Saturday, April 30, 2011

Portal e-Benih Sawit MPOB

(Post: Bahasa Melayu)
" MPOB memperkenal dan melancarkan portal e-benih sawit bagi biji dan anak benih sawit yang diurusniagakan secara online sejajar perkembangan industri sawit yang semakin dinamik dan mencabar pada masa ini. "

Portal itu dilancar secara rasmi sempena Seminar Pemindahan Teknologi MPOB 2010 oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok.

Pendekatan ini adalah salah satu langkah bagi memastikan pengumpulan dan hebahan maklumat kepada pihak industri sawit dapat dilaksanakan dengan cekap dan tepat.

Justeru, pengenalan portal e-benih sawit ini adalah satu platform untuk menemukan pengeluar biji benih dan pengusaha tapak semaian bagi menjalankan urus niaga jual beli bahan tanaman mereka secara online.

Wujudnya portal ini pihak industri berupaya menjalinkan hubungan sesama mereka serta menjalankan perniagaan yang lebih cekap dan harmonis demi kepentingan industri sawit negara.

Portal ini boleh dilayari di portal e-benihsawit MPOB.

Sektor bahan tanaman yang terdiri daripada pengeluar biji benih dan pengusaha tapak semaian adalah sektor utama dan awal membentuk jalinan 'supply chain' dalam industri sawit.

Sehubungan itu pembekalan dan permintaan bahan tanaman adalah faktor utama memastikan industri sawit meningkatkan produktiviti dan berdaya saing untuk mencapai kecemerlangan.

Transaksi utama portal ini membabitkan transaksi biji benih bercambah, transaksi anak benih, tempahan bahan tanaman, pembatalan urus niaga dan penghantaran tempahan.

Estet yang memerlukan bekalan bahan tanaman dapat manfaat melalui portal ini untuk membuat tempahan bekalan. Begitu juga syarikat perladangan, pekebun kecil atau orang perseorangan yang memerlukan bekalan bahan itu boleh menggunakan portal ini untuk membuat tempahan dan belian.

Portal ini memberi faedah kepada pengguna seperti urus niaga belian dan jualan bagi bahan tanaman sawit lebih telus, cepat, menjimatkan masa dan kos disamping pembekal bahan tanaman boleh mempromosi bahan tanaman sawit yang mereka ada untuk jualan terus kepada pembeli.

Semua pembekal bahan tanaman melalui portal ini berlesen dengan MPOB dan bahan tanaman adalah tulen, berkualiti dan pada masa sama MPOB berupaya memantau status penawaran dan permintaan bahan tanaman.

Sumber: Berita Harian

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, April 26, 2011

Udang Putih Venture Aquaculture

(Post: Bahasa Melayu)
" Berkat usaha yang tidak jemu-jemu itu, kini mereka berjaya mengutip hasil yang lumayan sepanjang tahun. "

Projek perintis Program Projek Berimpak Tinggi Zon Industri Akuakultur (HIP-ZIA) yang dibangunkan oleh Jabatan Perikanan tersebut pada asalnya diusahakan oleh tujuh pengusaha udang putih.

Namun, akibat beberapa masalah yang dihadapi, kini hanya tinggal tiga sahaja pengusaha yang bertahan.

Biarpun segala infrastruktur dan perkhidmatan nasihat diberikan oleh Jabatan Perikanan, namun bukan mudah sebenarnya untuk mengusahakan ternakan udang putih tersebut.

Ia diakui oleh Pengerusi Persatuan Industri Udang Malaysia, Syed Omar Syed Jaafar ketika di temui pada majlis penuaian Hasil Projek Ternakan Udang Laut ZIA, di Sungai Nipah, Sabak Bernam, Selangor baru-baru ini.

Turut meraikan kejayaan tersebut adalah Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood.

"Untuk berjaya dalam usaha menternak udang putih ini memerlukan usaha gigih yang konsisten serta komitmen yang tinggi."

"Malah beberapa faktor turut perlu diambil berat seperti Sistem Biosekuriti dan pelbagai lagi," ujarnya.

Menurut Syed Omar yang juga Pengarah Urusan, Venture Aquaculture (M) Sdn. Bhd., untuk berjaya dalam penternakan udang putih, banyak perkara yang perlu di fikirkan malah pengusaha perlu banyak belajar daripada pengalaman.

