kali ini menampilkan kombinasi unik antara gaya dan perlindungan kaki yang memberi keselesaan kepada tapak kaki.

Bersesuaian dengan nama koleksi, Sidewalk Surfers ini memberi keseimbangan dan mengurangkan kesakitan kepada kaki.

Tapak yang diperbuat daripada bahan getah berkualiti dan tahan lama itu mengurangkan rasa sakit pada tapak kaki ketika berjalan.

Ciri-ciri sandal Sanuk inilah yang menarik perhatian peminat sandal termasuk bintang terkenal Hollywood, Brad Pitt dan Halle berry.

Anda boleh merasai kehebatan produk yang dicipta oleh Jeff Kelly yang berasal dari Selatan California apabila melipat sandal Sanuk. Hasilnya, ia kembali kepada bentuk asal tanpa kesan rekahan.

Sandal Sanuk secara keseluruhannya memiliki motif ceria dan berwarna-warni yang diilhamkan berdasarkan prinsip 'keselesaan dan kebebasan'.

Ia memberikan anda kebebasan untuk memperlihatkan ekspresi diri anda dengan selesa dan bergaya. Layari laman web Sanuk bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang produk ini.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, January 26, 2011

Pasar Tani Nelayan Kubang Rotan

(Post: Bahasa Melayu)
" Pasar tani nelayan yang dibuka di Kubang Rotan di sini berjaya menarik lebih 1,000 pengunjung biarpun hanya baru beroperasi sejak hujung tahun 2010. "

Timbalan Pengarah Pembangunan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kedah, Yazid Yusuf berkata, pasar tersebut mula dibuka secara rasmi pada 17 Disember tahun lalu dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

"Sebelum ini, di kawasan ini memang sudah ada pasar nelayan dan peniaga barangan lain seperti sayur-sayuran serta buah-buahan yang membuka gerai kecil di tepi jalan sahaja."

"Jadi untuk menjadikan kawasan ini lebih teratur, FAMA dan LKIM bersetuju untuk membuka sebuah pasar tani nelayan di kawasan ini," katanya.

Menurutnya, pasar tani nelayan itu dibuka setiap Jumaat dengan 33 peserta yang kebanyakannya adalah peniaga asal di kawasan pasar nelayan Kubang Rotan.

"Pasar tani nelayan ini adalah pasar tani ke-17 yang dibuka di negeri Kedah dan pihak kami merancang untuk membuka dua lagi pasar tani baru pada tahun ini."

"Di pasar ini, kita lebih tumpukan kepada penjualan barang-barang keperluan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan kerana ikan serta ayam sudah dijual di pasar nelayan yang terletak bersebelahan dengan pasar tani ini," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Penduduk Kampung Tandop, Kubang Rotan, Ismail Bahari berkata, pembukaan pasar tani nelayan itu menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan tersebut.

"Sebelum ini memang sudah ada pasar di sini, namun ia tidak teratur dan sukar untuk pengunjung membeli barangan keperluan di sini."

"Namun selepas ada pasar tani ini, semakin ramai pengunjung datang dan membuka peluang perniagaan kepada penduduk kampung di sini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap agar kawasan pasar tani nelayan itu diperbesarkan bagi membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada penduduk setempat.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, January 23, 2011

Gubahan Aksesori Rambut Wanita

(Post: Bahasa Melayu)
" Menerjah ke dunia elektronik dan alam maya seawal usia belasan tahun menjadikan anak kelahiran Kuala Lumpur ini sebati dengan bidang penulisan blog. "

Mempunyai kelulusan ijazah dalam bidang kewartawanan, Universiti Sains Malaysia (USM), blog menjadi medium untuk pemilik nama Azrin Suzieyatie Adrina Anuar mengasah bakat penulisan di samping menjana pendapatan pasif.

Ketaksubannya dalam alam blogging membuka peluang buat Azrin untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan menerusi perniagaan menerusi Internet.

Menyedari risiko untuk memperoleh pelanggan dalam masa singkat, pemilik blog SuzieyatieAdrina cekal mempromosi barangan hasil cetusan ideanya sendiri kepada taulan yang dikenalinya terlebih dahulu.

"Kini, perniagaan yang saya bangunkan berasaskan modal RM500 mendapat sambutan hangat apabila sering dibeli secara pukal terutamanya peminat dari Kuala Lumpur, Kedah dan Pulau Pinang yang gemarkan aksesori serta fesyen yang tampak urban dan funky," ujar cahaya mata kepada pelakon, Anuar Rahman itu.

Mendapat galakan daripada keluarga dan sahabat rapat, Azrin mula melebarkan sayap dalam alam perniagaan aksesori rambut wanita pada pertengahan tahun ini.

Selain itu, blog yang didaftarkan untuk tujuan mencatatkan isi hatinya dahulu turut digunakan sebagai medan jualan selendang untuk penggemar fesyen bertudung.

Tidak terhenti setakat itu, gadis yang bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang sarjana itu juga memasarkan tas tangan wanita yang sesuai digayakan oleh semua peringkat usia hasil daripada kreativiti dan imaginasinya sendiri.

"Ketika awal penulisan saya dalam dunia blog banyak memaparkan kisah hidup yang saya alami seharian. Kini lebih banyak masa diluangkan untuk mengemaskini produk jualan saya dalam ruang maya itu."

"Permintaan saban hari semakin meningkat seiring dengan pertambahan jumlah pelawat di blog saya dan tempahan juga kian bertambah," ujarnya yang turut dilanda kesibukan berkarier di Pulau Pinang.

Menyediakan kod setiap produk buatannya untuk memudahkan tempahan, gadis yang turut menjadikan laman facebook untuk menambah kenalan sosial meletakkan butiran asas di blog peribadinya itu untuk memudahkan pelanggan menghubunginya.

iPhone Mudahkan Akses

Sebagai salah seorang pengguna teknologi canggih iPhone 4G, corak komunikasi Azrin menjadi lebih praktikal dan cepat terutama untuk menulis blog.

"Saya tidak perlu bersusah-payah membuka laptop semata-mata untuk menulis blog saya kerana kemudahan yang disediakan oleh teknologi telefon pintar ini membolehkan saya mengemaskini data blog mahupun facebook dengan lebih cepat tak kira di mana saya berada," cerita gadis berusia 23 tahun itu.

Menyediakan lebih 500 rekaan hiasan kepala, pin tudung dan rantai kunci, Azrin juga memasarkan lebih 100 jenis selendang pelbagai corak dan tas tangan rekaan sendiri yang diolah daripada bahan mentah seperti felt yang dibelinya daripada blog di luar negara.

"Saya akan menambah stok produk saya dari semasa ke semasa dan berhasrat untuk menambah jenis barangan lain untuk dipasarkan melalui blog ini," tambah gadis ini yang menjadikan novel sebagai peneman di kala sunyi.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, January 20, 2011

Dakwah Pasangan Novelis

(Post: Bahasa Melayu)
" Setiap bait kata yang diluah dari bibir mungil wanita bertudung labuh itu cukup lancar dan teratur. Nadanya lembut dan bersahaja tetapi bagaikan ada aura yang mampu menawan sesiapa yang mendengarnya. "

Bicara yang disulami mutiara hikmah yang dipetik daripada al-Quran dan hadis Nabi Muhammad S.A.W. menyuntik cahaya keimanan bagi mereka yang berusaha untuk memahaminya.

Sambil melayan permata hati, Al-Haura' Maqsurah yang bermaksud bidadari yang terpelihara, wanita yang berwajah keibuan itu menjawab setiap persoalan yang dilontarkan dengan penuh santun.

Senyuman yang sentiasa terukir di bibir menambahkan lagi kemanisan novelis yang dilahirkan dengan nama Fatimah Syarha Mohd. Noordin itu.

Baru mencecah usia 26 tahun pada 17 Oktober lalu, anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu sudah pun menghasilkan tujuh karya istimewa yang mempunyai kelompok pembaca tersendiri terutama dalam kalangan remaja.

Berdakwah Melalui Novel

Berpegang teguh kepada kalimah Lailahaillallah Muhammadurrasulullah sebagai prinsip hidupnya, Fatimah mengakui dia amat menitikberatkan nilai-nilai keindahan agama dalam penulisannya.

Sebagai penulis, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mendidik masyarakat atau berdakwah melalui penghasilan penulisan yang berkualiti dan membina keperibadian muslim.

"Apatah lagi, saya memang sangat takut dengan hisab Allah pada setiap patah perkataan yang saya tulis. Jadi saya akan pastikan jika ingin mengupas sebarang isu, ilmu atau sebarang kefahaman, maka saya akan merujuk kepada sumber-sumber yang muktabar iaitu al-Quran, sunnah dan perbincangan ulama-ulama yang disegani seperti Sheikh Yusuf al-Qardawi, Abdul Karim Zaidan dan Dr. Wahbah Zuhaili."

"Saya tidak akan menulis mengikut logik saya sendiri kerana saya tahu kelemahan diri. Bahkan Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda: 'Sesiapa yang menetapkan satu ketetapan yang buruk dan ia diikuti, maka mereka akan berterusan mendapat saham dosa sehingga ke hari kiamat.' "

"Lantaran itulah, saya perlu berhati-hati dalam setiap penulisan agar tidak mendatangkan kesan buruk pada kemudian hari," tegas Fatimah yang pernah memenangi tempat ketiga dalam Sayembara Novel Remaja sempena Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2006 melalui novelnya yang bertajuk, Seindah Mawar Berduri.

Antara novelnya yang lain termasuklah Tautan Hati, Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul (antara novel terlaris), Syabab Musafir Kasih, Duhai Teman Sejatiku, Palestin Kami Datang dan terbaru Bebaskan.

Selain itu, karya pertama graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu bertajuk, Petua Membuat Orang Jatuh Cinta dihasilkan bersama pakar motivasi, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah dan Muhammad Zakaria.

Meskipun banyak memilih tema cinta dalam novel yang dihasilkan, namun Fatimah bijak mengadun kisah cinta yang ingin ditampilkan.

Tidak menulis kisah-kisah cinta stereotaip yang dipenuhi janji manis yang ditaburkan kekasih atau kecurangan seorang pasangan, sebaliknya dia mengajak pembaca untuk bercinta tetapi mengikut landasan syariat yang diberkati Allah.

"Saya percaya keharmonian dalam sesebuah rumah tangga dapat dicapai kesan daripada kita mencari Allah sebelum berkahwin lagi. Contohnya setiap pasangan mempersiapkan diri sebagai muslim sejati, menjaga syariat dan keberkatan untuk merasai satu nikmat kemanisan dalam alam rumah tangga," kata Fatimah berkongsi pengalaman.

Karya-Karya Ilmiah

Sebagai seorang ibu kepada seorang cahaya mata berusia setahun dan kini hamil anak kedua, tanggungjawab yang digalas semakin bertambah. Namun, ia bukan penghalang untuknya terus menitipkan karya-karya ilmiah untuk tatapan pembaca.

Apa yang penting baginya, jika seseorang itu sudah berminat kepada sesuatu sudah tentu dia akan ada masa untuk memenuhi minat tersebut.

Cuma, apa yang diperlukan adalah menyusun jadual dengan menjadikan solat lima waktu sehari semalam sebagai panduan dalam melaksanakan rutin hariannya.