Justeru, khidmat nasihat serta pandangan daripada semua pihak perlu diambil perhatian bagi menjayakan projek ternakan udang.

Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang penternakan haiwan laut itu juga turut menimba ilmu sehingga keluar negara selama beberapa tahun sebelum berjaya.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak perlu dijadikan sebagai penghalang bagi mereka yang tidak berpeluang mendalami ilmu penternakan seperti beliau.

Jelasnya, apa yang penting adalah kemahuan yang jitu serta sikap tidak mudah putus asa pasti menawarkan kejayaan dalam penternakan tersebut.

Projek 'HIP-ZIA' Sungai Nipah mula beroperasi pada tahun 2008 namun projek tersebut telah mengalami beberapa masalah terhadap pengurusan peserta.

Pada asalnya projek tersebut ditubuhkan bagi memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk berkecimpung dalam projek penternakan udang laut.

Ia berasaskan kepada program model perniagaan yang berasaskan dorongan pasaran.

Beberapa peserta pada peringkat awalnya telah menunjukkan minat untuk mengusahakannya, namun setelah beberapa masalah timbul, seorang demi seorang peserta telah menarik diri.

Justeru pada tahun 2010, konsep projek yang diperkenalkan oleh Jabatan Perikanan tersebut diubah kepada konsep syarikat peneraju secara inkubator.

Pelepasan benih pertama oleh syarikat peneraju ke dalam tujuh unit kolam pada bulan Oktober tahun lepas kini telah melihatkan hasil yang baik pada hari pertama penuaian dilakukan.

Projek tersebut melibatkan kawasan seluas 28 hektar dengan 23 unit kolam ternakan udang laut bersaiz 0.5 hektar setiap satu.

Berdasarkan tuaian pertama yang mampu menghasilkan sebanyak lima tan udang bagi setiap kolam, dijangka projek tersebut mempunyai kapasiti pengeluaran hasil sebanyak 230 tan metrik.

Jumlah tersebut juga membawa pulangan bernilai RM2.3 juta setahun.

Bagi pembangunan projek tersebut, kerajaan melalui Jabatan Perikanan telah membelanjakan sebanyak RM 2.4 juta bagi membaik pulih infrastruktur, kolam serta menyediakan program latihan peserta.

Menurut Syed Omar, kehadiran syarikat beliau sebenarnya adalah sebagai dorongan serta bantuan kepada para peserta.

Ia juga lebih kepada seperti program usaha sama antara peserta dan syarikat beliau.

Ujarnya lagi, apabila projek tersebut telah benar-benar berjaya dan mampu diuruskan oleh peserta sepenuhnya ia akan diserahkan semula kepada mereka.

Jelas beliau, syarikatnya telah membelanjakan hampir RM1.5 juta untuk kos operasi serta baik pulih.

"Di sini saya mengambil pendekatan pengurusan Sistem Biosekuriti seperti penggunaan plastik sebagai penampan tebing bagi mengelakkan gangguan ketam."

"Malah, penggunaan jaring penghalang haiwan pemangsa juga dipertingkatkan di samping penggunaan air yang betul," katanya.

Malah beliau turut memperkenalkan teknologi auto feeders kepada para peserta bagi menjimatkan penggunaan tenaga pekerja dalam proses pemberian makanan kepada udang ternakan.

Penggunaan auto feeders juga dilihat sebagai jalan penyelesaian bagi mendapatkan masa pemberian makan yang sekata setiap kolam.

Hasilnya, udang tersebut dapat membesar dengan sekata dan dapat dipasarkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Bagi udang putih, tempoh matang adalah selama 75 hingga 80 hari atau bersamaan 64 hingga 65 ekor udang sekilogram (kg).

Tambah Syed Omar, bagi kolam berkeluasan 0.5 hektar itu, sebanyak 340 ribu benih udang putih telah dilepaskan dan melalui amalan konsep Sistem Biosekuriti, kadar hidup bagi udang tersebut adalah sebanyak 90 peratus.

Melalui sistem tersebut, ternakan dapat dilindungi daripada gangguan haiwan pemangsa serta serangan penyakit yang lain.

Manakala bagi penggunaan aliran air, bagi projek ini, hanya kemasukan air yang pertama sahaja digunakan sehingga ternakan dituai.