"Apabila kita sudah susun jadual dan letak sasaran pada setiap yang dilakukan insya-Allah, Allah yang akan memberikan masa yang memang cukup untuk kita penuhi dengan pelbagai aktiviti dengan penuh tanggungjawab," ujarnya bersemangat.

Sementara itu, minat menulis yang sebati dalam jiwa Fatimah turut dikongsi bersama suami, Dr. Farhan Hadi Mohd. Taib, 26, yang popular dengan novel Islamik bertajuk: Denyut Kasih Medik terbitan Telaga Biru awal tahun ini.

Novel tersebut memaparkan kisah seorang doktor muda yang berjuang dalam mengaplikasikan syariat di hospital sewaktu bergelar doktor pelatih (houseman).

Ketabahannya mampu meruntun jiwa pembaca di samping mendidik mereka agar menghargai pengorbanan seorang doktor serta kakitangan kesihatan.

Menurut Farhan, penghasilan novel tersebut lahir daripada sokongan isterinya yang tidak putus-putus memberi semangat dan sentiasa berada di sisi pada waktu susah dan senang.

"Fatimah yang memberi idea untuk saya menulis sebuah novel berkaitan kehidupan seorang doktor yang sentiasa berpegang pada syariat Islam bagi menunjukkan keindahan hidup beragama."

"Pada mulanya sukar untuk saya menyiapkan karya sulung tersebut dek kesibukan kerja yang menuntut satu pengorbanan tinggi. Pernah satu ketika, saya rasa berputus asa dan langsung tidak menyentuh komputer riba hingga sebulan."

"Tetapi Fatimah terus memujuk untuk saya istiqamah dalam menghasilkan novel tersebut. "

"Alhamdulillah, dalam tempoh enam bulan kemudian saya berjaya menamatkannya. Apabila mula dipasarkan pada Februari lalu saya tidak sangka ia akan menerima sambutan yang sangat memberangsangkan," beritahu graduan perubatan dari Universiti Malaysia Sarawak (UMS) itu.

Melihat kepada sinar kebahagiaan yang terpancar pada wajah masing-masing, tidak keterlaluan jika dikatakan pasti ramai yang mahu mencontohi pasangan itu.

Apa pun, Fatimah dan Farhan sepakat menjadikan dunia penulisan sebagai salah satu usaha dakwah dan tanggungjawab mendidik masyarakat mendekatkan diri dengan Allah, menjadikan Rasulullah sebagai idola untuk diikuti seterusnya mengamalkan kehidupan beragama yang mendamaikan.

Untuk mengetahui karya-karya Fatimah dan Farhan dengan lebih lanjut, layari laman web Telaga Biru atau hubungi Telaga Biru di talian 03-62768057.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, January 19, 2011

Kafe Six Point River Side

(Post: Bahasa Melayu)
" Sentuhan unik persis taman rimba belantara sejati adalah elemen dekorasi menawan cukup kreatif. "

Pelataran suasana ruang berkonsep Nusantara menggambarkan Kafe Six Point River Side di Kampung Koskan, Jalan Sungai Buaya di Rawang destinasi menjamu selera yang mampu membangkitkan aura keaslian semula jadi.

Justeru, sebaik melangkah kaki ke sini, pasti raut wajah pengunjung disapa damai bayu segar dari anak sungai di sebelah kafe yang mempunyai keluasan setengah hektar.

Pengarah Urusannya, Roslan Abu, berkata sesuai dengan nama premis menjamu selera yang digubah itu, beliau menterjemahkan minat dalam seni hiasan dalaman pada setiap ruang di sini.

Beliau berkata, pengunjung akan sentiasa 'dibuai' keasyikan selesa menjamu mata dengan dekorasi indah nan menawan.

"Penggunaan bahan terbuang dan terpakai seperti tempayan, pasu, botol kaca dan kayu hanyut mampu menyerlah seri segenap ruang seperti bahagian dapur, meja pramusaji, kaunter bayaran dan sudut barbeku dan kaunter ikan bakar."

"Pengalaman 14 tahun bekerja sebagai tukang masak di beberapa hotel terkemuka di ibu negara banyak memberi idea mencipta seni gubahan di kafe yang beroperasi sejak empat tahun lalu."

"Ketika menjenguk ke sini, pengunjung pasti gembira melihat susunan kerusi dan meja yang bersulamkan pelbagai komponen hiasan dalaman seperti tempayan, alat muzik tradisional di dinding dan ukiran gantung menawan," katanya.

Menurutnya, mengimbau zaman retro lalu, beliau mempamerkan sebuah basikal tua klasik dan motosikal era 1970-an yang tampak masih segar dan mempesonakan.

Katanya, konsep Nusantara yang diketengahkan ini turut memuatkan sentuhan lain seperti mini wakaf kayu berbidai kain halus sekelilingnya.

"Menggunakan kayu terpakai, saya turut membina medan tinjau bersebelahan anak sungai bagi pengunjung bersantai memerhati keindahan alam semula jadi di kawasan ini."

"Kolam ikan hiasan turut dibina sekeliling wakaf kayu bagi menempatkan aneka ikan hiasan yang bermain riang 'menghiburkan' tetamu," katanya.

Menyentuh penggunaan tumbuhan hijau, katanya, pokok keladi, serai wangi, puding dan balung ayam turut ditanam dalam pasu menyentuh kolam hiasan berdekatan wakaf berkenaan.

Katanya, beberapa pokok sakat sarang burung dan paku pakis langsuyar digantung bebas di tiang wakaf dan anjung tinjau.

Beliau membelanjakan kira-kira RM40,000 mengubah suai taman dalam kafe itu agar kelihatan indah dan kemas.

Katanya, bagi menimbulkan 'mood' keselesaan dan romantik, beliau menggunakan lampu hiasan bahagian syiling terbuka dan tiang seri turut digunakan.

Penggunaan atap nipah dan rumbia dalam keseluruhan struktur kafe berkenaan mampu memberikan teduhan selesa.

Selain itu, sebatang pokok kelapa pandan ditanam segar dalam pekarangan anjung selera agar memberikan signifikan tersendiri kepada peminat alam semula jadi.

Berdekatan bahagian dapur, beliau turut menggantung sebuah bubu ikan terpakai.

Katanya, kafe itu sentiasa menjadi tarikan ramai pengunjung terutama peminat hiasan dalaman.

"Ramai pelanggan dari luar seperti Damansara, Selayang, Sungai Buloh, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur berkunjung setiap minggu."

"Selain penataan ruang kemas, saya sentiasa memastikan pelbagai juadah hidangan lazat, enak dan menyegarkan disajikan kepada pengunjung," katanya.

Sumber: myMetro
Foto: Eats.my

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, January 18, 2011

Virtual Mall Digital Mall

(Post: Bahasa Melayu)
" Perkhidmatan e-dagang yang semakin membangun memudahkan pengguna mendapatkan produk mereka secara talian dengan lebih mudah dan pantas. "

Sejajar dengan perkembangan e-dagang, Digital Mall yang merupakan milik SM Digital Mall Sdn. Bhd. telah memperkenalkan pusat beli-belah maya yang dikenali sebagai Virtual Mall.

Terletak di Petaling Jaya, Selangor, pelancaran Virtual Mall baru-baru ini diadakan bersempena ulang tahun keempat Digital Mall yang menjadi syurga digital bagi segala produk teknologi maklumat (IT), elektronik dan elektrik di Lembah Klang.

Pengarah Eksekutif SM Digital Mall Sdn. Bhd., Eric Seow berkata, semakin ramai pengguna di Malaysia gemar melakukan urus niaga dan pembelian dari rumah terutama yang melibatkan barangan menawarkan khidmat penghantaran disebabkan gaya hidup yang semakin sibuk.

"Mereka akan mencari jenama dan peruncit yang dipercayai seperti Digital Mall tetapi pada masa sama mereka tidak mahu keluar dari rumah atau pejabat dalam usaha mendapatkan perisian, perkakasan, aksesori atau peranti terkini."

"Dengan adanya Virtual Mall, kami ingin membawa pengalaman membeli-belah di Digital Mall kepada mereka yang tinggal di luar Lembah Klang," katanya.

Virtual Mall dilancarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim dan Eric Seow di Digital Mall, Petaling Jaya baru-baru ini.

Eric menambah, penyewa Digital Mall akan menyenaraikan produk jualan mereka dalam Virtual Mall itu sekali gus dapat mengembangkan jualan dan peluang perniagaan masing-masing.

"Penyewa akan mendapat manfaat kerana menyertai peruncitan maya di bawah satu bumbung bersama peruncit IT terkemuka dan langkah ini pasti memberi faedah kepada mereka kerana dapat memperluaskan serta meningkatkan lagi jumlah pelanggan mereka," ujarnya.

Pengguna yang ingin menggunakan Virtual Mall boleh membuat bayaran menerusi kad kredit Mastercard dan Visa yang dikeluarkan oleh bank-bank tempatan atau antarabangsa.

Mereka juga boleh membuat bayaran menerusi debit akaun simpanan dan akaun semasa di bank-bank terpilih.

Barangan yang dibeli akan dihantar dalam masa satu hari bekerja untuk di kawasan-kawasan bandar dan bandar utama di Semenanjung Malaysia dan dua hari bekerja untuk Malaysia Timur.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, January 17, 2011

Khasiat Urutan Tanduk Seladang

(Post: Bahasa Melayu)
" Rawatan urut tradisional merupakan amalan turun-temurun di kebanyakan negara di Asia malah kemampuan teknik itu kini mulai diterima di negara Barat berikutan keberkesanannya yang diiktiraf sains perubatan moden. "

Urutan juga merupakan satu daripada cabang perubatan cara Islam manakala segelintir masyarakat menganggapnya sebagai perubatan alternatif.

Secara amnya, ia sesuai bagi merawat apa juga penyakit, sama ada penyakit baru atau sudah lama dihidapi, yang ringan mahupun yang kronik.

Selain mengatasi masalah terseliuh, kebas atau membetulkan perjalanan darah, teknik urut turut dikaitkan dengan rawatan mengembalikan kesihatan dan tenaga seksual lelaki terutama bagi wanita selepas bersalin.

Bagaimanapun, urutan yang menggunakan tangan sepatutnya dilakukan oleh mereka yang mahir dan profesional kerana jika tidak mengikut prosedur, urutan boleh memudaratkan.

Namun, urutan menggunakan tangan sahaja tidak mencukupi kerana sentuhan itu kemungkinan kurang berkesan serta pesakit tidak merasa puas walaupun teknik yang digunakan betul.

Justeru, bagi seorang pengamal urutan tradisional dari utara tanah air, Baharom Yunus, berjaya mengenal pasti kaedah lebih berkesan bagi tujuan mengurut.

Yunus yang mesra dikenali sebagai Pak Jang menjelaskan, penggunaan tanduk seladang betina serta beberapa peralatan lain.

Khasiat Tanduk Seladang

Pak Jang menambah, urutan menggunakan jari-jemari sahaja kurang praktikal berbanding penggunaan peralatan khas yang dibuat sendiri atau dibeli.

Katanya tanduk seladang betina yang diperoleh dari Indonesia digunakan dalam teknik urutannya yang dikajinya sejak 20 tahun lalu.

"Sebelum mengurut saya akan menggunakan jari-jemari yang bertindak seperti alat 'pengimbas' untuk mengenalpasti anggota badan yang mengalami masalah urat."

Selalunya bahagian yang mempunyai banyak benjolan merupakan kawasan yang perlu diberi perhatian.

"Peralatan seperti tanduk seladang betina yang dibentuk seperti sudu digunakan bagi memecahkan bahagian saluran tersumbat yang berpunca daripada darah beku, lemak dan angin dengan bantuan minyak khas."

"Selagi terdapat permukaan tidak rata maka selagi itulah urutan dibuat. Apabila saluran bermasalah dirungkai dengan betul, aliran darah akan mengalir secara normal kembali," katanya sambil mengurut seorang pelanggan menggunakan teknik tanduk seladang betina di Pondok Rawatan Nusantara (PRN) di Sungai Petani, Kedah.

Namun, bagi mereka yang tidak mahir dengan teknik berkenaan, dia menyarankan agar tidak sesekali mencubanya kerana khuatir boleh memudaratkan pesakit.

Paling penting katanya, urutan mesti sesuai dengan kaedah, tempat, kemampuan serta sensitif pada bahagian yang tidak boleh diurut.

Jelas lelaki yang kini menjangkau usia 63 tahun itu, teknik urutan yang diamalkannya seakan-akan terapi guasa dari China tetapi ia tidak terlalu ekstrem sehingga boleh meninggalkan garisan merah pada tubuh pesakit.

"Bagaimanapun, bahagian paling sakit dalam teknik ini apabila saluran darah tersumbat ditekan, tetapi kesannya selepas itu memang tidak sakit malah ada pesakit yang dipimpin sebelum rawatan mampu berjalan sendiri selepas diurut," katanya.

Akuinya, setakat hari ini teknik berkenaan hanya boleh didapati di PRN sahaja malah dia menggunakan kira-kira 15 peralatan mengurut lain mengikut kesesuaian pesakit.

Antaranya, batu marmar yang dicanai khas, tanduk kerbau, tanduk seladang jantan, rotan, batu sungai dan tumbang kambing.

"Urut sepatutnya dilihat sebagai satu perubatan pencegahan dan sepatutnya dilakukan secara kerap. Ia sangat baik mencegah penyakit daripada menjadi lebih teruk seperti migrain, strok, lemah jantung, kebas, sengal-sengal selain bertujuan penjagaan kesihatan," katanya.

Urut Auta

Tegas Pak Jang, urutan yang dipraktik sejak sekian lama bukannya 'auta' kerana ia betul-betul teknik mengurut dan sentuhannya memang sampai ke urat malah mendapat pujian daripada pelanggan kerana teknik yang sememangnya berbeza dengan urutan dengan hanya menggunakan tangan.

Lebih menarik, Pak Jang yang sebelum ini pernah menderita penyakit jantung kronik mampu berulang-alik dari kediamannya di Permatang Pauh, Pulau Pinang ke PRN, Sungai Petani setiap hari kecuali Jumaat.

Sementara itu, bagi pengasas PRN, Roslan Mat Isa, 41, memberitahu, penggunaan kira-kira 15 peralatan mengurut itu lebih berkesan dan mampu menyembuh bahagian bermasalah secara terperinci.

"Kalau menggunakan tangan semata-mata, keupayaan mengurut adalah terbatas kerana kekuatan manusia ini bukanlah kuat sangat. Kalau nak tekan dengan jari sahaja memang tidak terasa dan jika terasa sekalipun mungkin sekejap sahaja lepas itu kembali tidak selesa," ujarnya.

Bukan itu sahaja, di PRN mereka menggunakan pelbagai minyak bagi tujuan urutan. Antaranya, minyak kelapa dara, minyak bijan, minyak matahari, minyak zaitun dan minyak yang dimasak dengan ramuan sendiri.

Jelasnya, dengan bantuan Pak Jang serta tujuh orang tukang urut secara sambilan konsep urutan yang diperkenalkan PRN kini semakin berkembang dan diterima orang ramai kerana ia memberikan kepuasan maksimum.

Selain pendedahan ilmu urutan daripada Pak Jang, Roslan terlebih dahulu mengikuti kursus pelbagai jenis rawatan di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), pusat perubatan swasta serta beberapa tempat lagi.

"Sebelum khidmat Pak Jang di pondok rawatan ini, saya juga mempunyai alat mengurut sendiri. Bagaimanapun, dengan kemasukan Pak Jang ke sini menjadikan rawatan lebih kemas," katanya yakin.

Seorang pelanggan, Harun Hussain memberitahu, walaupun pertama kali dirinya membuat rawatan urut di PRN, tubuhnya begitu segar malah masalah di bahagian bawah lututnya semakin pulih setelah diurut menggunakan tanduk seladang betina.

"Memang apabila urat ditekan pada ketika itu terasa sedikit sakit, tetapi dalam tempoh beberapa minit kesakitan itu beransur hilang," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, January 16, 2011

Fond U Chocolate

(Post: Bahasa Melayu)
" Berkat keazaman yang tinggi dan tidak mudah putus asa, gadis jelita yang pernah gagal dalam perniagaan coklat fountain (pancuran coklat) yang diusahakan, kini kembali mengorak langkah memulakan kembali perniagaan tersebut secara online. "

Dari mata turun ke hati, cukup kena untuk menggambarkan bagaimana perasaan penggemar coklat tatkala melihat pancuran coklat beserta aroma yang sedap diiringi dengan pelbagai jenis dip iaitu pelbagai jenis buah-buahan dan manis dicucuk pada lidi dan dicelup pada coklat fountain.

Menurut Syafairuz Bibi Shah Gzali Khan, 24, idea untuk mengusahakan perniagaan coklat fountain secara online ini terbit daripada perasaan terujanya terhadap kaedah penyediaan coklat tersebut.

Pada masa sama dia juga penggemar tegar coklat celup (dip) khususnya strawberi dan marshmello (gula-gula lembut).

"Saya melihat perniagaan coklat fountain masih belum begitu meluas walaupun penggemarnya semakin ramai. Jadi saya mengambil peluang tersebut untuk memperkenalkan produk ini kepada penggemar-penggemar coklat di Malaysia," katanya.

Coklat fountain merupakan teknik baru untuk menikmati pelbagai perisa coklat kegemaran melalui curahan coklat yang disediakan bersama pelbagai jenis dip daripada buah-buahan dan juga manisan yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Syafairuz berkata, penggemar coklat hanya perlu menunggu 30 minit sahaja sementara coklat yang dimasukkan ke dalam fountain menjadi cair dan sedia untuk disalut bersama dip yang segar dan enak.

Malah katanya, mereka menyukai dip mashmellow yang disaluti coklat , tidak perlu berasa was-was untuk menjamahnya kerana mashmellow tersebut diimport khas dari Pakistan dan telah dijamin halal.

Menariknya, coklat fountain ini bukan sahaja boleh dinikmati dalam keadaan santai, bahkan pelanggan boleh menempahnya untuk majlis-majlis tertentu seperti sambutan hari lahir, majlis ulang tahun, perkahwinan dan sebagainya.

"Semua ini boleh ditempah secara online melalui empat pakej yang ditawarkan iaitu pakej A untuk (30-50 orang) berharga RM200, pakej B (50-100 orang) RM300, pakej C (120-150 orang) RM425, dan pakej C (200-250 orang) berharga RM900," katanya.

Syafairuz menambah, pelanggan juga mempunyai pilihan untuk memilih pakej berserta dip yang disediakan.

Strawberi, marshmello, pisang, anggur dan kiwi adalah antara dip yang disediakan kepada pelanggan untuk dinikmati bersama-sama coklat fountain.

Coklat ini juga disediakan dalam pelbagai perisa seperti cappucino, strawberi, vanila dan coklat putih.

Kepada penggemar coklat fountain boleh menikmati kesegaran dip yang disalut dengan curahan coklat pelbagai rasa melalui tempahan di web Fond-U-Chocolate.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Makan Kitchen Hotel Doubletree

(Post: Bahasa Melayu)
" Apabila bercakap soal makanan, keenakan rasa, kepelbagaian menu, kualiti perkhidmatan dan pilihan lokasi yang sihat adalah sesuatu yang pastinya tidak boleh dikompromi. "

Sebagai sebuah negara yang bukan sahaja kaya dengan kepelbagaian budaya dan adat resam, masyarakat Malaysia juga dilimpahi dengan gastronomi yang penuh dengan pilihan.

Keunikan itu membolehkan rakyat negara ini merasai kulinari orang Melayu, pribumi Sabah dan Sarawak, sajian masyarakat Cina, India, Nyonya dan Kristang (peranakan Portugis Melaka).

Namun, jika diperhatikan bukan mudah untuk anda menikmati sajian itu pada satu masa dan lokasi yang sama.

Anda mungkin boleh menemui menu Melayu, Cina dan India di satu-satu tempat, namun, pasti tidak di bawah satu premis dengan masakan Nyonya atau pribumi Sabah dan Sarawak.

Malah, adalah sesuatu yang bukan mudah untuk anda menemui sebuah restoran yang bukan sahaja menyatukan kulinari pelbagai kaum, bahkan melengkapkan atmosfera 1Malaysia dengan dekorasi indah.

Namun, itulah keistimewaan dan keunikan yang ada pada Hotel Doubletree yang terletak di jantung Kuala Lumpur apabila menyatukan Malaysia di bawah satu dapur.

"Saya bukan sahaja dapat merasai kepelbagaian rasa makanan India dan Cina yang biasa saya makan tetapi pilihan makanan Melayu, Kristang dan Nyonya. Menariknya kerana saya dapat mencuba semua makanan hanya dalam satu masa," kata K. Kannathas, 34, seorang jurutera.

Walaupun baru kali pertama menjejakkan kaki ke Makan Kitchen di Hotel Doubletree, Kannathas percaya dengan tawaran yang pelbagai itu dia akan terus menjadi pelanggan setia Makan Kitchen.

Sajian Malaysia

"Makan Kitchen didatangkan dengan konsep untuk membawa semua makanan Malaysia di bawah satu bumbung."

"Untuk itu Hotel Doubletree bukan sahaja menyediakan ruang makan yang selesa malah pelanggan boleh melihat secara langsung chef-chef kami beraksi di kesemua tiga dapur utama kami."

"Ia seperti satu ruang, tiga dapur, enam kuisin, 32 chef dan pembantu dapur dengan 350 tempat duduk khas untuk pelanggan Doubletree," demikian penerangan yang disampaikan Pengurus Komunikasi dan Pemasaran, Hotel Doubletree, Cindy Wong.

Jelas Cindy lagi, konsep itu sememangnya sudah berada dalam perancangan sekian lama, namun, pihak pengurusannya di Singapura tidak dapat mencari ruang besar selain menunggu negara yang paling kaya dengan kepelbagaian makanan.

"Kebetulan pembukaan Doubletree di Malaysia yang kaya dengan makanan dari pelbagai bangsa, Malaysia dilihat sebagai lokasi paling ideal dengan konsep itu," katanya.

Makanan di restoran Makan Kitchen dimasak secara spontan seperti gaya gerai atau hawker. Dapur Peranakan Cina di sebelah kanan pintu masuk Makan Kitchen ditransformasi dengan rekaan konsep oriental.