Ia bertujuan bagi mengelakkan penyakit bawaan air merebak sekiranya air sentiasa mengalir masuk ke dalam kolam ternakan.

Bagi harga pasaran bagi udang ini adalah RM 14,000 bagi satu tan metrik dan harga akan dipantau setiap tiga hari.

Bagi udang yang dituai, ia akan dihantar terus ke kilang untuk dieksport.

Ia bagi menjamin keluaran udang putih tidak menjadi lambakan dipasaran malah pengusaha juga tidak perlu bersusah payah mencari peraih untuk memasarkan udang yang dituai.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, April 22, 2011

Cendawan Mentah Resources

(Post: Bahasa Melayu)
" Bermula dengan mengusahakan tanaman secara kecil-kecilan, Azharudin Hamzah dan Mohammad Rasul Alpi hanya dengan bergantung kepada buku dan Internet untuk mendapat maklumat dan pengetahuan terkini mengenai bidang yang diceburi. "

Mereka hanya mengusahakan tanaman cendawan dengan bekalan benih dibeli daripada pengusaha lain.

Bagaimanapun benih cendawan yang dibeli sering mendapat hasil yang tidak yang menggalakkan mendorong dua sahabat ini berfikir untuk mencari alternatif lain seperti daripada buku serta Internet.

Tetapi belajar tanpa guru juga tidak memberikan hasil yang seperti diharapkan.

Berkat usaha, sabar dan tawakal, kedua-dua sahabat memulakan usaha kecil-kecilan menanam cendawan untuk kegunaan sendiri selain dipasarkan di sekitar kawasan tempat tinggalnya di Senawang, Negeri Sembilan.

Usaha Azharudin menampakkan kejayaan apabila permintaan terhadap cendawannya semakin meningkat hari demi hari mendorong menubuhkan syarikatnya sendiri, Mentah Resources dengan galakan isteri Siti Fadziyah Mohd Asri pada November 2007.

Syarikat yang dibangunkan dengan nilai pelaburan RM50,000 dan sembilan orang pekerja mengeluarkan benih cendawan dan bahan mentah pertanian.

Bagaimanapun ketika itu, pengeluaran tidak dapat memenuhi permintaan kerana dia hanya mampu mengeluarkan benih cendawan sekitar 800 hingga 1,000 beg sebulan.

Kaya dengan sifat-sifat usahawan iaitu menepati masa dan mengutamakan pelanggan, dia berusaha untuk menambahkan lagi kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang sedang meningkat.

"Ketika itu hanya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) saja yang ada di dalam kepala saya untuk khidmat nasihat," katanya yang sentiasa prihatin dengan kehendak semasa.

Azharuddin yang begitu yakin untuk berjaya dan cepat respons dengan permintaan pelanggan tanpa berlengah-lengah ke cawangan MARDI berhampiran.

MARDI yang sentiasa prihatin dengan usahawan kecil memberikan kursus latihan keusahawanan dan membantu mendapatkan kemudahan geran bagi membesarkan lagi operasinya syarikatnya.

Selepas meninjau masalah yang dihadapi usahawan, kakitangan MARDI telah memberikan perkhidmatan penghasilan biji benih dan membekalkan bahan mentah pertanian.

Semua itu menggunakan teknologi yang dipindahkan oleh MARDI termasuk autoclave, khidmat nasihat penghasilan benih cendawan tiram kelabu dan promosi bahan mentah pertanian.

Kini, dengan bantuan khidmat nasihat dan pemindahan teknologi MARDI, syarikat Mentah Resources berjaya mengeluarkan benih cendawan sehingga 3,000 beg sebulan dengan nilai jualan sehingga RM700,000 serta mendapatkan pasaran yang lebih luas di seluruh negara.

Mengenai perancangan masa depan, Azharudin bercadang menambah pengeluaran benih cendawan kepada 10,000 beg sebulan dalam jangka masa enam bulan dari sekarang.

"Kami juga bercadang membuka cawangan penghasilan benih cendawan di seluruh negara, membuka kedai berkonsep AgroMart dan membuka cawangan 'Mentah AgroMart' di seluruh Malaysia bagi menjadi 'one stop center' bagi keperluan pertanian," katanya.

Selain itu, dia juga bercadang meluaskan makmal benih cendawan dan melengkapkan persekitaran makmal mengikut spesifikasi standard makmal.

Sumber: Utusan Malaysia

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::