Baik daripada rekaan dalaman, cara hidangan, cara masakan, peralatan masak mahupun aturan tempat duduk, tidak ubah dengan esen Cina Peranakan.

Dapur yang diketuai Chef Kua Beng Hooi dari Pulau Mutiara itu bertanggungjawab ke atas pilihan signatur dapur tersebut antaranya itik panggang dan dim sum yang distim segar.

Bagi dapur Melayu yang berlokasi selepas ruang resepsi Makan Kitchen di pintu masuk, ia dihiasi dengan konsep kampung yang menawarkan masakan popular Melayu, pencuci mulut dan manisan.

Diketuai Chef Ahmad Nurul Azri Abdul Manak dari Selangor, dapur Melayu menawarkan kepakaran makanan dari pelbagai negeri di Malaysia seperti sup pindang daging, ayam masak kicap berkentang, gulai udang, ketam goreng berlada dan banyak lagi.

Chef Ahmad Nurul dikatakan bukan sahaja berkemahiran dalam pelbagai masakan, malah beliau juga menyimpan pelbagai menu rahsia dari warisan orang lama yang menjadi antara tarikan di dapur Melayu.

Bagi dapur India, ia menawarkan makanan kaya dengan rempah daripada utara dan selatan India.

Antara sajian yang boleh dicuba termasuklah tandori ayam, tikka ikan, roti nan, kofta daging dan sebagainya yang disediakan di bawah pengawasan Chef Prem Kumar Jeyaraman dari Ipoh.

Tidak ketinggalan di sini juga pelanggan boleh menikmati makanan-makanan unik dan sukar diperoleh iaitu masakan Iban serta Kristang.

Antara sajian masyarakat Iban termasuklah ayam perap yang dimasak menggunakan buluh dan masakan popular Kristang iaitu kari ayam devil.

"Selain tawaran makanan yang mencapai kira-kira 200 hidangan bagi kedua-dua makan tengah hari dan malam, Doubletree juga menyediakan ruang makan persendirian dan separa persendirian kepada kumpulan kecil yang menempah awal."

Walaupun hanya mahu menghidangkan makanan Malaysia kepada para tetamunya, Cindy tidak menolak permintaan pelanggan antarabangsa yang memilih untuk menikmati makanan Barat.

"Kami ada menyediakan menu makanan antarabangsa tetapi ia hanya melalui tempahan sahaja dan tidak dihidangkan di Makan Kitchen. Ini bagi mengekalkan konsep Makan Kitchen selaku dapur Malaysia,: jelas beliau lagi.

Dekorasi Ruang Makan Bertema

Selain daripada enam gaya masakan pelbagai kaum di Malaysia, bertandang tamu di Makan Kitchen membolehkan anda mendekati atmosfera luar biasa apabila terdapat empat ruang makan yang dibina mengikut tema dekorasi Melayu, Cina, India dan Iban.

Malah, bersebelahan dengan dapur India yang berlokasi di bahagian paling belakang Dapur Melayu Makan Kitchen, Doubletree menyediakan tempat duduk bersila ala rumah panjang di Sarawak bagi menambahkan atmosfera 1Malaysia.

Jaminan yang diberikan oleh Cindy dari Doubletree kepada pelanggan Makan Kitchen adalah walaupun pelanggan memilih untuk datang pada waktu makan tengah hari mahupun malam, Makan Kitchen komited untuk menghidangkan makanan signatur mereka dari semua tiga dapur.

Pelanggan hanya dikenakan bayaran pada RM59 bagi dewasa untuk makan tengah hari dan RM79 dewasa bagi makan malam. Kanak-kanak di bawah 12 tahun pula dikenakan separuh daripada harga orang dewasa.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Saturday, January 15, 2011

Pulangan Tinggi Perladangan Stevia

(Post: Bahasa Melayu)
" Ancaman diabetes dan angka penghidapnya yang semakin meningkat di negara ini membuatkan usaha mencari pemanis alternatif turut diperhebat. "

Pengambilan pemanis alternatif dilihat sebagai satu cara menggantikan gula sekali gus membantu mengawal jumlah pengambilan manisan dalam makanan dan jumlah pesakit diabetes di negara ini.

Menurut statistik Kajian Kesihatan dan Mobiditi Kebangsaan dianggarkan kira-kira 3.4 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes pada 2010.

Stevia, tanaman sub-tropikal yang berasal dari Amerika Selatan ialah antara pemanis alternatif terkini yang ditemui.

Stevia memberi kesan tidak penting terhadap glukosa dalam darah dan oleh itu digunakan sebagai pemanis dalam diet untuk mengawal karbohidrat.

Ia dijadikan pengganti pemanis dalam pembuatan makanan dan penggunaannya, dan semakin diiktiraf badan-badan antarabangsa.

Penggunaannya di Malaysia juga semakin meluas apatah lagi di kemuncak kenaikan harga gula di pasaran dunia baru-baru ini.

Sebuah syarikat pengeluar, CT Lang Sdn. Bhd., yang mengeluarkan dua produk minuman berteraskan kesihatan, kini menggunakan stevia sebagai pengganti gula dalam produk mereka.

Pengurusnya, Abdullah Mohamad berkata, stevia berpotensi besar sebagai tanaman industri baru kerana proses penanamannya yang tidak rumit dan mampu mengeluarkan hasil selepas tiga bulan penanaman.

"Stevia boleh menjadi pengganti gula memandangkan kerajaan semakin giat menggalakkan rakyat untuk mengurangkan pengambilan gula dalam makanan dengan melupuskan subsidi terhadap komoditi itu baru-baru ini," katanya.

Menurut beliau, Jepun menggunakan stevia sebanyak 50 hingga 60 peratus dalam jumlah pemanis di negara itu dan ia digunakan dalam kebanyakan produk makanannya.

Abdullah berkata, ekstraknya adalah 300 hingga 400 kali ganda lebih manis daripada ekstrak yang diambil daripada tebu.

Abdullah berkata, Malaysia yang mengimport sepenuhnya gula perang dari India, perlu memikirkan cara untuk mengurangkan pembelian gula dari luar dan sebaliknya cuba membangunkan industri stevia tempatan.

Katanya, dengan menggunakan kaedah tersebut, ia bukan sahaja mengurangkan pergantungan sumber gula dari luar, bahkan membantu pekebun kecil dan memberi sumber ekonomi baru untuk mereka.

Dalam hal ini, syarikatnya telah pun mula bertemu dengan wakil-wakil rakyat dalam menggalakkan pekebun kecil menanam stevia dalam skala yang kecil.

"Wakil rakyat boleh membantu dari segi memberi bantuan baja dan biji benih dan hasil daripada tanaman itu boleh dijual kepada syarikat, yang memerlukan ekstrak stevia untuk mengeluarkan produk kami," katanya.

Beliau berkata, setakat ini petani di Bagan Serai, Perak dan Silam, Sabah bersetuju dengan idea ini dan dijangka memulakan penanaman dalam masa terdekat.

Penanaman pokok stevia ini dimulakan dengan mematangkan biji benih selama sebulan.

Selepas itu, ia akan mengambil masa tiga bulan sebelum ekstrak dari daunnya diambil untuk diproses menjadi pemanis.

Abdullah berkata, proses penanaman yang tidak rumit, kos yang agak rendah dan pusingan hasil yang memberangsangkan menjamin potensi stevia bukan sahaja di dalam negara malah untuk dieksport ke luar negara.

Dengan memperkenal modul tanaman secara kecil-kecilan kepada pekebun kecil, ini bukan sahaja membantu pekebun malah mewujudkan satu rangkaian komersial penanaman stevia.

Untuk permulaan, dijangka sebanyak RM40,000 diperlukan bagi penanaman stevia di kawasan seluas 0.4 hingga 0.8 hektar, kata Abdullah.

Dengan adanya stevia, rakyat Malaysia mempunyai alternatif selain gula terutama penggunaannya yang menjangkau nilai RM5 billion setiap tahun.

Abdullah berkata, pandangan skeptikal rakyat Malaysia mengenai stevia merupakan penyebab mengapa ramai yang tidak tahu mengenai potensi dan kebaikan tanaman itu.

"Bagaimanapun, dengan usaha kecil syarikat ini diharap lebih banyak pemahaman mengenai potensi tanaman ini dapat diterap sekali gus menjadikannya satu daripada pemacu ekonomi kepada sektor pertanian negara," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia Online
Foto: blog Stevia-Gec

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, January 14, 2011

Keazaman Pengedar Produk Hiraq

(Post: Bahasa Melayu)
" Cita-cita untuk menjadi seorang ahli perniagaan berjaya tidak pernah padam daripada minda Siti Anisah Mohd. Anuar, 39. Dia pernah menjalankan perniagaan dengan menjual beberapa produk makanan tambahan, tetapi hatinya tidak pernah puas. "

Sehinggalah, beliau diperkenalkan dengan produk jenama Hiraq oleh seorang rakan yang turut menjalankan peniagaan menjual produk itu. Bermula dengan niat membantu, akhirnya dia juga terjun dalam perniagaan sama.

Siti Anisa memberitahu, dia sudah mencuba beberapa produk lain tetapi perniagaannya tidak berjalan lancar. Namun, selepas menjual produk Hiraq sejak Mei 2008, dia berasa yakin dengan jenama itu justeru perniagaan dijalankan dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya.

"Selepas terbabit dengan produk ini, saya menyedari tanggungjawab saya kepada orang Islam yang selama ini mengagungkan jenama luar yang tidak diketahui sumbernya. Tetapi, jenama Hiraq adalah 100 peratus menggunakan tenaga kerja orang Islam," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Siti Anisa, selepas tiga tahun, berkat kesungguhannya memperkenalkan jenama itu ke seluruh negara dan negara-negara jiran, dia berjaya menjadi pembekal jenama Hiraq utama di Ipoh, Perak. Kejayaan itu turut dikongsi oleh suami dan anak-anaknya.

"Berkat perniagaan ini, saya dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi keluarga. Saya juga dapat menghantar dua orang anak saya, Siti Nurizzati, 15 dan Siti Maisarah, 13, menyambung pelajaran dalam bidang tahfiz di Mesir," katanya.

Membantu Isteri

Sementara itu, tulang belakang Siti Anisa iaitu suaminya, Mohd. Rizal Ahmad, 39, turut tertarik dengan perniagaan makanan tambahan bercirikan sunah.

Dia yang pada mulanya hanya membantu, kini menjalankan perniagaan itu bersama isteri secara serius.

"Saya bermula dengan perniagaan dobi. Alhamdulillah, rezeki daripada perniagaan itu turut dapat membantu membekalkan sebahagian modal memulakan perniagaan dan membuka kedai Hiraq yang bertempat di Green Town Mall, Ipoh."

"Kini, pembabitan saya dalam perniagaan ini adalah sebahagian jihad saya untuk mengembangkan perniagaan bercirikan Islam. Saya berharap dapat mengubah pemikiran umat Islam yang selama ini bergantung kepada produk makanan yang dihasilkan oleh orang Barat tanpa dipastikan sumbernya," kata Mohd. Rizal.

Katanya lagi, dia juga tertarik dengan jenama Hiraq kerana ia merupakan air tangan orang Islam sepenuhnya. Justeru, sebelum membekalkan produk berkenaan kepada ejen-ejennya, Mohd. Rizal dan Siti Anisa akan menyelidik latar belakang mereka terlebih dahulu.

"Selain itu, kami juga mempunyai hala tuju yang jauh dalam perniagaan ini. Insyaallah, kami mahu membuka sebuah sekolah tahfiz dan mahu anak-anak kami menjadi sebahagian daripada perancangan ini selepas mereka tamat belajar di Mesir kelak," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Hiraq Marketing & Trading (M) Sdn. Bhd., Raja Mazian Raja Mohamed berkata, beliau mengagumi kesungguhan Mohd. Rizal dan Siti Anisa yang bersungguh-sungguh dan mengeluarkan modal sendiri untuk mempromosikan produk tersebut di Perak.

"Perniagaan yang dijalankan dengan usaha yang ikhlas dan mempunyai niat yang baik akan dipermudahkan Allah. Selain itu, mereka juga mempunyai personaliti Islamik yang sejati, faham mengenai jihad perniagaan ini dan dapat menyampaikannya dengan baik kepada ejen-ejen mereka," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, January 13, 2011

Anyaman dan Ukiran Kraftangan Sarawak

(Post: Bahasa Melayu)
" Kraftangan Sarawak yang dahulunya hasil seni yang dibuat pada masa lapang, kini berubah situasi apabila pembuatannya dilakukan secara serius dan keunikannya mendapat perhatian hingga ke luar negara. "

Bantuan daripada Kraftangan Malaysia dari segi prasarana, peralatan dan kelengkapan bengkel, bimbingan teknikal, rekaan baru dan promosi domestik juga banyak membantu pengusaha kraftangan dalam usaha mengekalkan warisan dan mengembangkan kraf tangan Sarawak ke pasaran yang lebih luas.

Perjalanan penulis ke negeri Sarawak, menemui pengalaman yang ternyata memberi persepsi baru terhadap kraftangan di negeri itu yang dilihat sememangnya unik dan mempunyai potensi besar di pasaran.

Ada antara hasil kraftangan Sarawak dari kalangan 30 etnik kaum itu membawa penghayatan yang baru dan segar untuk menarik minat pengumpul hasil kraftangan.

Seorang pengusaha anyaman pandan, Missiah Dan, 53, membuktikan kerja tangannya mampu menembusi pasaran Qatar, di Timur Tengah.

Ketika ditemui di kampungnya dekat Kampung Rangawan, Sadong Jaya, Samarahan, beliau baru sahaja menyiapkan alas meja untuk pelanggan dari negara itu.

"Saya siapkan alas meja ini sejak tiga bulan yang lepas, dan ia akan dihantar terus ke Qatar melalui pos," katanya.

Usaha Missiah mendapat bantuan prasarana, bimbingan teknikal, rekaan baru serta promosi domestik daripada Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak.

Selain alas meja itu, beliau juga menyiapkan 12 keping alas pinggan dan alas meja bersaiz sederhana untuk pelanggan yang sama.

Menurut Missiah, menembusi pasaran luar adalah bonus dan bukti produk warisan negara menarik dan berkualiti.

"Setakat ini, urusan promosi produk yang dibantu pihak Kraftangan Malaysia menerima banyak tempahan dari organisasi dan juga persatuan," katanya.

Anyaman Pandan

Missiah berkata, para pekerjanya diambil dari empat buah kampung di bawah program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang membantu membuat anyaman pandan.

"Setakat ini ada enam pekerja tetap di bengkel, tetapi kalau nak diikutkan, ada kira-kira 30 orang yang membantu membuat anyaman di rumah sendiri di bawah program SDSI daerah."

"Dalam masa satu bulan, kami boleh siapkan sehingga 200 unit beg duit, dan juga kira-kira lima anyaman keping yang memerlukan kira-kira 20 kilogram daun pandan," katanya.

Setakat ini mereka mengeluarkan lebih 10 jenis produk termasuk kusyen, beg bimbit, tikar hamparan, alas pinggan dan meja.

Beliau turut mengakui bidang tersebut memerlukan semangat yang lebih daripada bakat.

"Perkara ini penting, terutama dalam memilih pekerja bengkel," katanya.

Usahawan itu menambah, terdapat beberapa proses yang perlu dilalui sebelum proses anyaman yang sebenar bermula.

"Mula-mula, daun pandan yang hendak digunakan harus dipilih daripada yang berusia setahun lebih. Duri-duri akan dibuang bagi mendapatkan saiz yang dikehendaki."

"Kemudian ia perlu direbus selama lima minit sebelum diangkat dan disejukkan dengan merendamkannya semalaman," terang Missiah yang menambah bahawa keesokannya, daun itu perlu dicuci dan dijemur sehingga kering dan bergulung.

Untuk meluruskannya semula, Missiah berkata, ia perlu diembun atau disejukkan semalaman sebelum diluruskan menggunakan buluh atau besi.

Setakat proses itu sahaja, tempoh sehingga tiga hingga empat hari dihabiskan namun itu belum lagi mengambil kira proses pencelupan bagi tujuan mewarna dan menganyam.

Sementara proses pencelupan mengambil masa sehingga tiga hari, proses anyaman hanya akan berlaku pada hari ketujuh.

Kerja anyaman juga bukan sesuatu yang mudah. Ia juga memerlukan masa yang panjang agar tumpuan dapat diberikan demi memastikan ia berkualiti.

Menurut beliau, anyaman pandan boleh dikatakan produk kedua yang mendapat perhatian ramai kerana produknya yang lebih murah malah tahan lama.

"Jika tidak terkena air, ia boleh tahan bertahun-tahun lamanya. Produk anyaman paling berkualiti adalah yang dibuat daripada daun bemban. Bagaimanapun, kos untuk membuatnya jauh lebih mahal, jadi banyak yang memilih daun pandan," katanya.

Seni Ukiran Buluh

Sementara itu, Edwin Sijan, 46, meneruskan seni ukiran buluh warisan Bidayuh dan walaupun banyak produk kontemporari baru yang direka, setiap satu produk itu mesti mempunyai motif yang sama.

"Sekarang ada produk baru seperti lampu meja, tabung dan Bilah lima kaki dan empat kaki, tetapi setiap produk itu mesti ada corak daun kemijing," katanya yang menjadi penyambung generasi ketiga keluarganya.

Promosi dan Rekaan

Kraftangan Sarawak membantu beliau dari segi prasarana, promosi domestik dan rekaan baru sejak menceburi bidang kraf tangan secara serius 20 tahun lepas dan mendapati bidang itu semakin mendapat perhatian kerana keunikannya.

"Penjualan sekarang bagus, dan untuk pasaran masa depan, saya rasa keadaan akan menjadi semakin baik. Ini berikutan produk yang kami buat adalah terhad dan tidak banyak lagi produk yang mempunyai corak asli Bidayuh," katanya.

Beliau berkata, buluh Baloi yang digunakan untuk dijadikan produk kraf hanya terdapat di Kampung Pichin, Serian dan ia dipilih kerana keunikannya.

"Buluh ini berkilat dan mudah untuk diukir. Ia tahan agak lama. Jika dijaga dengan baik, boleh tahan sehingga lima tahun."

"Buluh yang boleh digunakan haruslah dalam lingkungan empat ke lima bulan. Setelah diambil, ia harus direndam selama satu minggu dan kemudian perlu dikeringkan lagi supaya ia tahan lama," katanya yang menambah, proses berikutnya adalah mengukir yang memerlukan sekurang-kurangnya dua hari.

Tambah Edwin, disebabkan keunikan dan prodknya yang berkualiti, ramai yang berminat untuk menempah termasuk daripada warga Jepun.

"Sayangnya, kuantiti pengeluaran masih terhad," katanya.

Edwin memberitahu, produk kraf berasaskan buluh paling diminati para pelancong asing. Namun, produk itu kebanyakannya tidak dapat dieksport kerana faktor serangan serangga.

"Setakat ini, saya berpuas hati dengan penjualan, dan pada masa depan saya harap dapat merealisasikan impian untuk meluaskan lagi pasaran," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, January 12, 2011

Semburan Haruan Rawat Luka

(Post: Bahasa Melayu)
" Ikan haruan secara turun temurun telah digunakan bagi mengubati luka-luka dalaman terutama di kalangan ibu-ibu selepas bersalin. Justeru Universiti Sains Malaysia (USM) menjalankan kajian bagi meluaskan penggunaan ikan haruan. "

Kajian yang dijalankan oleh pensyarah Sekolah Sains Farmaseutikal, Profesor Saringat Bai@Baie menunjukkan ikan haruan atau nama saintifiknya Channa striatus mengandungi asid amino yang berfaedah dan asid lemak yang dibuktikan berupaya menyembuhkan luka.

"Haruan Channa striatus digunakan kerana mudah ditemui di sungai di sini," katanya ketika ditemui semasa Pameran BioMalaysia 2010 di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Saringat telah menformulasikan ekstrak haruan yang sama sebagai krim dan tablet dan produk berkenaan telah pun dikomersialkan.

"Kini kajian yang dijalankan menjurus kepada filem nipis bagi membalut dan merawat luka terutama luka kebakaran dan pesakit diabetes," katanya.

Saringat berkata, semburan haruan menggunakan semua ciri-ciri ekstrak haruan dan diformulasikan dalam bentuk tulen untuk mengubati luka serta lecur terbakar.

Semburan berkenaan mengandungi ekstrak haruan yang boleh meningkatkan proses penyembuhan.

Tujuannya adalah untuk menghasilkan semburan aerosol sebagai bahan aktif yang boleh menghasilkan filem sintetik bagi rawatan luka dan melecur.

"Masalahnya filem penjagaan luka biasanya terdapat dalam saiz yang tertentu dan dibungkus secara berasingan," katanya.

Malah ia juga tidak boleh menutupi saiz luka yang pelbagai selain ia juga mudah dijangkiti apabila dikeluarkan daripada bungkusan.

Penyelesaiannya beliau adalah polimer biocompatible dalam produk sedia ada dengan pekatan aerosol dan boleh menghasilkan satu lapisan filem apabila disemburkan pada kawasan yang cedera dan boleh menutupi apa saja saiz luka.

"Apa yang menarik produk aerosol akan terus berada dalam keadaan steril kerana tiada bahan asing boleh memasuki bekas berkenaan," katanya.

Kajian menunjukkan luka dan lecur boleh diubati lebih cepat menggunakan semburan ekstrak haruan.

Malah semburan filem nipis ekstrak haruan telah diuji pada pesakit yang mengalami luka yang sukar sembuh akibat diabetes.

"Produk ini sedang dalam proses untuk dikomersialkan dan bakal berada di pasaran tidak lama lagi," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Busana de Chantek

(Post: Bahasa Melayu)
" Bermula dengan menjual tudung kepada rakan-rakan terdekat dan saudara-mara, pasangan suami isteri, Zainul Azhari dan Noor Wahidah Mustafa kini mengorak langkah ke satu lagi fasa yang lebih serius. "

Selepas tiga tahun menjalankan perniagaan secara 'tidak formal', pasangan suami isteri itu akhirnya mencapai kata sepakat untuk membangunkan sebuah butik dan terlibat secara langsung dengan dunia perniagaan sebenar.

Menggunakan 100 peratus modal sendiri, Busana de Chantek akhirnya beroperasi di Pusat Dagangan Seri Utama, Kota Damansara sejak bulan Jun lalu lantas merealisasikan impian Zainul dan Noor Wahidah.

"Tiga tahun lalu, kami hanya menjual tudung secara kecil-kecilan. Saya juga minta tolong sanak saudara untuk menjual koleksi tudung kami yang diambil daripada beberapa pembekal."

"Lepas itu, kami berdua membuat keputusan untuk membuka butik dan mula mencari lokasi yang sesuai. Oleh kerana kami mahu membuka butik muslimah, maka kawasan berniaga itu mestilah ramai penduduk Islam," kata Zainul.

Butik itu kini menjadi sumber pendapatan utama kepada pasangan itu kerana ia dibangunkan berdasarkan minat yang mendalam dalam dunia perniagaan sedangkan mereka berdua masing-masing mempunyai karier berbeza.

Zainul bertugas sebagai pengurus jualan di salah sebuah syarikat pembekal telekomunikasi, manakala Noor Wahidah pula merupakan seorang pensyarah dalam bidang sains komputer di sebuah kolej di Cheras.

"Meskipun kami berdua bekerja di tempat lain, butik ini adalah sebahagian daripada hidup kami. Kami juga akan melawat butik yang dijaga oleh kakitangan kami pada setiap hari."

"Setakat ini, perniagaan kami berjalan dengan lancar. Meskipun masih baru, kami sudah ada beberapa pembeli tetap."

Mengulas mengenai koleksi tudung dan jubah yang dijual, Noor Wahidah memberitahu, mereka mengambil stok tudung di beberapa syarikat pembekal, manakala jubah pula diimport dari Vietnam.

Katanya lagi, meskipun tudung itu diambil dari pembekal, dia dan suaminya turut memberikan pandangan dan rekaan yang mereka inginkan agar kelihatan lebih menarik.

"Kami sering memberikan rekaan yang sendiri kepada pembekal. Jubah pula kami cantikkan dengan menjahit manik untuk kelihatan lebih menarik."

Konsep butik: Konsep sederhana dan ringkas menjadi pilihan butik Busana de Chantek.

Menawarkan: Selain menjual koleksi tudung, jubah, baju kurung dan telekung, Busana de Chantek turut menjual blaus serta pakaian kanak-kanak. Dalam masa yang sama turut menawarkan tempahan hantaran perkahwinan dan jahitan manik.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, January 11, 2011

Restoran dan Katering Nasi Lemak Cinta Sayang

(Post: Bahasa Melayu)
" "Jiwangnya nama restoran ni," usik penulis sambil disambut tawa pengurusnya, Azhar Mohamad Zain. Masakan tidak, tempat menjamu selera itu memilih perkataan cinta dan sayang sebagai nama restoran. "

Restoran dan Katering Nasi Lemak Cinta Sayang (NLCS) mendapat namanya disebabkan gerai pertama diusahakan ibu saudara Azhar, Zaiton Said, berdepan Cinta Sayang Golf & Resort, Sungai Petani.

Dibuka 24 jam, NLCS yang beroperasi hampir dua tahun di Seksyen 7, Shah Alam, berkonsep layan diri dengan nasi lemak sebagai sajian utama.

"Restoran ini beroperasi 24 jam untuk memenuhi keperluan pelanggan yang ingin menjamu selera tidak kira masa. Saya pernah menjadi pelajar dan tidak kira masa terasa mahu makan nasi lemak."

"Nasi lemak juga menu yang ringkas dan mudah disediakan, jadi pelanggan tidak perlu tunggu lama untuk mendapatkan pesanan. Di sini, jam 3 hingga 6 pagi pun orang masih cari nasi lemak," katanya.

Nasi lemak di NLCS sememangnya enak kerana cukup lemak selain sambal tumis yang istimewa begitu membuka selera.


Selain nasi lemak dan roti canai tersedia 24 jam, ia menawarkan menu nasi campur bermula jam 11 pagi hingga 3 petang manakala ala carte dari jam 3 petang hingga 3 pagi.

Pilihan lain sarapan pagi ialah kuetiau, mihun, mi goreng dan nasi goreng.

Berkonsep layan diri, pelanggan boleh memilih sendiri lauk untuk dimakan dengan nasi lemak seperti ayam masak merah, paru-paru, daging masak kicap, sambal ikan bilis, sambal tumis udang, ayam goreng, rendang daging, telur dadar, telur masin atau sambal sotong.

Menu sarapan pagi ditukar kepada lauk nasi campur bermula jam 11 pagi.

Lebih banyak pilihan lauk ditawarkan, terutama masakan kampung seperti masak lemak cili api, asam pedas, kari, sup, ikan keli bakar selain kembung dan pari, ayam bakar, pelbagai sayuran dan ulaman seperti timun, ulam raja, kacang panjang selain terung dan bendi celur.

Pilihan cicah ialah sambal belacan, sambal tempoyak, sambal kicap dan air asam.

"Ada 40 hingga 50 lauk yang sentiasa ditukar menu untuk memenuhi cita rasa pelanggan. Menu sampingan ialah bihun sup dan laksa Pulau Pinang, manakala char kuetiau boleh dipesan bermula jam 3 petang."

"Kami mensasarkan pelanggan di kalangan penuntut dan keluarga. Restoran ini sesuai sebagai tempat bersantai, mengadakan perbincangan atau perjumpaan keluarga," katanya.

Mampu menampung 200 orang pada satu masa, ia cuma ditutup pada Aidilfitri dan Aidiladha. NLCS yang menerima tempahan katering turut mempunyai dua cawangan di Sungai Petani.

"Berdasarkan komen pelanggan, minuman di sini menarik kerana walaupun jenis yang biasa ditawarkan kebanyakan restoran lain, rasanya lebih pekat dan enak."

"Minuman menarik dicuba ialah teh tiga lapis menggunakan gula nipah sebagai bahan pemanis dan sirap bandung cincau," katanya.

Sumber: myMetro
Foto: eats.my

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, January 10, 2011

Transparent Cement by Italcementi Group

(Post: English)
" Italcementi Group developed a new transparent cement used to build the Italian Pavilion for the Shanghai World Expo 2010. "

This is an innovative material from Italcementi Group Research, which is daily committed to making an innovative contribution to building systems, technologies and products.

A dedicated team of Italcementi Group researchers has worked over 3,000 hours since June 2008 to finalize the new 'transparent cement' development project.

The new i.light® transparent cement, by bonding special resins into a newly conceived mix, allows manufacturing solid and insulated yet light-transmitting construction panels.

Italcementi Group researchers have identified the right formulation of a dry ready-mixed product that allows inserting these plastic resins in the cementitious material, which is naturally opaque, without creating cracks and jeopardizing the structure.

The challenge of transparency confirms the innovative and creative dimension of Made in Italy and has allowed Italcementi Group to provide the Italian Pavilion for Expo 2010 in Shanghai with know-how and solid business experience.

Italcementi Group wanted to take up the challenge posed by the Italian Commissionership and architect Giampaolo Imbrighi to co-operate on an ambitious project: to build the Pavilion with cement walls, but at the same time able to filter the light.

The goal was met thanks to an innovative material, an example of the made-in-Italy ability to find creative, efficient solutions.

3,774 transparent panels (including the "semi-transparent" ones, i.e. with a 50% lower transparency level due to architectural requirements) have been produced and will be used to cover a total surface area of 1,887 m², approximately 40% of the total envelope of the Pavilion, creating in the building in Shanghai a sequence of lights and shadows in constant evolution during the day.

The transparent effect is more evident when it is dark and, seen from the outside, the building will allow the interior lights to filter through while, from inside, during the day, it will show the changes in the levels of daylight.

Used for the first time in Shanghai, future applications of this material may encompass its use as an architectural component with diversified, integrable functions, such as, for example, internal lighting (shading/light diffusion techniques).

Source: Italcementi Group

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Kopi Terang Bulan Food Industries

(Post: Bahasa Melayu)
" Sejak 1976, penduduk sekitar Seberang Perai, Pulau Pinang sering dihidangkan dengan kopi keluaran syarikat Perniagaan Terang Bulan (Terang Bulan) yang diusahakan Allahyarham Abd. Rahman Hussain di Kampung Tasek Cempedak, Bukit Mertajam. "

Malah, kopi yang dimasak secara tradisional menggunakan dapur arang di dalam kawah itu melonjakkan nama Terang Bulan sebagai jenama kopi terkenal di sekitar daerah itu.

Menyedari potensi kopi keluaran Terang Bulan sebagai pilihan utama, beberapa agensi kerajaan seperti SME Bank, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan banyak lagi mula membuka ruang kepada syarikat itu menambahkan pengeluaran mereka.

Pada 2003, mereka mula mendiami Kompleks Kilang SME Bank di Bukit Mertajam dan bermulalah pengeluaran satu produk baru yang melonjakkan nama mereka iaitu kopi campuran 5 dalam 1 Guarana Cappuccino.

Menurut Pengarah Urusan Terang Bulan Food Industries (M) Sdn. Bhd., Hazilah Abdul Rahman, 36, semangat ingin meneruskan legasi arwah bapanya dalam industri itu membuatkan beliau memperkenalkan minuman berasaskan guarana.

"Saya banyak mendapatkan maklumat daripada Internet mengenai guarana yang berasal dari Brazil dan memiliki banyak khasiat untuk kesihatan seperti boleh menambah tenaga seksual lelaki dan perempuan, mengembangkan saluran darah, melancarkan pembuangan air besar dan kecil."

"Kopi ini juga boleh mengurangkan rasa mengantuk terutama semasa memandu jauh, mengurangkan sakit kepala, meredakan demam, agen awet muda serta boleh menurunkan berat badan," kata graduan diploma perakaunan dan pengurusan itu ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Mertajam.

Selain itu kata Hazilah, ramuannya juga boleh membantu menguat dan menyempurnakan fungsi sistem saraf, menguatkan ketahanan badan, merangsang otak serta daya ingatan.

Lebih istimewa, kopi Guarana Cappuccino yang dihasilkan mereka mengandungi Instant Arabica, Guarana, krimer, koko dan Dextrose dan memperoleh sijil halal serta sijil kesihatan dari Kementerian Kesihatan.

"Saya mula lancarkan Guarana Cappucino pada Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa (Mihas) di Pusat Konvensyen Mines pada 2005 yang mendapat sambutan hangat pengunjung."

"Tapi pada masa itu pembungkusan pun masih guna cara lama dengan label fotokopi di plastik pembungkus kopi," ujarnya.

Ditanya mengenai isu kopi 3 dalam 1 yang dikatakan memudaratkan kesihatan, Hazilah berkata, Guarana Cappuccino keluaran mereka tidak akan membawa kesan sampingan kerana melepasi ujian makmal serta disahkan selamat.

Malah, jelasnya, ia juga boleh diminum oleh pesakit kencing manis, darah tinggi, sendi serta buasir tanpa mempunyai kesan sampingan.

"Selain kopi campuran, Terang Bulan juga mengeluarkan produk minuman Guarana Collagen, biskut guarana dan guarana coklat selain masih mengekalkan teh dan kopi campuran di bawah label Terang Bulan."

"Biarpun terdapat lebih 30 jenama kopi campuran di pasaran namun saya yakin Guarana Cappuccino memiliki aroma tersendiri yang berbeza dengan produk-produk lain," ujarnya.

Bagi mengukuhkan lagi jenama, pelakon popular Zed Zaidi telah dilantik sebagai duta produk dan mempunyai rangkaian pemasaran yang kukuh melalui stokis di 13 negeri.

Sumber: Utusan Malaysia Online
Foto: Terang Bulan

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, January 9, 2011

Pintu Berukir Khazanah Masa

(Post: Bahasa Melayu)
" Sukarnya mencari pintu yang unik dan berlainan daripada kebiasaan di pasaran. Pilihan pintu yang ada pula terbatas dan tidak menepati kehendak hati. Jika sebelum ini, dia teliti menghasilkan rumah mengikut cita rasa pelanggan, sudah pastilah dia lebih cerewet dalam memberi sentuhan untuk setiap sudut dan penjuru rumah sendiri. "

Daripada mahu mencari pintu untuk rumah sendiri, timbul idea untuk arkitek, Mariyah Pit, 54, mengusahakan perniagaan tempahan pintu berukir bagi menampung kekurangan yang ada dalam bidang seni bina.

Meneroka perniagaan sejak tiga tahun lalu, Pengarah Urusan Khazanah Masa Sdn Bhd itu mendapat tempahan pintu berukir pertama daripada bekas menteri pelajaran selepas cadangan yang diusulkan kepada beberapa pelanggan tidak menerima maklum balas positif.

"Sebenarnya bukan mudah untuk menggalakkan pelanggan memilih pintu kayu berukir walaupun saya melakar pelan rumah banglo. Sesetengahnya memberi alasan pintu kayu berukir susah untuk dijaga dan mudah berhabuk," katanya.

Pengalaman kerja sebagai arkitek sejak 20 tahun lalu banyak membantu Mariyah membangunkan bidang perniagaan pintu ukiran kayu yang jarang diceburi usahawan lain.

"Nilai seni semakin pupus dan tidak dihargai. Dulu, orang istana menggunakan ukiran kayu bagi membezakan mereka dengan orang biasa. Disebabkan tidak ramai meminati seni ukiran kayu, ia boleh jadi sesuatu yang eksklusif tetapi boleh dihargai orang muda."

"Malaysia mempunyai potensi untuk mengembangkan bidang seni ukiran kayu iaitu bukan saja untuk pintu, tetapi juga dinding hiasan, panel dan bidai."

"Jika tidak sukakan hiasan yang sarat, cukup hanya menyelitkan sedikit elemen seni ukiran kayu pada hiasan rumah. Misalnya, bagi masyarakat Jawa, miskin atau kaya, mereka mesti ada pintu ukir," katanya.

Menurutnya, menghasilkan pintu ukiran kayu bukan kerja mudah dan tempahan disiapkan dalam tempoh satu hingga tiga bulan bergantung kepada jenis ukiran.

Kerja mengukir juga tidak boleh dilakukan terburu-buru kerana kerja tangan memerlukan ketelitian.

Mensasarkan pemilik rumah sebagai pelanggan, Mariyah menawarkan lebih 20 motif ukiran kayu selain turut menghasilkan ukiran mengikut idea pelanggan. Harga ditentukan mengikut ukiran, jenis kayu, ketebalan dan saiz.

"Kayu benda hidup dengan warna semula jadi. Ia cantik dengan urat yang mempunyai nilai seni. Masyarakat Cina gemar memilih bahan daripada alam semula jadi seperti kayu dan batu dalam menata hias rumah mereka," katanya.

Daripada pemerhatiannya, golongan berusia sukakan produk lebih halus dan berseni, manakala orang muda dengan pilihan lebih ringkas. Di samping itu, tidak ramai golongan muda sanggup mengeluarkan duit untuk membeli pintu yang dihiasi elemen seni.

"Hasrat saya ialah mencelikkan mata masyarakat supaya meminati karya seni ukir kayu untuk rumah selain menggalakkan anak muda meminati seni ini supaya ia tidak pupus ditelan masa," katanya.

Ibu empat anak itu mendapat ijazah dalam bidang seni bina di University of New Castle, Australia, sebelum memulakan khidmat sebagai arkitek di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur selama lapan tahun.

Antara bangunan yang pernah direka ialah projek perumahan rakyat, dewan dan kompleks sukan. Lapan tahun bekerja makan gaji, Mariyah memulakan perniagaan sendiri dengan menumpang di pejabat rakan.

"Sebenarnya saya bukanlah bercita-cita tinggi. Niat saya pada mulanya inginkan masa bersama keluarga. Dengan berniaga sendiri, saya ada masa untuk menghantar dan mengambil anak dari sekolah serta memasak," katanya.

Dia memulakan perniagaan dengan modal RM5,000. Wang itu digunakan untuk menyewa ruang di pejabat rakan di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, membeli sebuah meja, komputer, mesin faksimili serta mesin fotokopi.

Suaminya, Noor Hisham, yang juga arkitek, masih bekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR) ketika Mariyah memulakan bisnes sebagai jaminan seandainya perniagaan menghadapi masalah.

Sememangnya dia langkah kanan ketika menceburkan diri dalam perniagaan. Disebabkan arkitek yang dilantik untuk mereka bentuk Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya menghilangkan diri, dia mendapat projek berkenaan. Projek pertama itu menerima bayaran lumayan iaitu melebihi setengah juta ringgit.

"Adat berniaga, ada masa mewah dan ada ketika perlahan. Ketika mewah, saya menyimpan wang untuk tabungan masa susah."

"Sehingga kini perniagaan saya masih bertahan kerana sentiasa beringat membuat simpanan. Tidak pernah saya tidak membayar gaji pekerja. Kalau ada lebih, saya beri bonus," katanya.

Sumber: myMetro
Foto: Khazanah Masa

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Saturday, January 8, 2011

Kiosk Roti The Bakery Moments

(Post: Bahasa Melayu)
" Din Baker Handel Sdn Bhd (Din Baker Malaysia), syarikat francais jenama The Bakery Moments dari Norway terus memperkukuhkan pasarannya di negara ini apabila memberi peluang kepada orang ramai untuk menjadi rakan niaga menerusi kios The Bakery Moments. "

Pengawal Pentadbiran Perniagaan dan Kewangannya, Meor Syah Eswandy, berkata program rakan niaga itu terbuka kepada sesiapa saja yang berminat terutama lepasan graduan, pesara, ibu dan bapa tunggal.

Katanya, sebagai strategi baru syarikat itu pada tahun ini pihaknya juga akan membuat penjenamaan semula The Bakery Moments untuk memberi produk berkualiti kepada pelanggan di samping suasana yang baru dan lebih santai.

"Modal untuk membuka kios The Bakery Moments adalah serendah RM25,000 dan pihak kami akan turut membantu dari segi promosi dan latihan bagi memastikan setiap kios dan rakan niaga dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan."

"Kami mengalu-alukan usahawan Bumiputera yang ingin menjadi rakan niaga kerana selain boleh menjana pendapatan, kita secara tak langsung menyokong makanan berkhasiat untuk masyarakat dan roti ini juga dijamin halal serta berkualiti tinggi," katanya kepada Bisnes Metro.

Katanya, bagi permulaan pihaknya mensasarkan untuk membuka tujuh kios The Bakery Moments di sekitar Lembah Klang dan akan memperluaskannya ke seluruh negara sekiranya mendapat permintaan termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Kami akan memberi bantuan dan sokongan bagi membangunkan pelapis yang berminat dalam industri perusahaan roti." katanya.

Penasihat Din Baker Malaysia, Mohd Darmi Darwin, berkata pihaknya juga akan membuka Sentral Kitchen yang berkapasiti besar untuk menghasilkan lebih banyak roti dan produk lain untuk memenuhi permintaan.

"Sentral Kicthen dijangka siap Mac 2011 dan kami akan mengadakan pusat latihan membuat roti yang terbuka untuk kakitangan baru dan rakan niaga, malah mereka yang ingin memahirkan diri dalam pembuatan roti," katanya.

CONTACT INFO:
Telefon: 03-91003583
Email: meor@din-baker.com.my

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, January 7, 2011

Hiasan Kraf Pasu Comel

(Post: Bahasa Melayu)
" Perkembangan memberangsangkan hiasan dalaman memungkinkan kemunculan pelbagai produk menarik namun pada akhirnya, pembelian berbaloi ditentukan keupayaan menentukan pilihan barangan bertepatan cita rasa dan karektor kediaman. "

Begitupun, bagi mereka yang kreatif serta ingin mengetengahkan sentuhan peribadi, membuat sendiri aksesori rumah dianggap penyelesaian terbaik.

Selain berpeluang menunjukkan bakat dan kemahiran, menyediakan sendiri perhiasan rumah juga menjimatkan belanja, menyerlahkan identiti hias selain ia satu-satunya dihasilkan menerusi imaginasi serta kreativiti peribadi.

Bagi yang baru ingin mencuba kaedah ini, apa kata ikuti langkah membuat pasu comel seperti ditunjuk ajar pemilik JCVK-inspire, Joanna Chang.

Hanya berumpankan bahan terbuang dan mudah didapati, kata Joanna, gubahan disediakannya amat ringkas kerana mengambil masa singkat untuk disiapkan.

"Bergantung kepada minat dan kesungguhan, saya percaya masa paling lama untuk sebuah gubahan siap adalah kira-kira 15 minit. Itupun kerana membabitkan proses membentuk serta menggunting selain terpaksa menunggu gam kering sebelum meneruskan langkah selanjutnya," katanya.

Katanya lagi, bahan yang mungkin perlu dibeli adalah tanah liat khusus untuk kraf, kain felt (kain diperbuat daripada gentian) serta klip kertas manakala selebihnya berupa bahan kitar semula termasuk pasu hiasan aluminium, kapas, dawai dan riben.

"Seperti seni kraf lain, proses menyediakan aksesori rumah turut menuntut kreativiti. Satu bonus bagi yang memiliki naluri serta sentuhan seni, kerana bentuknya berupaya dipelbagaikan."

"Bahan kitar semula yang sama pula boleh digunakan berulang kali bagi menghasilkan produk yang lain," katanya yang menjual produk iClay, iaitu produk kraf berasaskan tanah liat diimport dari Korea di pasar raya besar Giant Bandar Kinrara.

Produk berkenaan banyak memberi inspirasi buat Joanna mencipta pelbagai ilham barangan rumah dan ole-ole majlis istimewa seperti sambutan hari jadi, perayaan dan majlis perkahwinan.

Pasu kecil berhias bunga dan klip kertas ilham Joanna sesuai dijadikan penyeri meja kerja dan sudut strategik kediaman.

Bagi membuatnya, anda perlu menyediakan kain felt (warna bergantung cita rasa), gunting, gam, riben, dawai keras serta mudah lentur, klip kertas, tanah liat kertas (paper clay) dan kapas, manakala hiasan pom-pom berfungsi menyemarakkan gubahan.

Cara Membuat:

1. Kertas felt digunting bentuk bunga dan gam dawai di belakangnya berfungsi sebagai tangkai bunga.

2. Lilit penuh tangkai itu menggunakan dawai lembut, tinggalkan sebahagian untuk proses membentuk daun. Lekat kertas bergunting bentuk daun di situ.

3. Langkah membuat tanahnya - masukkan tanah liat kertas ke dalam pasu dan tekan sampai mampat. Cucuk bunga kertas felt tadi (maksimum tiga tangkai) sebelum meletak kapas khusus menutupi bahagian mengandungi tanah liat.

4. Riben dan klip kertas ditampal pada bahagian belakang bunga dan hiasan pom-pom yang dilekat secara rawak di kapas berupaya mencantikkan lagi hiasan pasu comel anda.

5. Gubahan siap.

INFO:
Seni kreatif ini mampu membantu menjana pendapatan tambahan buat sesiapa yang mahu mencuba. Keterangan lanjut mengenai kraf tanah liat, email kepada jcvk-inspire@hotmail.com

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, January 6, 2011

Dunia Baru Ashraf Muslim

(Post: Bahasa Melayu)
" Sisipan XY - Ikon Lelaki mendekati aktor dan pengacara popular, Ashraf Muslim bersama bisnes ternakannya di Alor Gajah, Melaka. Bak si gembala kambing moden, jom dekati inspirasi dan erti hijrah dalam hidup si bujang ini... "

Istilah korban paling tepat dalam menterjemah kehidupan yang dilalui selebriti ini sekarang. Fasa baru dalam hidup pelakon dan pengacara, Ashraf Muslim menyaksikan bintang muda ini melakukan pengorbanan terbesar demi mencari keseimbangan hidup.

Enggan leka di sebalik populariti dunia hiburan, figura muda ini pantas memilih jalan yang lebih menjamin masa depan - menjadi tauke ternakan kambing di kampung halaman di Melaka.

Tidak cukup itu, personaliti berusia 29 tahun ini kini berjinak-jinak pula dalam bidang rawatan alternatif menggunakan ayat-ayat suci al-Quran.

Melihat prospek bidang ternakan yang diusahakan Ashraf sejak beberapa tahun lalu termasuk bidang rawatan alternatif, tidak mustahil si bujang ini mungkin mengucapkan selamat tinggal kepada dunia hiburan seperti yang dilafazkan sendiri Ashraf pada pertemuan bersama XY - Ikon Lelaki.

Ketika penulis berkunjung ke ladang ternakan kambing milik Ashraf di Alor Gajah, baru-baru, terbayang betapa tinggi cita-cita anak muda ini untuk meluaskan kegiatan ternakan yang diceburinya. Bukan hangat-hangat tahi ayam, sebaliknya gah tersergam ladang ternakan seluas kira-kira sehektar yang diusahakan bersama bapanya.

"Perniagaan ternakan kambing ini adalah perancangan masa depan saya. Walaupun sudah dikenali dalam dunia hiburan, kita perlu sentiasa beringat-ingat untuk merencanakan sesuatu yang lebih menjamin masa depan."

"Semua itu tidak datang tanpa pengorbanan dan minat. Pengalaman dalam urus niaga jual beli lembu sebelum berkecimpung dalam dunia hiburan memberi kelebihan untuk mengusahakan ternakan kambing ini secara komersial," kata Ashraf.

Selain menternak kambing daripada spesies boer, janapari, dorpher dan kampung, usahawan muda ini turut menternak ayam kampung, itik daging, telur itik, ikan keli dan ikan talapia sebagai sumber pendapatan sampingan.

Malah, ketika sambutan Hari Raya Aidiladha yang lalu, Ashraf tidak menang tangan memenuhi permintaan untuk korban kambing dan lembu.

"Sebenarnya sebelum aktif dalam dunia hiburan, saya sudah berjinak-jinak dalam jual beli lembu di Melaka. Memang minat saya berniaga, jadi bukanlah sesuatu yang asing apabila saya memilih untuk menternak kambing."

"Selepas beberapa tahun mengusahakan ternakan ini, prospek perniagaan ini cukup cerah dan sambutannya cukup menggalakkan terutama pada musim-musim perayaan seperti Aidiladha," kata Ashraf Muslim lagi.

Jom kenali isi hati jejaka kelahiran Petaling Jaya ini, serta selami lebih banyak detik penghijrahan hidup Ashraf...

Dalam banyak prospek perniagaan lain, bagaimana anda boleh memilih ternakan kambing sebagai model perniagaan?

Bidang ternakan bukanlah asing dalam diri saya. Sejak 2006 lagi saya sudah berkecimpung dalam perniagaan jual beli lembu. Dalam perniagaan itu, saya menjadi perantaraan kepada mereka yang hendak membeli lembu.

Saya selalu terfikir, mengapa tidak mengusahakan ladang ternakan sendiri walaupun sudah bergelar artis.

Bagaimana anda membahagikan masa pada perniagaan ternakan ini dan dunia lakonan?

Saya gembira kerana dibantu bersama ayah yang kebetulan sudah bersara. Kebiasaannya, pada hujung minggu saya akan pulang ke Melaka untuk melihat perkembangan perniagaan ini.

Biarpun sibuk, saya cukup seronok berkecimpung dalam dunia perniagaan. Ini kerana kita berinteraksi dengan pelbagai jenis orang dan ragam. Malah sambutan Aidiladha lalu, saya menjadi orang tengah untuk proses pembekalan 50 ekor lembu korban.

Tidakkah kekok melakukan kerja-kerja kotor dan kasar berbeza dengan dunia selebriti?

Tiada sebab untuk saya berasa janggal melakukan tugasan di ladang ternakan. Ini kerana memang minat saya ke arah ini (perniagaan ternakan). Saya pula memang sukakan alam semula jadi, lantas bukan sesuatu yang pelik untuk menyatukan diri dalam tugasan sebegini.

Bagaimana pula anda membahagikan masa dengan kerjaya lakonan?

Saya bersyukur dengan tawaran lakonan yang konsisten. Saya baru saja selesai berlakon drama bersiri Ustaz Amirul sebanyak 13 episod untuk slot Zehra di TV3 selain pengalaman pertama menjadi pengacara Gadis Melayu.

Jujur saya katakan, jadual harian saya cukup sibuk di mana perlu berlakon, mengacara hinggalah urusan perniagaan di kampung. Namun, saya gembira dengan apa dilakukan sekarang.

Ceritakan senario anda setiap kali sambutan Hari Raya Aidiadha?

Menjadi kebiasaan saya dan ahli keluarga untuk melakukan korban. Pada masa yang sama, kami sibuk bergotong-royong melapah daging lembu yang sudah menjadi kelaziman anggota keluarga.

Selain menziarah keluarga lain, tidak lupa, saya akan melawat kubur ibu yang meninggal dunia kira-kira lima tahun lalu akibat kanser payudara.

Erti hijrah dalam diri anda?

Bagi saya, hijrah itu suatu pengorbanan hidup. Ia perlu dilakukan secara ikhlas untuk kita benar-benar menghayati kelebihannya. Diibaratkan sesuatu yang cukup sukar ditinggalkan, tetapi perlu dilakukan untuk pengorbanan, begitulah yang harus kita lakukan ke arah kebaikan.

Adakah anda melalui proses hijrah dalam hidup?

Suka saya katakan seperti transformasi hijrah diri, di mana saya bersyukur dengan hijrah diri saya sekarang. Alhamdulillah, saya gembira dengan perubahan diri serta nikmat yang diberi.

Tiada lagi Ashraf Muslim yang dulu, sebaliknya saya melihat ke depan untuk menjadi insan yang lebih baik.

Apakah perubahan ketara anda selepas transformasi diri?

Jujur saya katakan prinsip saya turut berubah di mana batas-batas pergaulan termasuk watak lakonan juga saya ambil perhatian. Malah, saya juga tidak mahu bergambar atau diganding bersama artis wanita. Ini kerana status saya yang sudah berjinak-jinak dalam dunia perubatan Islam.

Dengan perubahan saya ini, jika hendak tahu, semakin kerap saya ditawarkan watak ustaz dan orang alim. (tersenyum).

Adakah anda seorang yang merancang dalam hidup?

Dulu tidaklah berfikiran seperti sekarang. Tetapi bersyukur kerana saya tidak alpa untuk merencanakan masa depan. Sampai bila hendak berlakon dan untuk apa kita berlakon? Andai lakonan kita itu mampu mengubah seseorang menjadi lebih baik, maka berbaloilah tugas saya.

Namun, tiba ketika transformasi diri itu berlaku, maka tidak mustahil saya meninggalkan dunia lakonan.

Sisi Berbeza Pengamal Perubatan

Dalam sibuk mengatur jadual dalam dunia lakonan selain meluaskan perniagaan ternakan, siapa sangka Ashraf berkebolehan mengubati pelbagai jenis penyakit menggunakan surah al-Quran.

Kata Ashraf, sudah lebih setahun beliau memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan bersama beberapa ustaz lain di Syifa Al-Hidayah di Gombak, Selangor. Lazimnya, Ashraf berkunjung ke pusat itu pada malam hari selepas selesai penggambaran drama atau urusan lain.

"Ramai pesakit datang ke Syifa Al-Hidayah merangkumi kes biasa hinggalah sakit merbahaya seperti kanser, HIV/AIDS, sawan dan penyakit misteri lain."

"Setakat ini, sambutan cukup menggalakkan hingga lewat malam kami dikunjungi. Saya gembira kerana dapat berkhidmat kepada mereka yang memerlukan bantuan," kata Ashraf yang sentiasa bersyukur dengan kelebihan yang dianugerahkan kepadanya.

Ditanya mengapa memilih haluan itu, Ashraf dalam tenang menganggap perlu ada keseimbangan dalam hidup seseorang Muslim. Sambil menyifatkan pilihan itu sebagai kehendak diri sendiri, Ashraf mengakui beliau cukup gembira dengan apa yang dilakukannya sekarang.

Biarpun aktiviti hariannya cukup padat pada sebelah siang, Ashraf berkata, tumpuannya tetap kepada program penawar di Syifa Al-Hidayah selagi beliau termampu.

"Jika hendak dikira letih dan penat, memanglah ada perasaan itu. Ini kerana jumlah yang hadir mencapai 500 orang setiap hari. Tetapi, apa yang menggembirakan saya ialah apabila pesakit semakin pulih dengan rawatan yang diberi."

"Apabila melihat perubahan dalam diri pesakit itulah harga cukup besar diterima selama ini," kata Ashraf penuh bermakna.

Sambil berkongsi perkembangan lain, Ashraf berkata, pihaknya sedang menunggu lampu hijau untuk bekerjasama dengan sebuah hospital swasta berpangkalan di Kuala Lumpur bagi memberikan khidmat rawatan alternatif kepada pesakit hospital menggunakan surah al-Quran.

Andai pada hari biasa si bujang ini sibuk di Syifa Al-Hidayah, tiba hujung minggu, beliau menawarkan kebolehan sama di rumahnya di Taman Teluk Mas, Melaka.

"Begitulah aktiviti saya sejak berjinak-jinak dalam dunia rawatan alternatif. Malah, sambutannya cukup menggalakkan hingga ada pesakit dari negeri lain termasuk Singapura datang mendapatkan rawatan," katanya.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::